![]() |
MOU berasingan ditandatangani dengan SingHealth untuk pertukaran pengetahuan rentas sempadan dua hala,
dan dengan Tianjin Academy of TCM untuk pengembangan ke Singapura
SINGAPURA, 27 Februari 2025 /PRNewswire/ -- Perennial Holdings Private Limited ("Perennial Holdings") mencipta kejayaan yang besar hari ini menerusi pembukaan rasmi kluster perubatan yang terdiri daripada tiga hospital dengan sejumlah 1,000 katil dalam Bandar Penjagaan Kesihatan dan Perniagaan Antarabangsa Kereta Api Berkelajuan Tinggi ("HSR") Selatan Perennial Tianjin ("PIHBC Tianjin") di Daerah Xiqing, Tianjin, China. Ketiga-tiga hospital ini, dibina dan dilengkapi dengan kos pelaburan berjumlah RMB2 bilion, terdiri daripada hospital besar tertiari swasta milik asing sepenuhnya yang pertama di China, hospital rehabilitasi dan hospital pakar otak. PIHBC Tianjin, pembangunan berorientasikan transit HSR berskala besar yang pertama seumpamanya di China yang bersebelahan dengan Stesen HSR Selatan Tianjin turut menggabungkan komponen penjagaan warga emas dan hospitaliti.

Perennial Tianjin Medical Cluster, Including China’s First Wholly Foreign-Owned Private Tertiary General Hospital, Officially Opened
Acara keramaian ini turut menyaksikan penandatanganan dua Memorandum Persefahaman ("MOU"). Pertama adalah dengan SingHealth, kumpulan penjagaan kesihatan awam terbesar Singapura untuk saling memajukan inovasi latihan klinikal, penyelidikan dan teknologi maklumat ("IT") perubatan melalui kluster perubatan dan penjagaan warga emas PIHBC Tianjin bagi meningkatkan standard kecemerlangan dalam penjagaan berpusatkan pesakit. Keduanya adalah dengan Tianjin Academy of Traditional Chinese Medicine ("TCM") ("Tianjin Academy of TCM"), salah satu akademi penyelidikan TCM kebangsaan terkemuka China untuk mengintegrasikan kepakaran dan praktis TCM merentas kluster perubatan dan penjagaan warga emas PIHBC Tianjin dan untuk memudahkan penubuhan cawangan Tianjin-Singapura luar negara di hartanah Perennial Holdings, Singapura.

Perennial Holdings signs strategic partnership with SingHealth to mutually advance clinical training, research and medical IT innovation.

Perennial Holdings partners Tianjin Academy of TCM to integrate its TCM expertise and practice across PIHBC Tianjin’s medical and eldercare clusters, and to facilitate expansion into Singapore.
Pencapaian ini disaksikan oleh Tetamu Kehormat En. Peter Tan, Duta Besar Singapura ke Republik Rakyat China, En. Yap Cheng Boon, Pengarah (China Utara & Barat), Enterprise Singapore, pegawai kerajaan daripada Suruhanjaya Kesihatan Perbandaran Tianjin, Pentadbiran Ubat Perbandaran, Biro Insurans Perubatan Perbandaran, Kerajaan Daerah Xiqing, Profesor Ng Wai Hoe, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SingHealth yang turut serta secara dalam talian, En. Zhao Qiang, Presiden Tianjin Academy of TCM, rakan-rakan niaga daripada industri perubatan dan penjagaan kesihatan serta media.
Hospital-hospital dalam kluster perubatan, kesemuanya memiliki peralatan terkini dan mempunyai kakitangan yang terdiri daripada golongan profesional berbilang bidang dan berkelayakan tinggi, menyediakan konsep hab perubatan bersepadu sehenti yang mudah dan memfokuskan pada penjagaan berpusatkan pesakit. Hospital-hospital ini termasuk Hospital Besar Perennial Tianjin, hospital dengan 500 katil yang menawarkan bidang perubatan yang komprehensif, Hospital Rehabilitasi Perennial, hospital dengan 200 katil untuk pemulihan dan rehabilitasi selepas pembedahan dan Hospital Otak Perennial Eber dengan 300 katil yang berkepakaran dalam pembedahan neurologi. Bersama-sama dengan Hospital Perawatan Perennial dengan 299 katil bagi komponen penjagaan warga emas, hospital-hospital ini berada dalam kedudukan yang baik untuk menyediakan penjagaan berkualiti kepada warga emas yang menghuni di rumah jagaan warga emas dan pangsapuri kediaman berbantu yang mempunyai lebih 1,500 katil serta komuniti di Daerah Xiqing dan kawasan Beijing-Tianjin-Hebei yang lebih luas.
