omniture

Burson-Marsteller Lantik Terri-Helen Gaynor Sebagai CEO Asia-Pasifik

Burson-Marsteller
2015-01-21 03:03 195

NEW YORK, 21 Januari 2015 /PRNewswire/ -- Burson-Marsteller, firma hubungan awam dan komunikasi terkemuka dunia, hari ini mengumumkan Terri-Helen Gaynor telah menyertai syarikat sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Asia-Pasifik, berkuat kuasa serta-merta. Gaynor menggantikan Patrick Ford, yang telah berkhidmat sebagai Pengerusi rantau Asia-Pasifik sejak Oktober 2012. Ford akan terus berkhidmat sebagai Timbalan Pengerusi Sedunia dan Ketua Pegawai Pelanggan, juga sebagai Pengerusi rantau Asia-Pasifik sepanjang tempoh peralihan kepimpinan, bertindak sebagai penasihat kanan Gaynor. Kedua-dua Gaynor dan Ford akan melapor kepada Pengerusi Sedunia dan Ketua Pegawai Eksekutif Burson-Marsteller, Donald A. Baer.

Kerjaya Gaynor selama 30 tahun merangkumi seluruh spektrum komunikasi korporat, daripada komunikasi dalaman sehingga hubungan pelabur, dan program komunikasi pemasaran. Beliau telah memimpin banyak pasukan untuk tawaran awam awal (IPO), penggabungan dan pengambilalihan (M&A), dan bidaan pengambilalihan. Beliau juga sangat berpengetahuan dalam industri kesihatan global dan menawarkan pengalaman yang sangat luas dalam bidang khidmat rundingan pegawai kerajaan. Sewaktu kerjaya beliau di Asia dan Australia, beliau berkhidmat kepada pelanggan termasuk Bupa, IBM, Jardine Matheson, Kimberly-Clark, Manulife, Nike, Philips dan UTC Building & Industrial Systems. Beliau akan ditempatkan di Hong Kong.

Sejak 12 tahun lepas, Gaynor telah berkhidmat sebagai Pengarah Urusan dan Rakan Kongsi Pengasas bagi Reputation Pty Ltd di Australia. Sewaktu mengetuai Reputation Pty Ltd, beliau mengkhusus dalam tugasan komunikasi korporat, hubungan kerajaan, dan hubungan pelabur untuk pelbagai jenama terkemuka dunia, termasuk Becton, Dickinson and Company; Deutsche Bank; KPMG; Marriott International; Optus; dan Qantas, antara lainnya. Tambahan lagi, beliau juga bertindak sebagai penasihat kepada pelbagai jabatan dalam kerajaan Australia, termasuk jabatan Pendidikan, Kesihatan, Kewangan, Khidmat Manusia, dan Sukan.

"Terri-Helen sangat dihormati ramai di Asia-Pasifik, dan dalam sektor komunikasi global sebagai pakar pengatur strategi dengan kepakaran luas dalam mengurus isu rumit melibatkan perkongsian dengan Ketua Pegawai Eksekutif, lembaga pengarah, pihak berkuasa kewangan, serta menteri kerajaan," kata Baer. "Beliau ialah ahli profesional komunikasi yang luar biasa dan membawa semangat keusahawanan yang kuat dalam peranan untuk membina prospek perniagaan kami dan memperluas jangkauan kami dalam rantau Asia-Pasifik yang pesat berkembang. Kejayaan beliau membina satu firma terkemuka di seluruh Australia, komitmen beliau yang tidak tandingan untuk khidmat pelanggan, serta semangat beliau yang membara untuk memupuk generasi profesional komunikasi masa hadapan membuatkan beliau menjadi penambahan yang sangat bernilai tinggi untuk firma kami.

'Kami semua sangat berterima kasih kepada Pat Ford kerana memimpin rantau ini sepanjang dua tahun lepas," sambung Baer lagi. "Di bawah kepimpinan beliau yang utuh, kami telah mengembangkan perniagaan kami, menambah bakat luar biasa, dan memberikan hasil usaha yang memenangi anugerah, semuanya sambil memimpin rantau dalam komunikasi terpacu idea dan berasaskan bukti. Dedikasi Pat terhadap kecemerlangan dan profesionalisme menjadikan beliau sebagai salah seorang penyumbang terhebat kepada Burson-Marsteller serta seluruh industri hubungan awam, dan kami begitu bernasib baik kerana masih mendapat khidmat beliau yang berterusan sebagai pemimpin dan rakan sekerja dalam peranan berterusan beliau sebagai Naib Pengerusi Sedunia dan Ketua Pegawai Pelanggan."

Sebelum menubuhkan Reputation Pty Ltd, Gaynor menghabiskan masa dua tahun dengan firma global terkemuka di Australia sebagai Pengarah Akaun dalam pasukan hubungan korporat dan hubungan pelabur, mengkhusus dalam M&A dan IPO. Gaynor juga bertindak sebagai penasihat dalam pasukan khidmat kewangan firma itu di Rantau Besar China. Sebelum itu, beliau merupakan Pengarah Eksekutif bersama Forrest International, membangunkan dan melaksanakan program komunikasi dalaman dan luaran untuk para pelanggan di China, Hong Kong, Indonesia, Jepun, Korea, Malaysia, Filipina dan Taiwan.

Gaynor memulakan kerjaya beliau dalam sektor Kerajaan Komanwel, berkhidmat selama 10 tahun dalam bidang pembangunan dasar, komunikasi, serta latihan dan pembangunan untuk pelbagai agensi kerajaan di Australia.

"Saya sangat gembira dengan peluang untuk mengetuai pengendalian Burson-Marsteller di Asia-Pasifik," kata Gaynor. "Firma ini telah membina perniagaan yang hebat sepanjang lebih 40 tahun kewujudannya dalam rantau ini dan mempunyai senarai bakat dan pelanggan yang dicemburui ramai. Saya tidak sabar-sabar lagi mahu menambah kepada asas yang sudah sedia mengagumkan ini."

Latar Belakang Burson-Marsteller

Burson-Marsteller, ditubuhkan pada tahun 1953, merupakan firma hubungan awam dan komunikasi terkemuka global. Ia menyediakan pelanggan dengan pemikiran strategik dan pelaksanaan program merentasi rangkaian penuh strategi hubungan awam, hal ehwal umum, reputasi serta pengurusan krisis, pengiklanan, dan juga strategi digital. Rangkaian sedunia firma ini yang terhubung lancar terdiri daripada 73 buah pejabat dan 85 buah pejabat rakan gabungan, beroperasi bersama di 110 buah negara dalam enam benua. Burson-Marsteller adalah sebahagian daripada Young & Rubicam Group, anak syarikat WPP (NASDAQ: WPPGY), rangkaian khidmat komunikasi terkemuka dunia. Untuk maklumat lanjut, lawati bm.com.

Source: Burson-Marsteller
Related Stocks:
NASDAQ:WPPGY
Related Links:
Keywords: Advertising Publishing/Information Service Personnel announcements