omniture

IBM Perluas Rangkaian Penyelidikan Global ke Afrika Selatan

IBM
2015-02-07 23:43 281

- Makmal penyelidikan Johannesburg akan menyokong keutamaan kebangsaan Afrika Selatan dan memacu inovasi menggunakan teknologi data besar, awan, dan mudah alih

JOHANNESBURG, 7 Februari 2015 /PRNewswire/ -- IBM (NYSE: IBM) hari ini mengumumkan rancangan untuk memperluas IBM Research – Afrika dengan makmal baharu di Johannesburg bermula pada April 2015. Ia akan memberi tumpuan kepada usaha memajukan teknologi Data Besar, awan, dan mudah alih bagi menyokong keutamaan kebangsaan Afrika Selatan, memacu pembangunan kemahiran dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi berasaskan inovasi.

Gambar - http://photos.prnewswire.com/prnh/20150205/173900
Gambar - http://photos.prnewswire.com/prnh/20150205/173972
Logo - http://photos.prnewswire.com/prnh/20090416/IBMLOGO

Sebagai sebahagian daripada program pelaburan 10 tahun melalui Jabatan Perdagangan dan Industri serta dengan kerjasama rapat bersama Jabatan Sains dan Teknologi, kemudahan penyelidikan baharu itu akan ditubuhkan di Universiti Witwatersrand (Wits).

"IBM mempertimbangkan dua faktor semasa membuat keputusan tentang lokasi makmal penyelidikan: akses kepada kemahiran dan bakat bertaraf dunia serta kemampuan untuk mendepani cabaran perniagaan dan kemasyarakatan yang mendesak yang boleh ditangani dalam cara yang terbaik melalui teknologi maklumat canggih," kata Dr. John E. Kelly III, Naib Presiden Kanan IBM Solutions Portfolio and Research. 'Afrika Selatan menyediakan latar belakang yang mengujakan sambil kami mencari tempat untuk memperluas usaha penyelidikan kami dalam rantau itu. Penyelidik kami yang berpusat di Afrika ialah sebahagian daripada masyarakat saintis IBM global yang sedang melakar sejarah syarikat kami dan memastikan kami berada di barisan hadapan dalam penemuan saintifik."

'Afrika Selatan adalah antara negara yang paling maju daripada segi teknologi dan sains dalam dunia ini," kata Naledi Pandor, Menteri Sains dan Teknologi. "Namun begitu, adalah penting untuk meningkatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan agar dapat menggalakkan inovasi serta menyokong usaha dalam mempelbagaikan lagi ekonomi. Kami mengalu-alukan IBM Research ke Afrika Selatan dan menawarkan bakat sains kami yang terhebat bagi memastikan kejayaan jangka masa panjangnya."

Menggalakkan Inovasi
Penyelidik IBM Afrika Selatan akan bekerjasama secara menyeluruh dengan universiti tempatan, institusi penyelidikan, pusat inovasi, syarikat baharu, serta agensi kerajaan, seterusnya mengukuhkan ekosistem inovasi baru muncul Afrika Selatan dan membantu membangunkan kemahiran teknologi generasi seterusnya. Syarikat itu sudah pun memulakan persetujuan dengan Universiti Wits, Jabatan Sains dan Teknologi (DST) dan juga Majlis untuk Penyelidikan Sains dan Perindustrian (CSIR) agar dapat berkolaborasi dalam program penyelidikan dan pembangunan kemahiran.

"Pembangunan ekosistem inovasi yang berjaya adalah penting untuk kemajuan lanjut ekonomi Afrika Selatan serta daya saing antarabangsa negara ini," kata Profesor Adam Habib, Naib Canselor dan Pengetua, Universiti Wits. "Keputusan IBM Research untuk mewujudkan makmal di Johannesburg bakal memberi perangsang besar kepada komuniti pengatur cara, pereka, pembangun, usahawan, dan syarikat baharu yang dinamik."

Makmal baharu itu akan terletak di Kawasan Tshimologong di Braamfontein – kawasan dalam bandar yang sedang muncul semula hari ini sebagai salah satu kawasan bandar Johannesburg yang paling dinamik dan meriah.

Pasukan penyelidikan Afrika Selatan yang baharu itu akan diketuai oleh Dr. Solomon Assefa, sebelum ini merupakan saintis penyelidikan di Pusat Penyelidikan Thomas J. Watson yang terpenting bagi IBM di Yorktown Heights, New York. Dr. Assefa telah menjadi penulis bersama bagi lebih 50 artikel saintifik dan memegang 45 paten. Beliau telah dinamakan sebagai salah seorang Penginovasi Muda Terbaik Dunia bawah usia 35 tahun oleh MIT's Technology Review pada tahun 2011 dan sebagai Pemimpin Global Muda oleh Forum Ekonomi Dunia. Tahun lepas, beliau dinamakan sebagai Felo Akademi Sains Etiopia.