MOU bersama SingHealth dan Tianjin Academy of TCM
Dengan penubuhan Hospital Besar Perennial Tianjin sebagai hospital besar tertiari swasta milik asing sepenuhnya yang pertama dan komitmen awal kami untuk memupuk kolaborasi hospital tempatan-asing bagi meningkatkan standard penjagaan perubatan swasta, Perennial Holdings menjalin perkongsian strategik dengan SingHealth untuk membawa ramai ahli profesional perubatan dan pelbagai kepakaran ke Tianjin. MOU ini akan menyaksikan SingHealth menyediakan latihan untuk doktor, jururawat dan ahli profesional kesihatan bersekutu di seluruh empat hospital PIHBC Tianjin, rumah jagaan warga emas dan pangsapuri kehidupan berbantu. Latihan dijangka merangkumi pelbagai kepakaran, termasuk kardiologi, ortopedik, onkologi dan penjagaan geriatrik. Pasukan penjagaan kesihatan pelbagai bidang PIHBC Tianjin juga akan berpeluang menghadiri latihan di rangkaian luas hospital akut, pusat kepakaran nasional, hospital komuniti dan poliklinik SingHealth di Singapura. Ahli profesional penjagaan kesihatan daripada SingHealth juga akan mendapat pemahaman mengenai model bersepadu PIHBC Tianjin yang unik bagi perubatan dan penjagaan warga emas, pelaksanaan teknologi untuk meningkatkan hasil pesakit dan bekerjasama dengan pakar dalam pelbagai bidang seperti geriatrik, rehabilitasi dan demensia. Terdapat juga rancangan untuk meninjau projek penyelidikan dan pembangunan bersama dan bersama-sama menganjurkan persidangan, kursus serta program pendidikan.
Bagi menyokong rancangan China untuk menambah TCM kepada Inisiatif Jalur dan Jalan ("BRI") dan membina pusat TCM luar negara, Perennial Holdings menjalin perkongsian strategik dengan Tianjin Academy of TCM untuk membangunkan dan mengintegrasikan TCM merentas kluster perubatan dan penjagaan warga emas PIHBC Tianjin dan di Singapura, meningkatkan penjagaan holistik untuk pesakit di kedua-dua wilayah. Kedua-dua pihak akan bersama-sama meningkatkan aplikasi teknik, kepakaran dan budaya TCM, memanfaatkan kekuatan bakat pasukan Tianjin Academy of TCM dan kepakaran mendalam dalam perubatan serta teknologi TCM. Perkongsian ini juga akan memanfaatkan kedudukan kukuh Perennial Holdings di tempat asalnya untuk membina pusat TCM utama Singapura akademi ini yang akan berfungsi sebagai pintu masuk untuk meluaskan jangkauan dan integrasi TCM di seluruh Asia Tenggara, rantau dalam BRI.
En. Pua Seck Guan, Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Perennial Holdings, berkata, "Hari ini menyaksikan satu peristiwa penting tatkala kami membuka secara rasmi tiga hospital di Tianjin, termasuk hospital besar tertiari swasta milik asing sepenuhnya yang pertama di China. Kami berterima kasih kepada kerajaan China atas sokongan padu mereka yang telah menjadi kunci kepada perjalanan kami setakat ini. Dua MOU kami yang diumumkan hari ini akan meningkatkan lagi penjagaan berpusatkan pesakit di seluruh kawasan kami di Tianjin yang akhirnya mengangkat kedudukan antarabangsa industri perubatan China, sekali gus turut mereplikasi model penjagaan bersepadu kami, digandingkan dengan kepakaran TCM, di Singapura."
En. Pua menambah, "Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan SingHealth, yang merupakan asas dalam sistem penjagaan kesihatan bertaraf dunia Singapura, dalam aspek inovasi latihan klinikal, penyelidikan dan IT di seluruh hospital dan perumahan warga emas kami di PIHBC Tianjin. Kolaborasi ini turut menyediakan platform yang sangat baik untuk pasukan berbilang bidang SingHealth bertukar-tukar pengetahuan dan kepakaran dengan pengamal penjagaan kesihatan tempatan yang berpengalaman dan memperoleh pemahaman yang lebih mendalam mengenai model unik kami yang mengintegrasikan perubatan dan penjagaan warga emas di TOD HSR perintis kami di China. Ini juga merupakan sebahagian daripada usaha kami untuk meningkatkan standard rawatan perubatan swasta di Tianjin dengan matlamat untuk memacu pertumbuhan sektor pelancongan perubatan Tianjin dari semasa ke semasa."
