![]() |
Education Cannot Wait dan Save the Children mengumumkan kerjasama, dalam perkongsian dengan Arup dan World Wildlife Fund, untuk menetapkan standard baharu bagi ruangan pembelajaran sementara yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
NEW YORK, 20 November 2025 /PRNewswire/ -- Memandangkan perubahan iklim meningkatkan skala dan keterukan krisis di seluruh dunia, Education Cannot Wait (ECW) telah mengumumkan geran Kemudahan Pencepatan bernilai AS$650,000 kepada Save the Children, dalam perkongsian dengan Arup dan World Wildlife Fund (WWF), bagi menetapkan standard baharu untuk menghijaukan ruangan pembelajaran sementara semasa krisis. Inisiatif ini menggariskan hubungan kritikal antara tindakan iklim dan pendidikan dalam keadaan kecemasan ketika pemimpin dunia berkumpul di COP30 dengan tujuan mempercepat proses mendapatkan penyelesaian untuk masa depan yang lebih mampan dan berdaya tahan.
Ruangan pembelajaran sementara memberikan talian hayat untuk kanak-kanak yang terperangkap dalam suasana kecemasan – dari kem pelarian di Bangladesh ke zon banjir di Sudan Selatan. Namun sektor berkenaan tidak mempunyai panduan yang jelas tentang selok-belok mereka bentuk, membina dan menguruskan struktur ini dengan cara yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar, berdaya tahan dan terangkum. Tanpa standard yang betul, sektor ini boleh menyumbang kepada peningkatan sisa buangan dan kemerosotan alam sekitar, seterusnya memberikan impak kepada keadaan pembelajaran.
Bagi menangani jurang tersebut, geran ini menghimpunkan kepimpinan Save the Children dalam hak dan respons kecemasan kanak-kanak, kepakaran teknikal Arup dan pengetahuan alam sekitar WWF yang cukup luas dalam perkongsian berinovatif yang merapatkan jurang antara respons kemanusiaan, kejuruteraan dan kelestarian ekologi.
Marian Hodgkin, Ketua Pendidikan Global, Rintisan Pembelajaran di Save the Children, berkata, "Ruangan pembelajaran sementara kami menawarkan kestabilan dan harapan semasa krisis – harapan yang perlu untuk melangkaui keadaan serta-merta dan menyokong kestabilan yang mampan – yang memerlukan kami untuk menggabungkan kepakaran teknikal dengan suara kanak-kanak. Apabila kanak-kanak membantu membentuk ruangan ini, kami menjadikan tempat itu lebih selamat, lebih relevan dan terangkum. Dan dengan memastikan ruangan pembelajaran ini bertanggungjawab terhadap alam sekitar dan berdaya tahan, kami menunjukkan kepada anak-anak bahawa kami melabur dalam masa depan mereka."
"Arup berbangga dapat bekerjasama dengan Save the Children dan WWF – terima kasih kepada sokongan Education Cannot Wait – untuk memacu penciptaan persekitaran yang selamat, mampan dan berdaya tahan iklim untuk kanak-kanak dalam krisis," kata Hayley Gryc, Pengarah Bersekutu dan Pemimpin Perniagaan Pendidikan UKIMEA di Arup. "Inisiatif ini merupakan langkah penting dalam membayangkan semula cara pendidikan dan tindakan iklim bersatu, memastikan bahawa walaupun dalam suasana yang paling mencabar di dunia, ruangan pembelajaran sementara menyokong maruah manusia dan tanggungjawab terhadap alam sekitar."
"Ruangan pembelajaran sementara ialah tempat perlindungan yang membantu kanak-kanak kembali normal selepas bencana. Tetapi jika ruangan ini direka bentuk tanpa memberi pertimbangan terhadap alam sekitar, kita berisiko memburukkan lagi cabaran yang dihadapi oleh komuniti daripada kejadian ekstrem seperti banjir, gempa bumi dan kebakaran. Melalui perkongsian ini, kami sedang membangunkan alatan praktikal untuk menjadikan setiap bilik darjah semasa krisis menjadi lebih berdaya tahan, terangkum dan lebih hijau," kata Anita van Breda, Pengarah Kanan Alam Sekitar dan Pengurusan Bencana di WWF.
Inisiatif ini akan membangunkan, merintis dan berkongsi alatan yang praktikal dan mesra pengguna untuk pelaku pendidikan yang beroperasi di kawasan krisis. Panduan ini akan meliputi kitaran hayat penuh ruangan pembelajaran sementara – daripada reka bentuk dan mendapatkan sumber bahan kepada penyelenggaraan dan penyahtauliahan – dengan penekanan pada pembinaan berimpak rendah dan penyesuaian tempatan. Panduan ini juga akan memberikan tumpuan kepada keterangkuman kanak-kanak kurang upaya dan mereka yang menghadapi halangan berasaskan jantina.
Rangka kerja global untuk menghijaukan ruangan pembelajaran sementara juga akan dicipta dengan input daripada rakan kongsi tempatan dan antarabangsa, bersama panduan praktikal dan alatan pengiraan kos, yang diuji dalam tetapan krisis yang berbeza bagi memastikan kebolehgunaan semasa berlaku kecemasan. Alatan ini akan dikongsi secara terbuka melalui rangkaian pendidikan, iklim dan kemanusiaan untuk menyokong penerimagunaan dan impak yang luas.
Geran ini ialah sebahagian daripada komitmen strategik ECW terhadap pendidikan pintar iklim dalam keadaan kecemasan. Inisiatif ini memperkukuh keperluan mendesak untuk pelaburan kolektif dalam pendidikan sebagai tonggak utama tindakan iklim. Ini sejajar dengan panggilan tindakan daripada COP30 dan menyumbang kepada usaha global untuk menjadikan sistem pendidikan lebih berdaya tahan, mampan dan terangkum di tengah-tengah peningkatan risiko iklim dan kemanusiaan.
Foto - https://mma.prnasia.com/media2/2826845/Education_Cannot_Wait_Refugee.jpg?p=medium600
Logo - https://mma.prnasia.com/media2/1656121/Education_Cannot_Wait_Logo.jpg?p=medium600