ABU DHABI, UAE, 4 Nov 2025 /PRNewswire/ -- Program untuk Sidang Kemuncak Autonomi Abu Dhabi yang julung kali diadakan pada 10 November 2025 telah diumumkan, dengan para peneraju industri global bakal berhimpun untuk membincangkan isu paling mendesak dalam sektor ini termasuk aspek peraturan, integrasi dan skala, di samping menampilkan kemajuan terkini dalam bidang AI, robotik dan mobiliti pintar.
Dianjurkan oleh Majlis Sistem Pintar dan Autonomi (SASC) serta menjadi acara pembukaan Minggu Autonomi Abu Dhabi (ADAW), sidang kemuncak ini akan merintis bab seterusnya dalam mobiliti pintar dan autonomi, sambil menegaskan peranan Abu Dhabi sebagai tapak ujian global di mana teknologi autonomi berkembang daripada inisiatif perintis kepada manfaat awam merangkumi darat, laut, udara, robotik serta aplikasi industri.
Dengan tema Tempat Masa Depan Mobiliti Pintar dan Autonomi Dibentuk (Where the Future of Smart and Autonomous Mobility Takes Shape), sidang kemuncak ini menampilkan 13 sesi dan lebih daripada 30 penceramah, bertujuan mempercepatkan kerjasama antara penggubal dasar, pengendali, pelabur dan inovator, serta menterjemahkan peraturan kepada pelaksanaan berskala nyata.
Sidang kemuncak ini akan dimulakan dengan Dialog Kepimpinan yang membincangkan bagaimana pelaburan, integrasi dan inovasi bakal membentuk ekonomi autonomi Abu Dhabi merangkumi hala tuju komersialisasi menjelang 2030/2040, perkongsian awam-swasta yang memungkinkan pelaksanaannya, serta tadbir urus dan infrastruktur yang menyokong pembangunan bandar berdaya tahan dan bersepadu. Sesi panel bertajuk Pengawalseliaaan Autonomi (Regulating Autonomy) kemudiannya akan menerapkan prinsip Utamakan Keselamatan, Kemudian Skala (Safety First, Then Scale), merangkumi aspek keselamatan siber dan tadbir urus data hinggalah kepada usaha membina serta menilai tahap kepercayaan awam.
Agenda seterusnya akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan melalui sesi Dari Konsep kepada Realiti (From Concept to Reality), yang menyorot teknologi seperti teksi robot, pengangkutan awam dan model penghantaran jarak akhir yang berpotensi diperluas. Ia akan diikuti dengan sesi Memperkasakan Autonomi (Powering Autonomy), yang membincangkan infrastruktur elektrik dan berdaya tahan sebagai tunjang kepada operasi berskala bandar.
Sesi Sinergi Manusia-AI (Human-AI Synergy) akan meneroka AI yang boleh dijelaskan, pengawasan manusia dan reka bentuk perkhidmatan yang mampu menyampaikan risiko dengan jelas, manakala Pembuatan Keputusan Didorong AI akan menelusuri tumpukan AI masa nyata — meliputi dron, jalan pintar serta logistik di persekitaran edge dan awan selamat.
Sesi Kerjasama Antara Sektor (Cross-Sector Collaboration) akan menampilkan bagaimana peneraju dalam bidang mobiliti, tenaga, logistik dan teknologi membentuk kerjasama strategik bagi membuka peluang penggunaan yang bernilai komersial. Sesi Mereka Bentuk Pelabuhan dan Bandar Pintar (Smart Ports and Cities) akan menghuraikan reka bentuk bandar dan aplikasi industri yang bersedia untuk teknologi autonomi, manakala Mobiliti Udara Bandar (Urban Air Mobility) akan membincangkan aspek pensijilan, integrasi ruang udara serta penyambungan antara pelabuhan, lapangan terbang dan kawasan bandar. Sesi Bandar Pintar dalam Tindakan (Smart Cities in Action) akan berkongsi transformasi sebenar yang sedang berlangsung, manakala sesi Pembiayaan dan Perlindungan Aset Kelas Baharu (Financing and Insuring New Asset Classes) akan menutup perbincangan dengan tumpuan kepada bagaimana model pembiayaan dan perlindungan insurans akan menyesuaikan diri bagi menyokong platform generasi baharu.
Antara tokoh industri terkemuka yang bakal menyertai Sidang Kemuncak Autonomi Abu Dhabi ialah Sherif Tawfik, Ketua Pegawai Perkongsian, G42 di Microsoft; Tony Xu Han, Pengasas, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif WeRide; Nikhil Goel, Ketua Pegawai Komersial Archer Aviation; Dr. Talib Alhinai, Pengurus Besar UAE bagi Archer Aviation; Matt Chasen, Ketua Pegawai Eksekutif LIFT Aircraft; Tobias Liebelt, Ketua Pegawai Eksekutif BENTELER Mobility; Mark Seeger, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Glydways; Michael Sønderby, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif SteerAI; George Prentzas, Ketua Pegawai Eksekutif Versa Aerospace; Hugo Fozzati, Ketua Pegawai Perniagaan Tensor; Desmond Wheatley, Ketua Pegawai Eksekutif, Presiden dan Pengerusi Lembaga BEAM Global; Sven Beiker, Pengarah Urusan Silicon Valley Mobility dan Pensyarah di Stanford Graduate School of Business; Yang Berhormat Faisal Al Bannai, Setiausaha Agung Majlis Penyelidikan Teknologi Maju; Yang Berhormat Mohamed Ali Al Shorafa, Pengerusi Jabatan Perbandaran dan Pengangkutan; Yang Berhormat Ahmed Jasim Al Zaabi, Pengerusi Jabatan Pembangunan Ekonomi Abu Dhabi; Yang Berhormat Badr Salim Al Olama, Ketua Pengarah Pejabat Pelaburan Abu Dhabi; Stéphane Timpano, Ketua Pegawai Eksekutif ASPIRE; Tariq Ahmed Al Wahedi, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan 7X; Fay Arjomandi, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif mimik; Elena Sorlini, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lapangan Terbang Abu Dhabi; Mohamed Salah, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Advanced Mobility Hub; dan Rashid Matar Al Manai, Ketua Pegawai Eksekutif LODD Autonomous.