En. Pua seterusnya menambah, "Begitu juga dengan perkongsian kami bersama Tianjin Academy of TCM yang merupakan tempat latihan terpiawai kebangsaan perintis untuk doktor residen TCM, akan membawa kepakaran TCM yang mendalam kepada kluster perubatan dan penjagaan warga emas PIHBC Tianjin, seterusnya membina keupayaan kami yang holistik. Perkongsian kami juga akan menyokong visi akademi untuk meluaskan jangkauan TCM, bermula dengan Singapura ke seluruh Asia Tenggara, selaras dengan rancangan kerajaan untuk menyebarluaskan budaya, teknik dan kepakaran TCM di bawah BRI."
Profesor Ng Wai Hoe, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SingHealth, berkata, "Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan Perennial Holdings untuk menjalin perkongsian yang bermakna dengan golongan profesional penjagaan kesihatan di Tianjin melalui pertukaran ilmu pengetahuan bagi menerobos sempadan perubatan. Melalui kolaborasi dalam penyelidikan, inovasi dan penjagaan pesakit menerusi pelbagai kepakaran dan merentas domain profesional yang berbeza, saya yakin bahawa kami akan dapat mensinergikan usaha bagi meningkatkan standard penjagaan kesihatan di Tianjin dan Singapura serta menambah baik penyampaian penjagaan untuk pesakit di kedua-dua wilayah."
En. Zhao Qiang, Presiden Tianjin Academy of TCM, berkata, "Kolaborasi ini bukan sahaja memupuk penerimaan dan kemajuan TCM di Singapura dengan menyampaikan perkhidmatan yang lebih mudah diakses, profesional dan cekap, bahkan turut memacu pertumbuhan serta budaya TCM dan dalam masa yang sama membuka pintu kepada industri TCM Tianjin untuk meluaskan jangkauan global dan pengiktirafan jenamanya."
Latar Belakang Hospital-hospital dalam Kluster Perubatan PIHBC Tianjin dan Rakan Kongsi MOU
Hospital Besar Perennial Tianjin disokong oleh pasukan berbilang bidang dengan pasukan pakar perubatan peringkat tinggi yang mempunyai pengalaman klinikal yang luas, meliputi disiplin perubatan yang komprehensif, termasuk perubatan dalaman, onkologi, kardiologi, ortopedik, urologi, dermatologi, otolaringologi, nefrologi, ginekologi, TCM, pergigian dan perubatan kecemasan. Hospital ini membawakan konsep ruang perubatan bersama ringan aset yang unik untuk doktor dan kumpulan perubatan, di mana mereka memfokuskan semata-mata untuk menyediakan perundingan dan rawatan perubatan tanpa melabur dalam kemudahan dan perkhidmatan perubatan. Doktor dan kumpulan perubatan sebaliknya boleh menggunakan kemudahan dan perkhidmatan perubatan dikongsi bersama yang disediakan dan diurus oleh Perennial Holdings, termasuk dewan bedah termaju, peralatan pengimejan diagnostik dan makmal klinikal yang luas.
Hospital Rehabilitasi Perennial Tianjin menghimpunkan pakar dalam bidang rehabilitasi, mencakupi rehabilitasi khusus yang inovatif bermula daripada keadaan neurologi, penyakit kritikal, kecederaan sukan, disfagia dan banyak lagi. Hospital ini membawakan sistem rawatan unik dan holistik yang menggabungkan pendekatan rehabilitasi tradisional dan moden melalui peralatan canggih daripada hospital ini untuk memenuhi pelbagai keperluan rawatan dan rehabilitasi di satu tempat. Ini termasuk kolam hidroterapi angkat berskala besar satu-satunya di Tianjin untuk terapi rehabilitasi akuatik, sawat injak rehabilitasi antigraviti dari Amerika Syarikat, sistem gantungan rel siling Generasi Ketiga Guldmann Denmark, peralatan rehabilitasi terbantu robot dan kebuk oksigen hiperbarik 24 orang.
