omniture

UNIONPAY DAN BANK SIMPANAN NASIONAL (BSN) BEKERJASAMA TRANSFORMASIKAN PEMBAYARAN DENGAN PEMBAYARAN QR

UnionPay International
2025-01-17 23:07

KUALA LUMPUR, Malaysia, 17 Januari 2025 /PRNewswire/ -- UnionPay International (UPI) mengumumkan satu perkongsian strategik bersama Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi melancarkan pembayaran QR UnionPay di Malaysia dalam separuh pertama tahun 2025. Kolaborasi ini menggariskan komitmen kedua-dua pihak untuk memajukan penyelesaian pembayaran digital di Malaysia dan meningkatkan ekosistem pembayaran negara yang semakin berkembang. Melalui perkongsian ini, BSN akan menyertai UnionPay sebagai anggota, mengembangkan portfolio pengendali sistem pembayarannya untuk merangkumkan UnionPay bersama-sama dengan Visa, Mastercard dan MyDebit.


Sebagai pengeluar kad debit ketiga terbesar di Malaysia dan mengurus lebih enam juta kad debit di seluruh negara, BSN beradaptasi dengan pilihan pengguna yang semakin berkembang untuk e-dompet dan transaksi tanpa sentuh. Dalam langkah strategik untuk memperkukuh kehadirannya dalam landskap pembayaran digital, BSN memperluas penyelesaian pembayaran dan penerimaannya untuk merangkumkan pembayaran QR. Inisiatif ini akan memperkasakan pelanggan, terutamanya pengguna muda yang celik digital dan berorientasikan perjalanan, untuk membuat pembayaran domestik dan antarabangsa yang lancar melalui sistem pembayaran QR UnionPay yang selamat dan diterima secara meluas.

"Kami berasa teruja untuk memulakan kolaborasi strategik ini bersama BSN, sebuah Institusi Kewangan Pembangunan yang terkemuka di Malaysia," kata Dr. Jian Jiangtao, Ketua Serantau UnionPay International (Asia Tenggara). "Perkongsian ini membolehkan kami memperluas penyelesaian pembayaran digital kami sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekosistem pembayaran digital Malaysia. Menerusi penyelesaian QR Pay maya ini, pengguna akan mendapat manfaat daripada kemudahan, keselamatan dan kawalan yang lebih baik ke atas perbelanjaan mereka, meningkatkan pengalaman kewangan mereka, terutamanya semasa perjalanan rentas sempadan."

Encik Jay Khairil, Ketua Eksekutif BSN berkata, "Perkongsian bersama UPI ini menyaksikan peristiwa penting dalam perjalanan transformasi digital BSN. Penyelesaian pembayaran QR membolehkan pelanggan membuat transaksi dengan mudah di seluruh rangkaian luas UnionPay, termasuk China dan negara-negara lain yang mengambil bahagian. Pemudahan penerimaan QR Pay daripada BSN mengukuhkan komitmen kami untuk menyokong perniagaan mikro dan PKS dalam menerima pakai penyelesaian pembayaran tanpa tunai."

Kolaborasi antara UnionPay dan BSN ini memperlihatkan komitmen bersama terhadap inovasi dan peningkatan pengalaman pelanggan. Dengan memperkenalkan penyelesaian pembayaran QR yang diterima secara meluas ke Malaysia, BSN bersedia untuk menawarkan pilihan pembayaran moden dan lancar yang disesuaikan dengan keperluan masyarakat tempatan yang semakin berkembang.

TAMAT

Latar Belakang UnionPay International

UnionPay International (UPI) ialah subsidiari China UnionPay, mengkhusus untuk mengembangkan dan menyokong perniagaan global UnionPay. Menerusi perkongsian merentas 2,600 institusi di seluruh dunia, kad UnionPay diterima di 183 negara dan wilayah, dengan pengeluaran di 82 daripadanya. UPI menyampaikan penyelesaian pembayaran rentas sempadan yang berkualiti tinggi, berkesan kos dan selamat kepada kumpulan pemegang kad terbesar di dunia, memastikan perkhidmatan setempat yang lancar untuk pemegang kad dan pedagang global.

Latar Belakang Bank Simpanan Nasional (BSN)

Sejak penubuhannya pada tahun 1974, Bank Simpanan Nasional (BSN) komited untuk menjadi pemangkin perubahan dalam kehidupan rakyat Malaysia. Dengan visi "Tiada Rakyat Malaysia Yang Ketinggalan", BSN menyediakan penyelesaian kewangan yang inklusif dan inovatif bagi memastikan akses luas kepada peluang kewangan untuk semua segmen masyarakat.

Sebagai sebuah institusi kewangan negara yang utama, BSN mengkhusus untuk merealisasikan misinya bagi meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia dan membina masa depan kewangan yang lebih cerah. Dengan rangkaian perkhidmatan yang luas, BSN menawarkan produk dan perkhidmatan yang komprehensif, termasuk simpanan, pengurusan kewangan, mikrokewangan, pembiayaan peribadi, serta kad kredit Islamik dan juga konvensional.

Pada masa ini, BSN mengendalikan lebih daripada 387 cawangan, 40 Pusat Kewangan Mikro, 576 Mesin Juruwang Automatik (ATM), 260 Mesin Kitar Semula Tunai (CRM), 10 Cawangan Bank Mudah Alih (CBB) dan lebih 2,240 Ejen BSN (EB BSN) di seluruh negara, termasuk di kawasan luar bandar dan terpencil. Dengan lebih 10.3 juta pelanggan, BSN terus menerajui keterangkuman kewangan, menyokong agenda pembangunan ekonomi negara (Setakat November 2024).

Setakat November 2024, BSN mengurus deposit runcit bernilai RM21.9 bilion, memperlihatkan kepercayaan dan keyakinan yang diberikan oleh orang ramai kepada perkhidmatan kami. Dengan menggabungkan teknologi digital dengan sentuhan peribadi, BSN terus membawa perbankan ke setiap pelosok negara, menjadikan perkhidmatan kewangan lebih mudah diakses buat semua.

Untuk maklumat lanjut, kunjungi www.bsn.com.my

Source: UnionPay International
Keywords: Banking/Financial Service Computer/Electronics Electronic Commerce