omniture

Yidan Prize 2025 tonjol pencetus perubahan majukan literasi sistem kompleks dan pendidikan berbilang bahasa

Yidan Prize Foundation
2025-09-29 16:00 31

HONG KONG, 29 September 2025 /PRNewswire/ -- Yidan Prize Foundation, sebuah organisasi bersifat dermawan yang bertaraf global, mengumumkan pemenang anugerah bagi Yidan Prize 2025. Profesor Uri Wilensky dan Mamadou Amadou Ly dianugerahkan dengan anugerah tertinggi di dunia dalam bidang pendidikan atas sumbangan masing-masing dalam memupuk kemahiran pemikiran komputasional dan menerobos halangan kepada pendidikan asas. Uri dan Mamadou akan menyertai Yidan Prize Council of Laureates, iaitu sebuah komuniti minda yang bijak dalam bidang penyelidikan dan amalan yang berusaha untuk berkolaborasi, berkongsi peluang dan meninjau laluan untuk mewujudkan dunia yang lebih baik melalui pendidikan.

Penerima Anugerah Penyelidikan Pendidikan Yidan Prize 2025 Profesor Uri Wilensky dan Penerima Anugerah Pembangunan Pendidikan Mamadou Amadou Ly
Penerima Anugerah Penyelidikan Pendidikan Yidan Prize 2025 Profesor Uri Wilensky dan Penerima Anugerah Pembangunan Pendidikan Mamadou Amadou Ly

Menonjolkan pencetus perubahan demi mewujudkan dunia yang lebih baik melalui pendidikan

Jawatankuasa Pengadilan Yidan Prize bebas memilih dua pemenang anugerah dalam kalangan penyelidik dan pengamal yang cemerlang di serata dunia. Jawatankuasa ini menekankan kepentingan untuk mengiktiraf idea-idea inovatif dan boleh skala bilamana berlakunya penyahlaburan dalam bidang pendidikan. Para pemenang anugerah bagi Yidan Prize 2025 memberi sumbangan besar dalam memajukan literasi asas dan saintifik, menyokong pelajar untuk mengambil bahagian sepenuhnya di dalam bilik darjah dan melibatkan diri dalam masyarakat sebagai warga global.

"Pendidikan menyerlahkan potensi. Ia melengkapi individu dan masyarakat dengan kemahiran untuk terus-menerus belajar, mengharungi ketakpastian dan berkembang maju dalam dunia yang berubah-ubah. Di persimpangan pembangunan global, kami berdiri teguh dengan komitmen kami terhadap pendidikan. Yidan Prize didedikasikan untuk menjadi rumah api bagi menerangi kemungkinan dan membentuk masa depan yang lebih cerah melalui pendidikan," kata Dr Charles CHEN Yidan, Pengasas Yidan Prize.

Yidan Prize mengiktiraf pencetus perubahan dalam penyelidikan pendidikan dan pembangunan pendidikan yang usahanya berorientasikan masa depan, inovatif, transformatif dan mampan. Profesor Uri Wilensky dan Mamadou Amadou Ly masing-masing akan menerima HK$30 juta (kira-kira AS$3.8 juta), separuh daripadanya merupakan dana projek tanpa had sebanyak HK$15 juta untuk meluaskan dan meningkatkan inisiatif pendidikan mereka. Setakat ini, Yidan Prize Foundation menganugerahkan sejumlah HK$540 juta (kira-kira AS$69.2 juta) bagi mengiktiraf pencapaian cemerlang dan meningkatkan usaha yang inovatif di lebih 50 negara.

Memahami kerumitan melalui penerokaan secara langsung dan penjanaan ilmu

Penerima Anugerah Yidan Prize 2025 dalam Penyelidikan Pendidikan, Profesor Uri Wilensky, ialah Profesor Lorraine H. Morton bagi Sains Pembelajaran, Sains Komputer dan Sistem Kompleks di Northwestern University. Beliau diiktiraf atas usaha rintisnya dalam pemodelan berasaskan ejen (ABM) yang mendorong literasi sistem yang kompleks dan menghubungkan ilmu pengetahuan disiplin. Beliau membangunkan alatan sumber terbuka yang percuma, NetLogo bagi memudahkan pemahaman yang lebih mendalam tentang fenomena yang kompleks, bermula daripada perubahan iklim hinggalah pandemik kepada ketakstabilan ekonomi. Ia membolehkan pengguna meninjau dan membina model-model yang menggambarkan bagaimana interaksi antara banyak "ejen" individu mewujudkan pola yang berskala besar. Alatan yang sama boleh digunakan oleh kanak-kanak kecil dan penyelidik, yang menyediakan bahasa sejagat untuk mendekati isu-isu yang rumit dalam persekitaran pendidikan dan akademik yang berbeza.