Hospital Otak Perennial Eber Tianjin ialah satu perkongsian antara Perennial Holdings dan Eber Shanghai, salah satu kumpulan perubatan pakar otak terkemuka China. Berkepakaran dalam pembedahan berkaitan neurologi serta rawatan pembedahan dan rehabilitasi bersepadu bagi palsi serebrum, hemiplegia dan paraplegia pada orang dewasa, hospital ini juga akan menawarkan diagnosis dan rawatan pelbagai disiplin untuk penyakit seperti demensia, penyakit Parkinson dan gangguan pergerakan.
SingHealth mempunyai rangkaian empat hospital awam, dua hospital komuniti, lima pusat kepakaran nasional dan rangkaian lapan poliklinik yang menawarkan lebih 40 kepakaran klinikal. Rangkaian institusinya yang luas termasuk Hospital Besar Singapura, Hospital Wanita dan Kanak-kanak KK, Hospital Besar Changi, Hospital Besar Sengkang, Poliklinik SingHealth, Pusat Kanser Nasional Singapura, Pusat Pergigian Nasional Singapura, Pusat Jantung Nasional Singapura, Institut Neurosains Nasional, Pusat Mata Nasional Singapura dan Hospital Komuniti Outram. Rangkaian SingHealth juga termasuk Pusat Perubatan Akademik SingHealth Duke-NUS yang memanfaatkan kekuatan kolektif SingHealth dan Sekolah Perubatan Duke-NUS untuk memacu transformasi penjagaan kesihatan dan menyediakan penjagaan kesihatan yang berkualiti.
Tianjin Academy of TCM ialah salah satu daripada enam institut penyelidikan TCM kebangsaan utama yang diluluskan oleh Majlis Negara China pada tahun 1987. Sebagai sebuah institut penyelidikan dan perubatan TCM yang komprehensif, ia merangkumi Tianjin Academy of TCM Affiliated Hospital, yang merupakan institusi penyelidikan saintifik dan perubatan komprehensif yang mengintegrasikan penyelidikan saintifik, amalan klinikal, pengajaran, rehabilitasi dan pengurusan kesihatan. Hospital ini merupakan tempat latihan terpiawai kebangsaan pertama untuk doktor residen TCM dan dilengkapi dengan 600 katil dan 847 katil terbuka, menyaksikan purata jumlah pesakit luar harian melebihi 4,000 orang.
– TAMAT –
Latar Belakang Bandar Penjagaan Kesihatan dan Perniagaan Antarabangsa Kereta Api Berkelajuan Tinggi Selatan Perennial Tianjin
Bandar Penjagaan Kesihatan dan Perniagaan Antarabangsa Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Selatan Perennial Tianjin (PIHBC Tianjin) ialah pembangunan berorientasikan transit HSR Penjagaan Warga Emas, Rawatan Perubatan dan Hospitaliti Bersepadu Pertama Seumpamanya di Dunia. Bersebelahan dengan Stesen HSR Selatan Tianjin, PIHBC Tianjin akan memenuhi keperluan penjagaan kesihatan dan hospitaliti bersepadu Daerah Xiqing dan kawasan Beijing-Tianjin-Hebei yang lebih luas serta pelancong perubatan serantau.
Komponen perubatan PIHBC Tianjin yang diberi kedudukan sebagai Kluster Perubatan Perennial, terdiri daripada sejumlah 1,000 katil di tiga hospital yang kesemuanya memiliki peralatan canggih dan mempunyai kakitangan yang terdiri daripada golongan profesional berbilang disiplin dan berkelayakan tinggi, menyediakan konsep hab perubatan bersepadu sehenti yang memfokuskan pada penjagaan berpusatkan pesakit. Hospital-hospital termasuk Hospital Besar Perennial Tianjin dengan 500 katil, hospital besar tertiari swasta milik asing sepenuhnya yang pertama di China yang menawarkan disiplin perubatan yang komprehensif, Hospital Rehabilitasi Perennial, hospital rehabilitasi sekunder dengan 200 katil untuk pemulihan dan rehabilitasi selepas pembedahan dan Hospital Otak Eber Perennial, hospital pakar otak tertiari dengan 300 katil.