Yang Berhormat Faisal Al Bannai, Penasihat kepada Presiden UAE bagi Hal Ehwal Penyelidikan Strategik dan Teknologi Maju merangkap Setiausaha Agung Majlis Penyelidikan Teknologi Maju berkata: "Minggu Autonomi Abu Dhabi mencerminkan komitmen kami untuk membentuk era autonomi pintar — di mana mesin berfikir, menyesuaikan diri dan bertindak seiring dengan manusia. Ia bukan sekadar tentang teknologi; ia tentang membayangkan semula mobiliti, industri dan pengalaman manusia itu sendiri."
Barisan acara Minggu Autonomi Abu Dhabi:
10 November – Sidang Kemuncak Autonomi Abu Dhabi
Program selama enam hari ini akan dimulakan dengan Sidang Kemuncak Autonomi Abu Dhabi, perintis industri, penggubal dasar dan pelabur akan berhimpun untuk menyertai dialog peringkat tinggi yang bakal merintis bab seterusnya dalam mobiliti pintar.
10-12 November – pameran DRIFTx
Sepanjang tiga hari, DRIFTx akan mempamerkan penyelesaian mobiliti pintar dan autonomi merentasi udara, darat, laut dan robotik melalui pameran langsung yang interaktif.
10-15 November – RoboCup Asia Pasifik 2025
Berlangsung sepanjang ADAW dari 10 hingga 15 November, RoboCup Asia Pasifik 2025 yang dianjurkan oleh Universiti Khalifa dan diadakan buat julung kali di rantau Timur Tengah dan Afrika Utara akan menghimpunkan pasukan antarabangsa terkemuka untuk bersaing dalam cabaran robotik autonomi berasaskan AI.
15 November – Liga Lumba Autonomi Abu Dhabi (A2RL)
ADAW akan berakhir dengan edisi kedua Liga Lumba Autonomi Abu Dhabi (A2RL), satu pertunjukan sukan permotoran yang menampilkan teknologi perlumbaan autonomi paling canggih. Dianjurkan oleh ASPIRE dan Majlis Penyelidikan Teknologi Maju (ATRC) Abu Dhabi, acara ini akan menawarkan jumlah hadiah bernilai AS$2.25 juta dan disertai oleh pasukan penyelidik elit dari 10 buah negara.
Untuk maklumat lanjut mengenai Minggu Autonomi Abu Dhabi 2025, layari: autonomous.abudhabi dan ikuti saluran media sosial kami di @autonomousad.
Media yang diakreditasi boleh mendaftar minat dan membuat permohonan temu bual dengan penceramah yang telah disahkan melalui media@autonomousad.ae.
Maklumat tentang Majlis Sistem Pintar dan Autonomi (Smart and Autonomous Systems Council, SASC)
Ditubuhkan pada tahun 2024, Majlis Sistem Pintar dan Autonomi (SASC) bertanggungjawab menetapkan hala tuju strategik bagi sektor teknologi pintar dan autonomi di Abu Dhabi. Dengan memacu dasar, peraturan, pelaburan dan inovasi melalui kerjasama bersama agensi kerajaan, inovator global dan pihak berkepentingan industri, SASC sedang membentuk ekosistem bertaraf dunia yang meletakkan Abu Dhabi di barisan hadapan teknologi masa depan serta sebagai hab global terkemuka bagi mobiliti pintar dan sistem autonomi.
Maklumat tentang Minggu Autonomi Abu Dhabi
Minggu Autonomi Abu Dhabi (ADAW) merupakan platform utama emiriah itu bagi memajukan mobiliti pintar dan sistem autonomi merentasi darat, laut, udara, robotik dan sektor industri. Dianjurkan oleh Majlis Sistem Pintar dan Autonomi (SASC), edisi sulung ini menghimpunkan peneraju sektor global, penggubal dasar, inovator dan pelabur untuk berhubung, bekerjasama serta mempercepatkan pembangunan teknologi autonomi masa hadapan. Bermula dengan Sidang Kemuncak Autonomi Abu Dhabi, acara utama minggu tersebut yang menumpukan kepada dialog dan kerjasama peringkat tinggi, program ini turut diperkukuh dengan inisiatif seperti DRIFTx, RoboCup Asia Pasifik 2025 (RCAP 2025) dan Liga Lumba Autonomi Abu Dhabi (A2RL), sekali gus memperkukuh peranan Abu Dhabi sebagai hab global untuk inovasi, pelaburan serta pelaksanaan teknologi autonomi yang selamat dan mampan.
Foto: https://mma.prnasia.com/media2/2811801/Archer_Midnight_Aircraft.jpg?p=medium600