omniture

KETUA PENGARAH ILO PUJI KEPEMIMPINAN STEVEN SIM

Human Resource Development Corporation (HRD Corp)
2025-10-24 08:50 26

DALAM MEMACU AGENDA KEMAHIRAN ASEAN DI

GLOBAL SKILLS FORUM (GSF) 2025

KUALA LUMPUR, Malaysia, 23 Oktober 2025 /PRNewswire/ -- Hari ini, Malaysia telah melakar satu detik bersejarah dalam bidang pembangunan modal insan global dengan penganjuran Global Skills Forum (GSF) 2025 di Shangri-La Kuala Lumpur.

Tengah: Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Malaysia, merasmikan Global Skills Forum (GSF) 2025.
Tengah: Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Malaysia, merasmikan Global Skills Forum (GSF) 2025.

Diadakan bersempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia dan Tahun Kemahiran ASEAN (AYOS) 2025, Forum ini menghimpunkan kerajaan, industri dan komuniti dari seluruh dunia bagi memacu transformasi kemahiran yang menekankan peranan sektor swasta sebagai pemangkin inovasi, keterangkuman dan impak.

Diterajui oleh Kementerian Sumber Manusia Malaysia (KESUMA) melalui Human Resource Development Corporation (HRD Corp), dengan kerjasama Sekretariat ASEAN, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Pertubuhan Majikan Antarabangsa (IOE), GSF 2025 tampil sebagai platform global bagi dialog, kolaborasi dan langkah strategik pembangunan kemahiran masa depan.

GSF 2025 yang telah dirasmikan oleh oleh Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, menekankan potensi unik ASEAN serta peranan kemahiran dalam membentuk masa depan.

"Dengan kemahiran yang tepat, generasi muda ini mampu menjadi pemangkin inovasi dan kemakmuran, bukan sahaja untuk Asia Tenggara, malah untuk ekonomi global," kata Zahid Hamidi.

Gilbert F. Houngbo, Ketua Pengarah ILO, dalam ucapannya memuji kepemimpinan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim dalam menerajui AYOS 2025 sambil menyifatkan beliau sebagai suara penting dalam agenda pekerja dan kemahiran di rantau ini.

"Saya ingin merakam setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Sumber Manusia di bawah kepemimpinan Steven Sim, yang saya anggap sebagai antara menteri tenaga kerja paling dinamik dan berwawasan di rantau ini. Kepemimpinan beliau dalam menjayakan AYOS 2025 jelas mencerminkan komitmen Malaysia dalam memperkasa tenaga kerja serantau bagi menghadapi cabaran masa depan," kata Gilbert.

Beliau turut menegaskan semula komitmen ILO untuk terus bekerjasama dengan Malaysia dan ASEAN.

"Saya juga ingin mengiktiraf usaha cemerlang yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN bagi AYOS 2025. ILO sentiasa bersedia untuk menyokong Malaysia dan ASEAN dalam merealisasikan visi melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dan berdaya tahan," tambah beliau.

Dalam ucapannya, Steven Sim Chee Keong, Menteri Sumber Manusia, menegaskan bahawa pekerja harus kekal menjadi nadi kepada kemajuan ekonomi.

"Pekerja ialah pencipta nilai dalam ekonomi kita. Pencapaian yang dinikmati pekerja sepanjang 100 tahun lalu bukan sahaja perlu dipertahankan, malah mesti terus mara kehadapan, khususnya dalam menghadapi dinamik baharu," ujar Steven Sim.

Beliau turut menekankan kepentingan GSF sebagai sebahagian daripada gerakan serantau yang lebih luas.

"Global Skills Forum bukanlah acara yang berdiri sendiri. Ia merupakan tonggak utama kepada Tahun Kemahiran ASEAN 2025, yang menghimpunkan kerajaan, majikan, pekerja dan komuniti pembelajaran di seluruh rantau ini," tambah beliau.

Bertemakan 'Peranan Transformatif Sektor Swasta dalam Pembangunan Kemahiran: Pemacu Inovasi dan Impak', GSF 2025 membincangkan cabaran utama dalam pembangunan tenaga kerja dan perkongsian amalan terbaik untuk menanganinya. Forum yang dihadiri hampir 600 delegasi ini turut meneroka bagaimana kerajaan, majikan dan institusi latihan dapat bersama-sama merangka strategi yang tangkas dan berpusatkan manusia bagi menghadapi perubahan teknologi pesat, pasaran buruh yang berkembang serta cabaran global.

Antara detik penting dalam acara ini ialah ikrar komitmen Malaysia terhadap pembangunan kemahiran untuk tenaga kerja masa depan negara-negara ASEAN dan komuniti global, dengan matlamat memperkukuh kerjasama, memupuk kemahiran masa depan serta memperkasa komuniti kearah Malaysia yang berdaya tahan, mampan dan berdaya saing

AYOS 2025 akan melabuhkan tirainya dengan Majlis Makan Malam Gala bertemakan 'Colours of Success: A Celebration of Achievements' pada malam ini, yang meraikan pencapaian tujuh platform utamanya.

Source: Human Resource Development Corporation (HRD Corp)
Keywords: Workforce Management/Human Resources Trade show news