BARCELONA, Sepanyol, 3 Mac 2015 /PRNewswire/ -- Huawei akan memperkenalkan, buat kali pertama, konsep baharu yang dinamakan "komunikasi medan penuh" semasa Kongres Dunia Mudah Alih (MWC) 2015, dengan memperkenalkan prototaip bernama MirrorSys. Sistem ini direka bagi menemui had batasan deria penglihatan dan pendengaran manusia dalam satu sistem perkongsian serta komunikasi bersaiz penuh, berdefinisi tinggi, dan pada masa sebenar. MirrorSys menghantar semua cahaya, bunyi, dan suasana yang terakam kepada pengguna dalam apa yang digelar oleh Huawei sebagai "komunikasi medan penuh". Prototaip awal MirrorSys mempunyai paparan pepenjuru 220 inci yang rapi dengan resolusi yang menyamai ketajaman penglihatan manusia pada jarak 2.4 meter.
Pengarah Makmal Teknologi Media Huawei, Dr. James "Bo" Begole, berkata: "Hari ini, walau sistem telekehadiran berkualiti tinggi sekali pun mempunyai pandangan dunia yang terhad dan tetap, yang tidak menyamai tanggapan manusia terhadap persekitaran sebenar kita yang beraneka. Kami ingin mengubah keadaan itu. Komunikasi medan penuh menghantar semua maklumat daripada satu persekitaran kepada persekitaran lain melalui rangkaian itu, mencipta pantulan digital sebenar dengan pemandangan, bunyi, dan perasaan semua orang yang berada di dalamnya. Komunikasi penuh penghayatan hari esok bakal memberikan suasana realiti, seolah-olah anda benar-benar berada dalam realiti jarak jauh itu."
Huawei bakal mendemonstrasikan prototaip MirrorSys kepada pengunjung di tapak pamerannya di MWC 2015 melalui paparan bersaiz dinding dengan imej bersaiz sebenar serta bunyi ruangan. Pengunjung ke dinding hidup Huawei bakal melihat bilik yang direka cantik yang mana salah satu dindingnya dipasang dengan skrin MirrorSys tanpa pengetahuan mereka. Sejurus memasuki ruang itu, bilik itu akan berubah menjadi salah satu daripada lima persekitaran suasana, diiringi bunyi keliling yang direka atur teliti agar dapat membuat pengunjung berasa seolah-olah mereka benar-benar berada dalam persekitaran yang jauh itu.
"Pada masa hadapan, kita akan dapat menikmati pemandangan eksotik yang dihantar secara wayarles daripada kamera rakan atau melalui kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) yang dipandu dari jarak jauh, mengalami acara sukan langsung di padang sendiri bersama para atlet bertaraf dunia, dan membeli-belah secara maya dalam butik paling eksklusif di dunia. Juruteknik berkemahiran tinggi yang sukar ditemui mampu membaiki mesin yang kompleks dari jarak jauh, pakar bedah berkepakaran tinggi boleh melakukan pembedahan yang rumit dari jarak jauh, dan para pelajar boleh menerokai sempadan sains yang paling canggih di kawasan dunia yang sukar dilawati, di samping pelbagai peluang hiburan serta perniagaan lain yang masih belum difikirkan lagi," kata Dr. Begole.
Prototaip awal MirrorSys menyediakan video berdefinisi ultra tinggi 8K dengan sudut pandangan seluas 110 darjah, di samping medan bunyi saluran 22.2 dengan kependaman tidak talar. Ia memperlihatkan semua maklumat dengan jelas pada terminal jarak jauh, lalu menawarkan penonton dengan pengalaman audiovisual yang sangat mengasyikkan. Seni bina sistem itu yang boleh diperluas membenarkan resolusi imej yang lebih tinggi serta sudut pandangan yang lebih luas.
Pada masa hadapan, individu, benda, dan pemandangan boleh dihubungkan melalui perkongsian media masa sebenar, yang akan merangsang pembangunan rangkaian komunikasi dengan jalur lebar luas dan kurang penangguhan merentasi jumlah sambungan yang banyak. Pada masa yang sama, terdapat permintaan untuk pengkomputeran dan kemampuan penyimpanan yang lebih baik.
"Ini merupakan titik permulaan baharu untuk pengalaman komunikasi multimedia. Pada masa terdekat ini, komunikasi sifar jarak bakal menjadi kebiasaan, memperkaya hubungan serta kehidupan orang ramai," tambah beliau.
Makmal Teknologi Media Huawei berdedikasi untuk membangunkan "komunikasi medan penuh" bagi merealisasikan bentuk komunikasi terunggul. Makmal itu memberi tumpuan kepada penyelidikan dan inovasi untuk menangkap, membawa, dan mempersembahkan medan cahaya panoramik serta medan bunyi ruangan, di samping teknologi utama lain yang berkaitan seperti pemampatan data berkecekapan tinggi. Dengan kerjasama rakan-rakan kongsi dalam industri dan universiti, makmal itu menggalakkan kemajuan serta pembangunan teknologi dan juga standard bagi membina ekosistem terbuka semua untung.
MWC 2015 akan berlangsung di Barcelona mulai 2-5 Mac. Huawei akan menunjukkan produk dan penyelesaian terbaharunya di Dewan 1 dan Dewan 3 Fira Gran Via. Untuk maklumat lanjut, sila lawati http://www.huawei.com/minisite/mwc2015/en/index.html
Latar Belakang Huawei
Huawei merupakan penyedia penyelesaian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) terkemuka sedunia. Matlamat kami adalah untuk memperkaya kehidupan dan meningkatkan kecekapan melalui dunia yang terhubung lebih baik, bertindak sebagai warga korporat bertanggungjawab, pemboleh inovatif untuk masyarakat bermaklumat, dan penyumbang kolaboratif kepada industri. Dipacu oleh inovasi berpaksikan pelanggan dan perkongsian terbuka, Huawei telah mewujudkan portfolio penyelesaian ICT hujung ke hujung yang memberi pelanggan kelebihan berdaya saing dalam rangkaian telekomunikasi dan perusahaan, peranti, serta pengkomputeran awan. 170,000 kakitangan Huawei seluruh dunia komited bagi mencipta nilai maksimum untuk pengendali, perusahaan, dan pengguna telekomunikasi. Penyelesaian, produk, dan perkhidmatan ICT inovatif kami digunakan di lebih 170 buah negara dan wilayah, berkhidmat untuk satu pertiga daripada populasi dunia. Ditubuhkan pada 1987, Huawei merupakan sebuah syarikat swasta yang dimiliki sepenuhnya oleh kakitangannya.
Untuk maklumat lanjut, sila lawati Huawei secara dalam talian di www.huawei.com atau ikuti kami di:
http://www.linkedin.com/company/Huawei
http://www.twitter.com/Huawei
http://www.facebook.com/Huawei
http://www.google.com/+Huawei
http://www.youtube.com/Huawei