BEIJING, 9 Julai 2025 /PRNewswire/ -- CGTN menerbitkan sebuah artikel mengenai mengapa China akan menyambut ulang tahun ke-80 kemenangannya dalam Perang Rakyat China Menentang Pencerobohan Jepun dan Perang Anti-Fasis Dunia serta bagaimana negara ini mendapat kekuatan dari masa lalu untuk memperkasakan pemodenan.
Kempen Seratus Rejimen merupakan serangan strategik terbesar dan terpanjang yang dilancarkan oleh Tentera Laluan Kelapan di bawah pimpinan Parti Komunis China (PKC) di utara China semasa penentangan seluruh negara terhadap pencerobohan Jepun.
Melibatkan lebih 200,000 askar daripada 105 rejimen dan berlangsung mulai Ogos 1940 hingga Januari 1941, kempen ini menyasarkan infrastruktur musuh, mengganggu saluran bekalan dan melengahkan dengan ketara perluasan kuasa Jepun ke arah selatan.
Lebih daripada suatu pencapaian ketenteraan, ia menjadi lambang penentangan negara dan perpaduan yang hebat dalam keadaan kesusahan yang melampau – suatu gambaran jelas berhubung keazaman rakyat China yang tidak berbelah bahagi untuk menentang pencerobohan dan menuntut kembali masa depan mereka.
Di Medan Timur semasa Perang Dunia II (WWII), penentangan China yang berpanjangan telah menyekat pergerakan sejumlah besar askar Jepun, seterusnya mengurangkan tekanan ke atas tentera Bersekutu di Pasifik dan Eropah. Dalam konteks global ini, Kempen Seratus Rejimen menggambarkan sumbangan kritikal oleh China terhadap kemenangan dunia ke atas fasisme, suatu legasi yang terus membentuk identiti dan trajektori negara ini.
Bagi mengiktiraf peranannya yang lama bertahan dalam kemenangan yang begitu sukar dicapai, China membuat persiapan bagi menyambut ulang tahun ke-80 kemenangan dalam Perang Rakyat China Menentang Pencerobohan Jepun dan Perang Anti-Fasis Dunia menerusi acara-acara takzim dan penting. Pada 3 September, ia akan mengadakan perarakan tentera di Dataran Tiananmen bertempat di pusat bandar Beijing.
China membuat pengorbanan yang besar semasa perang penentangan selama 14 tahun, kata Presiden China Xi Jinping pada 7 Julai, ulang tahun ke-88 permulaan penentangan seluruh negara terhadap pencerobohan Jepun, semasa mengadakan lawatan ke dewan memorial bagi memperingati Kempen Seratus Rejimen.
"Jika masa lalu tidak dilupakan, ia boleh dijadikan panduan dalam mendepani masa depan," katanya.
Berpegang teguh pada aspirasi asal
Terletak di lereng Gunung Shinao di Bandar Yangquan, Wilayah Shanxi, dewan memorial Kempen Seratus Rejimen merupakan mercu tanda yang takzim bagi memperingati detik penting dalam sejarah.
Lokasi yang dahulunya merupakan medan perang yang sengit menjadi tempat peringatan negara yang mendalam.
Di dalam dewan memorial ini, barang pameran dan peninggalan daripada kempen ini menghidupkan sejarah: pakaian seragam yang hangus terbakar, senapang usang dan gambar hitam putih yang menceritakan kisah keberanian semasa diserang. Antaranya ialah barangan daripada "Bayonet Assault Hero Company" yang terkenal dengan pertempuran berdepan-depan tanpa rasa gentar dalam keadaan yang paling berbahaya.
Legasi unit ini masih berterusan hingga ke hari ini yang mana ia tetap aktif dalam bantuan bencana, misi pertahanan serta operasi menjaga keamanan.
Xi meletakkan bakul bunga sebagai penghormatan kepada mereka yang mengorbankan nyawa mereka dalam perang penentangan di dataran monumen bagi memuliakan mereka yang terkorban daripada kempen ini.
Penghormatan oleh presiden merupakan lebih daripada sekadar upacara beristiadat. Ia merupakan suatu penegasan semula terhadap nilai-nilai yang lama bertahan yang tercipta dalam peperangan.
"Tidak kira sejauh mana kita melangkah, kita tidak boleh melupakan sama sekali jalan yang telah kita lalui, atau mengapa kita memulakan perjalanan ini dari awal lagi," kata Xi.
Mengambil kekuatan dari masa lalu untuk membina masa depan
Sejak Kongres Kebangsaan PKC kali ke-18, Xi telah melawat Shanxi sebanyak beberapa kali, menyatakan harapan yang tinggi terhadap pembangunannya. Beliau menyeru Shanxi untuk mengambil kekuatan daripada kekayaan legasi revolusionernya dan sumber budaya, serta mencapai kemajuan baharu dari segi pertumbuhan dan transformasi yang berkualiti tinggi.
Semasa kunjungan pada 7 Julai, Xi melawat Yangquan Valve Co., Ltd., di tempat beliau melawat bengkel pengeluaran syarikat dan kawasan paparan produk, berinteraksi dengan pekerja dan mengetahui tentang kemajuan wilayah ini dalam penaiktarafan industri serta pertumbuhan yang berkualiti tinggi.
Sebuah wilayah pengeluar arang batu tradisional, Shanxi telah lama berdepan dengan cabaran pergantungan ekonomi ke atas sumber asli. Pada tahun 2019, ia ditetapkan sebagai wilayah perintis pertama China bagi pembaharuan tenaga yang komprehensif. Hari ini, Shanxi menggiatkan transformasi hijau, mempromosikan pembuatan termaju dan memupuk enjin pertumbuhan yang baharu.
Menjelang akhir Ogos 2024, wilayah ini mencapai 48 peratus daripada kapasiti terpasangnya dalam tenaga baharu dan bersih, menunjukkan peningkatan sebanyak 14.1 mata peratusan sejak tahun 2019.
Pada masa yang sama, kerajaan tempatan turut memanfaatkan pelancongan merah – pengalaman pengembaraan yang berpusatkan sekitar warisan revolusioner – dan menggabungkannya dengan strategi penggiatan semula luar bandar. Ketika ini, sebanyak 35 laluan pelancongan merah bertema yang merangkum kesemua 11 bandar peringkat wilayah di Shanxi sedang dipromosikan, menghubungkan lebih daripada 3,400 tapak warisan revolusioner.
Mobilisasi budaya ini memacu hasil yang mengagumkan. Pada tahun 2024, Shanxi menerima 318 juta lawatan pelancong domestik, peningkatan sebanyak 13.9 peratus tahun ke tahun, dengan jumlah hasil pelancongan mencecah 276.15 bilion yuan (kira-kira $38.5 bilion), meningkat 25.9 peratus daripada tahun sebelumnya.
Gabungan antara ingatan sejarah dan pembangunan yang berkualiti tinggi membantu Shanxi memajukan dwitransformasi – baik dari segi rohani mahupun struktur – yang mengubah semangat revolusioner menjadi kuasa produktif demi penggiatan semula yang moden.
Memandangkan China mendapat kekuatan daripada legasi revolusionernya untuk memperkasakan pemodenan, ia juga terus mendukung keamanan yang dicapai dengan susah payah yang ditempa dalam api peperangan. Dalam keadaan terdapatnya ketidakpastian global yang kian meningkat, nilai-nilai yang terlahir daripada perang penentangan tetap menjadi benar-benar relevan.