Komponen penjagaan warga emas PIHBC Tianjin yang diberi kedudukan sebagai Komuniti Penjagaan Warga Emas Perennial, menempatkan Rumah Jagaan Warga Emas Perennial Tianjin, sebuah perumahan hidup berdikari mesra warga emas 374 unit dengan 286 katil; Pangsapuri Kehidupan Berbantu Perennial Tianjin, kemudahan dengan 1,227 katil untuk penghuni warga emas yang memerlukan bantuan dengan aktiviti harian; Hospital Perawatan Perennial Tianjin, hospital perawatan pertama di bandar ini dengan 299 katil yang menawarkan penjagaan perawatan, demensia, hilang upaya dan paliatif; serta Stesen Perawatan Perennial yang menawarkan pengurusan penjagaan geriatrik dan perawatan pesakit luar. Dengan sejumlah kira-kira 1,800 katil, komuniti penjagaan warga emas yang holistik ini akan memenuhi keperluan berbeza generasi perak dengan keseluruhan penjagaan di bawah satu bumbung.
Komponen hospitaliti PIHBC Tianjin mempunyai sejumlah kira-kira 1,000 bilik merentas empat hotel berbilang jenama 3 hingga 5 bintang. Sebagai yang pertama seumpamanya di daerah Xiqing, hotel 5 bintang berjenama 'The Perennial, JdV by Hyatt' manakala hotel 4+ bintang dan 4 bintang berjenama 'Cheese by Minyoun' dan 'Lia by Minyoun', masing-masing. Hotel bertaraf 3 bintang berjenama 'MINYOUN LIVING', menampilkan ruang komunal interaktif dan pelbagai guna dengan warna semula jadi dan menenangkan. Secara kolektif, empat hotel ini menawarkan lebih 32,000 kaki persegi ruang pertemuan, insentif, persidangan dan pameran, serta empat pilihan tempat makan destinasi yang menyajikan pelbagai masakan.
Latar Belakang Perennial Holdings Private Limited (www.perennialholdings.com)
Perennial Holdings Private Limited ("Perennial Holdings") ialah sebuah syarikat hartanah dan penjagaan kesihatan bersepadu yang beribu pejabat di Singapura. Sebagai pemilik, pemaju dan pengurus hartanah, Perennial Holdings memfokuskan secara strategik pada pembangunan berorientasikan transit ("TOD") berskala besar dan bertapak di China, Singapura, Malaysia dan Indonesia dengan portfolio yang merangkumi kira-kira 80 juta kaki persegi dalam jumlah keseluruhan keluasan lantai kasar. Sebagai pemilik, pengendali dan pengurus perkhidmatan penjagaan kesihatan, Perennial Holdings memfokuskan pada hospital dan pusat perubatan, serta penjagaan warga emas dan perumahan warga emas. Di China, ia bertapak merentas 14 bandar dan mempunyai lebih 23,000 katil yang terdiri daripada kira-kira 13,000 katil operasi dan lebih 10,000 katil yang sedang dirancang. Rangkaian kemudahan penjagaan kesihatan Perennial Holdings termasuk hospital besar, hospital rehabilitasi dan hospital pakar, serta pangsapuri kediaman dibantu, rumah jagaan warga emas dan pusat jagaan serta perkhidmatan penjagaan warga emas bersepadunya yang terdiri daripada perubatan, perawatan, rehabilitasi, Perubatan Tradisional Cina ("TCM"), demensia dan penjagaan di rumah. Di Singapura, ia memiliki pembangunan kehidupan berbantu dan kemudahan rehabilitasi berfokuskan warga emas.
Di China, portfolio Perennial Holdings terdiri daripada TOD yang bersebelahan dengan enam stesen kereta api berkelajuan tinggi yang terbesar di negara ini. Lima TODnya berpusatkan perubatan dan penjagaan kesihatan, kebanyakannya mengintegrasikan penjagaan warga emas, penjagaan perubatan dan hospitaliti, terletak di Chengdu, Tianjin, Kunming, Xi'an dan Chongqing, serta satu TOD berpusatkan komersial di Hangzhou. Satu lagi TOD komersial yang terkenal ialah Pembangunan Bersepadu Tongzhou Beijing. Perennial Holdings turut mengendalikan Perkampungan Penjagaan Alzheimer yang pertama di China dan keenam di dunia di Xi'an.
Di Singapura, portfolio Perennial Holdings terdiri daripada hartanah ikonik seperti The Skywaters, Golden Mile Singapore, Capitol Singapore, CHIJMES dan Bandar Perniagaan Perennial yang terletak di daerah perniagaan utama berhampiran hab pengangkutan. Ia turut mengendalikan pembangunan kehidupan berbantu persendirian pertama Singapura di Parry Avenue dan rehabilitasi bersepadu swasta yang pertama seumpamanya dan tempat perlindungan TCM di Jervois Road.
Dikeluarkan oleh Perennial Holdings Private Limited (Pendaftaran Syarikat: 200210338M)