Sejajar dengan bidang kepentingan kebangsaan strategik dan bagi mengukuhkan kepimpinan Afrika Selatan dalam sains dan teknologi, antara bidang tumpuan makmal itu adalah:

Pembaharuan Bandar Digital
Lokasi makmal itu di dalam bandar akan membenarkan penyelidik baharu IBM membentuk sebahagian daripada "makmal hidup" yang akan meneroka peranan teknologi digital canggih serta analitik Data Besar dalam pembaharuan bandar. Teknologi mudah alih, sistem pemposisian global, kamera, dan sensor sudah semakin berkembang dalam bandar, lalu menyediakan peluang untuk membayangkan semula penyediaan perkhidmatan seperti pengangkutan, tenaga, dan keselamatan. Penyelidikan dan organisasi rakan kongsi IBM akan membangunkan penyelesaian menggunakan pemodelan berkomputer, Internet Perkara (Internet of Things), serta sistem kognitif bagi melibatkan diri dengan lebih aktif bersama masyarakat, dan juga membantu menghidupkan semula kawasan dalam bandar di Afrika Selatan serta di seluruh dunia.

Membantu Mengubah Penjagaan Kesihatan
Penyelidik Afrika Selatan IBM akan meneroka pendekatan baharu menggunakan analitik Data Besar dan pengkomputeran kognitif bagi meningkatkan kecekapan, daya boleh skala, dan keberkesanan penjagaan kesihatan dalam persekitaran terhad sumber di Afrika Selatan dan di seluruh benua Afrika. IBM Research sudah pun bekerjasama dengan Institut Penyelidikan KwaZulu-Natal untuk Tuberkulosis dan HIV (K-RITH) untuk mengkaji pendekatan rawatan baharu bagi melawan penyakit tuberkulosis (TB). Dengan menggunakan teknologi Data Besar dalam kajian genetik bakteria serta ujian kerentanan ubat, usaha ini sedang meningkatkan pemahaman tentang mekanisme genomik yang menyebabkan kerintangan terhadap antibiotik.

Data Besar untuk Sains Besar
Penyelidik baharu IBM akan turut menyumbang kepada projek teleskop radio Square Kilometer Array (SKA) yang menyasarkan untuk merungkai persoalan asas tentang asal-usul alam semesta. Dalam salah satu usaha sains yang paling bercita-cita tinggi yang pernah dilancarkan, saintis dari Afrika Selatan akan bekerjasama dengan saintis daripada ASTRON, Institut Astronomi Radio Belanda dan IBM Research --- Zurich bagi mengumpul dan menganalisis jumlah Data Besar yang tidak pernah didapati selama ini dari angkasa lepas yang mengandungi maklumat sejak kejadian Letupan Besar lagi, lebih 13 bilion tahun lalu.

IBM telah beroperasi di Afrika selama hampir 100 tahun. Kini, pengendaliannya berada di 24 buah negara, termasuk Afrika Selatan, Maghribi, Mesir, Nigeria, Ghana, Angola, Kenya dan Tanzania. IBM Research - Afrika adalah organisasi penyelidikan komersial yang pertama di benua itu yang menjalankan penyelidikan gunaan dan penerokaan jangkauan luas tentang cabaran terbesar Afrika serta komited dalam menyediakan inovasi yang berdaya komersial yang boleh memberi impak kepada kehidupan orang ramai. Makmal penyelidikan Afrika IBM yang pertama telah dibuka di Nairobi, Kenya pada tahun 2013. Kemudahan penyelidikan Afrika Selatan itu menyokong Program Pelaburan Kesamaan Ekuiti (EEIP) IBM dan ditubuhkan berdasarkan amalan terbaik antarabangsa bagi pembangunan sektor ICT yang mampan dan paling memberi impak melalui Jabatan Perdagangan dan Industri. Beberapa tahun kebelakangan ini, IBM juga telah melabur dalam pembangunan Pusat Pelanggan IBM, sebuah Pusat Inovasi, Pesat Penyampaian Perkhidmatan, dan sebilangan cawangan serta pusat data di seluruh Afrika Selatan.

Kini memasuki tahunnya yang ke-70, IBM Research terus mentakrifkan masa hadapan teknologi maklumat dengan lebih 3,000 penyelidik dalam 12 makmal yang terletak dalam enam benua. Saintis daripada IBM Research telah menghasilkan enam Pemenang Hadiah Nobel, 10 Pingat Kebangsaan A.S. dalam Teknologi; lima Pingat Kebangsaan A.S. dalam Sains, enam Anugerah Turing, 19 lantikan untuk Akademi Sains Kebangsaan dan 14 lantikan untuk Dewan Kemasyhuran Pencipta Kebangsaan A.S. – yang paling banyak bagi sesebuah syarikat.

Untuk melihat imej makmal penyelidikan Afrika Selatan IBM yang baharu, lawati: https://flic.kr/s/aHsk7AwKW9

Hubungi:

Jonathan Batty
IBM Global Labs
JonathanB@uk.ibm.com
+44 7880 086571

James Sciales
IBM US
sciales@us.ibm.com
+ 914-447-6202

 

 

Source: IBM
Related Stocks:
NYSE:IBM
Related Links:
Keywords: Computer Software Computer/Electronics Internet Technology Corporate Expansion New products/services