Andreas Schleicher, Ketua Panel Pengadilan Penyelidikan Pendidikan Yidan Prize, menekankan ketepatan masa dalam menonjolkan usaha Uri. Beliau berkata bahawa "Profesor Uri Wilensky meninjau bagaimana representasi komputasional boleh menyusun semula ilmu pengetahuan merentas domain-domain saintifik dan sosial. Dengan melengkapi pelajar menerusi alatan untuk memahami sistem tidak linear dan kompleks, beliau memupuk keyakinan dan kuasa mereka bagi mengharungi dunia yang saling berkait pada masa ini."

Memajukan literasi asas dan keanekabahasaan demi hasil pembelajaran yang lebih baik

Pemenang Anugerah Yidan Prize 2025 dalam Pembangunan Pendidikan, Mamadou Amadou Ly, ialah Pengarah Eksekutif bagi Associates in Research and Education for Development (ARED). Di bawah pimpinan Mamadou, ARED membangunkan model-model pendidikan dwibahasa yang dapat meningkatkan kemahiran literasi dan numerasi asas yang ketara untuk kanak-kanak di dalam dan juga di luar sekolah. Beliau turut mendemonstrasikan kuasa transformatif mengajar dalam bahasa-bahasa yang diketahui oleh kanak-kanak di samping bahasa-bahasa yang perlu dipelajari dan memperlihatkan laluan boleh skala untuk pendidikan dwibahasa di Afrika Barat dan Tengah. Bahan pengajaran dan pembelajaran ARED dilesenkan secara terbuka dan tersedia untuk digunakan oleh semua pada Early Learning Resource Network. Pendekatannya yang berfokuskan komuniti dan sesuai dengan budaya mempengaruhi dasar pendidikan negara di Senegal, Mauritania, Gambia dan selanjutnya.

Dorothy Gordon, Ketua Panel Pengadilan Pembangunan Pendidikan Yidan Prize, menekankan kepentingan global daripada pencapaian Mamadou dalam memajukan kesaksamaan dan keterangkuman dalam bidang pendidikan. Beliau berkata, "Usaha berwawasan oleh Mamadou Amadou Ly dalam bidang pendidikan berbilang bahasa menyediakan kaedah-kaedah yang membuka pintu kepada literasi dan peluang kepada pelajar di peringkat global dan dalam masa yang sama menjaga identiti linguistik dan budaya. Laluan menuju persekitaran pembelajaran yang inklusif dan saksama ini memberi inspirasi kepada reformasi pendidikan di Afrika dan selanjutnya."

Para penerima anugerah akan diraikan di Majlis Penyampaian Anugerah Yidan Prize 2025 pada 6 Disember di Hong Kong. Sidang Kemuncak Yidan Prize tahunan juga akan berlangsung pada 5 dan 6 Disember. Pencalonan bagi Yidan Prize 2026 akan dibuka mulai Oktober 2025 hingga Mac 2026.

– TAMAT –

Latar Belakang Yidan Prize Foundation

Yidan Prize Foundation ialah sebuah yayasan bersifat dermawan yang bertaraf global, dengan misi untuk mewujudkan dunia yang lebih baik melalui pendidikan. Melalui hadiah dan jaringan penginovasinya, Yidan Prize Foundation menyokong idea dan amalan dalam bidang pendidikan — terutamanya, idea dan amalan yang mempunyai kuasa untuk mengubah kehidupan dan masyarakat secara positif.

Yidan Prize ialah anugerah pendidikan tertinggi di dunia yang mengiktiraf individu-individu atau pasukan-pasukan yang menyumbang dengan ketara kepada teori dan amalan dalam bidang pendidikan. Ia terdiri daripada dua hadiah yang saling melengkapi: Yidan Prize untuk Penyelidikan Pendidikan dan Yidan Prize untuk Pembangunan Pendidikan. Hadiah-hadiah ini direka bagi mencetuskan impak: para pemenang bagi setiap hadiah menerima dana projek tanpa had sebanyak HK$15 juta sepanjang tempoh tiga tahun, membantu mereka meningkatkan usaha mereka, serta pingat emas dan hadiah wang tunai sebanyak HK$15 juta. Dana projek dan hadiah wang tunai dikongsi secara sama rata untuk pasukan.

Untuk maklumat lanjut, kunjungi yidanprize.org atau hubungi media@yidanprize.org.

Cari kami @yidanprize di Facebook, Instagram, Twitter dan LinkedIn.

Seorang pelajar memeriksa dengan teliti model semut NetLogo yang menunjukkan cara semut mengumpulkan makanan secara kolektif
Seorang pelajar memeriksa dengan teliti model semut NetLogo yang menunjukkan cara semut mengumpulkan makanan secara kolektif

Pelajar-pelajar terlibat di dalam bilik darjah bagi program remediasi dwibahasa ARED
Pelajar-pelajar terlibat di dalam bilik darjah bagi program remediasi dwibahasa ARED

Source: Yidan Prize Foundation
Keywords: Computer/Electronics Education Higher Education Awards STEM (Science,Technology,Engineering,Mathematics) Future Events