HONG KONG, 2 Mei 2025 /PRNewswire/ -- Sebuah konsortium antarabangsa yang diketuai oleh Fakulti Perubatan (CU Medicine) The Chinese University of Hong Kong (CUHK) dan University of Calgary di Kanada telahpun menjalankan satu kajian epidemiologi global berkenaan Penyakit Radang Usus (IBD). Ia mendapati bahawa keadaan usus kronik ini mengikuti perkembangan epidemiologi empat peringkat merentas kawasan-kawasan yang berbeza di dunia. Menganalisis data daripada lebih 500 kajian epidemiologi merentas 80 wilayah pada abad yang lalu, pasukan ini menghasilkan model pembelajaran mesin bagi tujuan klasifikasi peringkat yang membolehkan sistem penjagaan kesihatan bersedia menghadapi beban yang semakin meningkat terhadap penjagaan kesihatan yang timbul daripada prevalens IBD. Keputusan kajian telahpun diterbitkan dalam jurnal saintifik yang terkemuka Nature.
Model epidemiologi menunjukkan trend beban IBD untuk 20 tahun akan datang
Konsortium Visualisasi Kajian Epidemiologi IBD Global dalam Abad Ke-21 (GIVES–21) yang diketuai oleh Profesor Gilaad Kaplan daripada University of Calgary dan Profesor Siew Ng daripada CU Medicine, mensintesis data daripada 522 kajian berasaskan populasi merentas 82 wilayah geografi sepanjang abad yang lalu. Mereka memerhatikan bahawa perbezaan dalam insidens dan prevalens IBD di pelbagai kawasan geografi sepanjang abad yang lalu menunjukkan corak epidemiologi beralih mengikut zaman.
Bagi meneroka trend dengan lebih lanjut dan mencirikan epidemiologi IBD yang tidak bergantung pada geografi dan zaman, para penyelidik membangunkan model pembelajaran mesin yang mengklasifikasikan wilayah-wilayah mengikut peringkat epidemiologi, memetakan peralihan spatiotemporal merentas peringkat dan memodelkan peringkat prevalens bersifat teori untuk dua dekad yang akan datang. Mereka juga menunjukkan peringkat di mana prevalens IBD mencapai keseimbangan. (Sila rujuk Jadual 1 untuk butiran.)
Profesor Gilaad Kaplan, Profesor Perubatan di Sekolah Perubatan Cumming, University of Calgary, berkata: "Analisis kami, dengan memanfaatkan data epidemiologi terdahulu selama satu abad lamanya, membolehkan pihak berkuasa kesihatan menyesuaikan intervensi – sama ada klinikal, didorong oleh dasar atau pencegahan."
Insidens meningkat dengan pesat di China dan Malaysia manakala Jepun dan Korea Selatan menyaksikan perkembangan pesat prevalens
Data kajian menunjukkan peringkat epidemiologi berbeza-beza antara wilayah-wilayah di Asia. Jepun dan Korea Selatan, yang mengalami pengindustrian yang pesat pada separuh kedua abad ke-20, melaporkan prevalens melebihi 0.1%, lalu memberi kedudukan kepada mereka untuk hampir-hampir mencapai peralihan ke peringkat 3. Sebaliknya, negara-negara seperti China dan Malaysia, yang mengalami pengindustrian kemudiannya, memasuki peringkat 2 baru-baru ini.
Dr Joyce Mak, Profesor Madya Klinikal Kehormat di Jabatan Perubatan dan Terapeutik di CU Medicine, berkata: "Hari ini, kami berada pada persimpangan yang kritikal tatkala kami menumpukan pada peningkatan IBD yang membimbangkan di negara-negara perindustrian baru seperti China dan Malaysia. Peningkatan ini bukan sekadar statistik; ia mewakili kesihatan dan kesejahteraan berjuta-juta orang. Tatkala negara-negara ini menerima industrialisasi dan urbanisasi yang pesat, kita harus mengutamakan inisiatif kesihatan awam, meningkatkan kesedaran dan melabur dalam penyelidikan bagi memahami punca yang mendasari penyakit ini."
Profesor Siew Ng, Profesor Croucher dalam Sains Perubatan di CU Medicine, Pengarah Microbiota I-Center (MagIC) dan New Cornerstone Investigator, berkata: "Konsortium GIVES–21 kami menjalankan kajian pengawasan epidemiologi di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana, memandangkan penyakit ini berkembang di wilayah-wilayah ini. Kami melihat anjakan paradigma IBD menjadi semakin pesat di wilayah-wilayah ini dan kami perlu mempersiapkan infrastruktur dan kakitangan klinikal kami bagi mengurus penyakit yang kompleks serta mahal ini. Kami merancang penyelidikan untuk memfokuskan pada strategi pencegahan yang menyasarkan mikrobiom usus, diet dan pendedahan terhadap alam sekitar bagi mengurangkan insidens penyakit."
Kajian ini disokong oleh The Leona M. and Harry B. Helmsley Charitable Trust, Pertubuhan Antarabangsa untuk kajian IBD (IOIBD) dan sumbangan daripada lebih 30 rakan kongsi antarabangsa.