LONDON, 3 Februari 2015 /PRNewswire/ -- Pemegang Amanah Asia House di London dengan sukacitanya mengumumkan Nazir Razak, Pengerusi CIMB Group, akan dianugerahkan Anugerah Pemimpin Perniagaan Asia, Asia House untuk 2015 di acara gala yang akan diadakan di Westminster's Banqueting House pada Selasa, 13 Oktober.
(Gambar: http://photos.prnewswire.com/prnh/20150203/727825 )
En. Razak telah dipilih sebagai penerima Anugerah tahun ini sebagai pengiktirafan pencapaiannya sepanjang tempoh 26 tahun di CIMB Group, sebuah bank universal ASEAN utama, yang beribu pejabat di Malaysia.
En. Razak berkata: "Ia adalah satu penghormatan dan kelebihan diberikan anugerah yang bertaraf sedemikian. Ini merupakan pengiktirafan bagi beribu-ribu orang yang telah bekerja bersama saya di CIMB untuk membina sebuah institusi kewangan kukuh ASEAN yang sebenarnya. Saya berharap anugerah ini membawa lebih banyak perhatian kepada potensi ASEAN sebagai tempat untuk melakukan perniagaan dan peluang untuk mencipta nilai dengan menghimpunkan tenaga kerja dan sumber dari pelbagai negara ASEAN."
CIMB Group beroperasi dalam ekonomi pesat rantau ASEAN. Malaysia mengambil alih giliran sebagai pengerusi ASEAN pada 1 Januari tahun ini.
En. Razak mengetuai transformasi CIMB Group daripada bank pelaburan khusus Malaysia kepada kumpulan perkhidmatan kewangan kedua terbesar di Malaysia, bank universal kelima terbesar di ASEAN, bank pelaburan terbesar yang berpangkalan di Asia Pasifik, dan salah sebuah bank Islam terbesar di dunia.
Pemimpin berusia 48 tahun itu bukan sahaja dengan signifikan membangunkan pasaran perbankan dan modal Malaysia, tetapi beliau juga telah membangunkan bank Islam utama dunia – bank Islam kedua terbesar di Malaysia – dengan bahagian pasaran sebanyak 15 peratus yang menawarkan penyelesaian kewangan berlandaskan Syariah.
Pada 2007, dibimbing oleh En. Razak, CIMB Group telah menubuhkan Yayasan CIMB, platform tanggungjawab korporat dan kebajikan CIMB Group. Yayasan tersebut membawa manfaat kepada komuniti di rantau yang diliputi oleh CIMB. CIMB Group telah mendermakan lebih RM100 juta (AS$28 juta) kepada Yayasan tersebut sebagai dana permulaan.
Sir John Boyd, Pengerusi Asia House, berkata: "Kami berbesar hati mengiktiraf kejayaan dan usaha baik Nazir Razak yang telah, antara lainnya, menekankan manfaat kerjasama serta perkongsian merentasi ASEAN melalui sokongannya terhadap pembelajaran, penyelidikan bebas dan juga kerja amal, selain strategi perniagaannya yang bercita-cita tinggi, menunjukkan bagaimana inisiatif seluruh ASEAN yang berjaya secara komersial dapat menyatukan orang ramai untuk kebaikan bersama."
Asia House merupakan pusat kepakaran tentang Asia dan organisasi pan-Asia utama di UK.
Asia House menyampaikan anugerah tahunan ini kepada individu yang melambangkan konsep 'Pemimpin Berkhidmat'. Anugerah ini mengetengahkan kaitan antara kejayaan ekonomi, kecemerlangan profesional disertai kepimpinan moral dan khidmat kepada masyarakat.
Penerima terdahulu bagi Anugerah Pemimpin Perniagaan Asia, Asia House termasuk Ho Ching, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Temasek: Jack Ma, Pengerusi dan Pengasas Alibaba.com; Ratan Tata, Pengerusi Tata Group; Lubna Olayan, Ketua Eksekutif Olayan Financing Company; dan Azim Premji, Pengerusi Wipro.
Untuk maklumat lanjut hubungi Rachelle Kessels di +44(0)207-307-5466, e-mel rachelle.kessels@asiahouse.co.uk atau lawati asiahouse.org.
Sumber: Asia House