STOCKHOLM, 20 Mac 2015 /PRNewswire/ --
Rajendra Singh dari India dinamakan sebagai Penerima Anugerah Air Stockholm 2015, bagi usaha pemulihan air inovatif beliau, meningkatkan keselamatan air di kawasan luar bandar India, dan kerana menunjukkan keberanian serta kecekalan luar biasa dalam usaha beliau untuk memperbaiki keadaan hidup bagi mereka yang paling memerlukan.
En Singh, dilahirkan pada 1959, tinggal dan bekerja di negeri Rajasthan di India. Hasil kerja beliau tiada tandingannya: bekerjasama erat dengan penduduk setempat, beliau bersama organisasinya telah memulihkan beberapa sungai, membawakan air dan kehidupan kembali ke ribuan kampung, serta memberikan harapan kepada ramai orang.
Semasa menerima berita tentang anugerah tersebut, En Singh berkata "ini merupakan berita yang menggalakkan, menaikkan semangat dan memberi inspirasi. Melalui kebijaksanaan India tentang penuaian air hujan, kami telah menjadikan kampung yang daif, ditinggalkan, uzur dan tidak mempunyai harapan kembali sejahtera serta sihat."
Jawatankuasa Anugerah Air Stockholm berkata "masalah air hari ini tidak dapat diselesaikan dengan sains atau teknologi sahaja. Usaha Rajendra Singh sepanjang hayatnya adalah membina kapasiti sosial untuk menyelesaikan masalah air setempat melalui usaha pelibatan, memperkasa wanita, menghubungkan pengetahuan tradisi setempat dengan pendekatan saintifik dan teknikal moden."
"En Singh merupakan satu tunjang harapan," kata Torgny Holmgren, Pengarah Eksekutif SIWI. "Beliau telah benar-benar mengembalikan nadi kampung-kampung ini. Kita perlu belajar daripada teladan dan tindakan En Singh jika kita ingin mencapai penggunaan air lestari dalam hayat kita."
Kaedah yang digunakan oleh En Singh merupakan pemodenan cara India kuno untuk mengumpul dan menyimpan air hujan. Kaedah-kaedah tersebut luput daripada penggunaan semasa pemerintahan kolonial British, tetapi kini telah mengembalikan air ke negeri yang paling kering di India.
Perubahan iklim kini mengubah pola cuaca di seluruh dunia, membawa kepada kemarau dan banjir yang lebih kerap dan teruk. Pengetahuan tentang kaedah menuai air hujan akan menjadi kemahiran penting di kebanyakan bahagian dunia.
"Usaha kami merupakan cara untuk menyelesaikan banjir dan kemarau di peringkat global," kata Rajendra Singh, menambah bahawa impak adalah pada peringkat setempat, kebangsaan, antarabangsa, dan paling penting sekali di peringkat kampung.
Yang Mulia Raja Carl XVI Gustaf Sweden, Penaung Anugerah Air Stockholm akan menyampaikan anugerah tersebut kepada Rajendra Singh pada Majlis Anugerah Diraja semasa Minggu Air Sedunia 2015 di Stockholm pada 26 Ogos.
Nota kepada Editor:
Untuk maklumat lanjut tentang Penerima, Anugerah, dan SIWI: http://www.siwi.org/swp2015
Sumber: Stockholm International Water Institute