omniture

Seegene dan Springer Nature Buka Permohonan untuk Nature Awards MDx Impact Grants 2025-2026

Seegene Inc.
2025-09-04 13:43 53
  • Program ini memfokuskan pada ketahanan antibiotik bagi jangkitan saluran kencing (UTI-DR), dengan permohonan dibuka sehingga 20 November; penerima anugerah peringkat akhir akan diumumkan pada Ogos 2026
  • Para penyelidik terpilih akan menerima dana penyelidikan sehingga USD 600,000, di samping akses kepada cerakin PCR sindromik, instrumen dan perisian Seegene
  • Program bertujuan untuk memajukan Inisiatif Perkongsian-Teknologi Seegene dan meluaskan akses kepada diagnostik molekul

SEOUL, Korea Selatan, 4 September 2025 /PRNewswire/ -- Seegene Inc., iaitu peneraju bertaraf global bagi diagnostik molekul, mengumumkan pada hari ini pelancaran Nature Awards MDx Impact Grants 2025–2026 dengan kerjasama Springer Nature, penyedia yang dipercayai kepada komuniti saintifik global dan penerbit jurnal saintifik yang berprestij Nature. Program pada tahun ini akan memfokuskan pada ketahanan antibiotik bagi jangkitan saluran kencing (UTI-DR), iaitu salah satu cabaran kesihatan awam yang paling mendesak di seluruh dunia.

Kini memasuki kitaran ketiga sejak tahun 2023, program ini mengundang penyelidik dari seluruh dunia untuk mengemukakan idea pembangunan produk dan projek penyelidikan klinikal. Berdasarkan keperluan klinikal yang tidak dipenuhi, pemohon boleh mencadangkan sehingga 18 gen rintangan yang dikaitkan dengan jangkitan saluran kencing sebagai sasaran cerakin. Penerima anugerah peringkat akhir akan menerima dana penyelidikan sehingga USD 600,000, di samping akses kepada cerakin PCR sindromik, barang guna habis, instrumen dan perisian Seegene bagi menyokong pembangunan diagnostik yang inovatif.

"Sebagai salah satu penerbit saintifik global yang terkemuka, Springer Nature komited untuk membina platform yang menghubungkan saintis dan memperluas penyelidikan inovatif," kata Richard Hughes, Naib Presiden Penerbitan, Nature dan Perkhidmatan Kandungan, Springer Nature. "Melalui program ini, kami berhasrat untuk membantu penyelidik membangunkan penyelesaian diagnostik yang boleh membawa perubahan dalam aspek penjagaan kesihatan di seluruh dunia."

"Peranan Seegene adalah untuk menyediakan alatan dan teknologi kepada saintis dan penyelidik yang boleh menukar idea inovatif kepada penyelesaian sebenar," kata Dr. Jik Young Park, Naib Presiden dan Ketua Bahagian R&D Seegene. "Melalui kolaborasi yang erat bersama Springer Nature, kami memupuk usaha penyelidikan global dengan menyokong saintis menerusi dana dan akses kepada teknologi PCR sindromik kami. Melalui usaha ini, kami bermatlamat untuk menggiatkan pembangunan diagnostik molekul yang membawa kami lebih dekat dengan visi kami untuk mewujudkan 'dunia yang bebas daripada semua penyakit.'"

Nature Awards MDx Impact Grants direka untuk melengkapkan inisiatif global yang sedang berjalan dalam bidang diagnostik dan menyediakan sumber kepada penyelidik untuk mempercepat penyelesaian praktikal. Projek sokongan kitaran 2024-2025 memfokuskan pada pengesanan pantas ViruResist Klebsiella pneumoniae dan cerakin PCR multipleks bagi tujuan pengesanan virus ke atas pesakit terimunokompromi.

Latar Belakang Seegene 

Seegene Inc. ialah peneraju bertaraf global bagi diagnostik molekul dengan kepakaran selama lebih daripada 20 tahun dalam penyelidikan dan pembangunan, pembuatan dan pengkomersialan teknologi PCR masa nyata sindromik. Semasa pandemik COVID-19, Seegene membekalkan lebih 340 juta ujian ke lebih 100 negara, lantas menekankan impak globalnya.

Teknologi PCR kuantitatif sindromik proprietari daripada Seegene mengupayakan pengesanan serentak sehingga 14 patogen yang mengakibatkan gejala yang serupa dalam satu tiub. Dengan ujian panel berbilang tiub, ia boleh meluaskan liputan kepada berpuluh-puluh patogen yang signifikan dari segi klinikal. Teknologi ini memberikan status jangkitan bersama dan juga pemahaman kuantitatif yang menawarkan kelebihan unik dalam mengurus jangkitan yang rumit.

Melalui Inisiatif Perkongsian-Teknologinya, Seegene menggabungkan teknologi PCR kuantitatif sindromik dengan Sistem Pembangunan Digital Seegene (SGDDS) bagi membangunkan secara bersama produk-produk diagnostik yang disesuaikan di peringkat tempatan bersama institusi-institusi dan pakar-pakar terkemuka di seluruh dunia. Dengan memupuk kolaborasi global, syarikat ini memajukan visinya untuk mewujudkan "dunia yang bebas daripada semua penyakit."

Kunjungi Seegene.com dan ikuti kami di LinkedIn (linkedin.com/company/seegene-inc).

Latar Belakang Nature Portfolio  

Produk dan perkhidmatan yang berkualiti tinggi daripada Nature Portfolio dalam bidang sains hayat, fizikal, kimia dan gunaan dikhususkan untuk menawarkan perkhidmatan kepada komuniti saintifik.

Nature (diasaskan pada tahun 1869) ialah jurnal sains mingguan antarabangsa yang terkemuka. Nature Portfolio juga merupakan pusat tumpuan bagi penyelidikan Nature dan jurnal-jurnal Nature Reviews, jurnal berbilang disiplin akses terbuka yang terkemuka Nature Communications dan jurnal-jurnal akses terbuka termasuk Scientific Reports. Jurnal-jurnal ini bersama-sama menerbitkan beberapa penemuan saintifik yang paling penting di dunia.

Dalam talian, nature.com menyediakan kepada lebih sembilan juta pelawat unik setiap bulan dengan kandungan Nature Portfolio, termasuk berita dan ulasan daripada Nature dan lembaga pekerjaan saintifik terkemuka, Nature Careers. Nature Portfolio turut menawarkan pelbagai perkhidmatan penyelidik, termasuk latihan dalam talian dan bersemuka serta perkhidmatan bahasa dan penyuntingan pakar. Untuk maklumat lanjut, sila kunjungi nature.com dan ikuti @Nature. Nature Portfolio merupakan sebahagian daripada Springer Nature.

Hubungan Akhbar: seegenekr@hoffman.com

Source: Seegene Inc.
Related Stocks:
Korea:096530
Keywords: Biotechnology Health Care/Hospital Medical Equipment Medical/Pharmaceuticals Pharmaceuticals Clinical Trials/Medical Discoveries Licensing/marketing agreements