MANDALAY, Myanmar, 20 Mac 2015 /PRNewswire/ -- Lembaran sejarah baharu dilakar ketika Solar Impulse 2 berlepas bagi perjalanan sejauh 35,000 kilometer mengelilingi dunia, dikuasakan hanya dengan tenaga suria. Schindler, penyedia lif dan tangga bergerak global terkemuka dunia, merupakan salah satu daripada empat rakan kongsi utama projek itu dan menyambut pesawat itu ketika ia singgah di Lapangan Terbang Antarabangsa Mandalay di Mandalay, Myanmar, pada 19 Mac.
Solar Impulse 2 merupakan pesawat satu tempat duduk yang diperbuat daripada gentian karbon, dengan rentang sayap 72 meter - lebih besar daripada rentang sayap Boeing 747 - dengan berat hanya 2,300 kilogram. 17,248 sel suria yang dibina ke dalam sayap itu membekalkan tenaga boleh dibaharui kepada empat motor elektrik (17.5 CV setiap satu). Semasa waktu siang, sel suria itu mengecas semula bateri litium, seberat 633 kilogram, yang membolehkan pesawat itu terbang pada waktu malam, lalu memberikannya autonomi hampir tiada had.
Pesawat itu berlepas dari Abu Dhabi pada 9 Mac dan akan singgah di 12 lokasi. Perjalanannya termasuklah hentian di Muscat, Oman; Ahmedabad dan Varanasi, India; Mandalay, Myanmar; serta Chongqing dan Nanjing, China. Selepas menyeberangi Lautan Pasifik melalui Hawaii, Solar Impulse 2 akan terbang merentasi AS dan singgah di tiga lokasi -- Phoenix, lokasi di kawasan Midwest dan Kota Raya New York di JFK. Selepas menyeberangi Lautan Atlantik, fasa terakhirnya termasuklah hentian di Eropah Selatan atau Afrika Utara sebelum tiba semula di Abu Dhabi. Dengan pesawat itu yang bergerak pada kelajuan maksimum 90 hingga 140 km/j, bergantung kepada altitud penerbangan, perjalanan itu akan mengambil masa selama lima bulan, termasuk 25 hari masa penerbangan.
Schindler, yang telah beroperasi di Myanmar sejak 1999, berbesar hati dapat menyertai projek ini. "Ini merupakan saat yang bersejarah dan kami gembira dapat menjadi sebahagian daripada pasukan yang berkongsi semangat rintis dan keghairahan untuk kecemerlangan reka bentuk yang sama dengan kami, dengan matlamat yang sama untuk menggerakkan orang ramai dengan selamat sambil menggunakan sedikit tenaga," kata Jujudhan Jena, Ketua Eksekutif Jardine Schindler Group.
Ketika permintaan untuk mobiliti terus bertambah dan kebimbangan terhadap kemampanan semakin meningkat, usaha untuk menggunakan tenaga bersih daripada sumber boleh dibaharui semakin digiatkan. Schindler sudah tidak asing lagi dengan usaha untuk membangunkan produk yang bertanggungjawab daripada segi alam sekitar, bukan setakat mereka penyelesaian yang memulihara, menjana semula, atau menjimatkan tenaga selama berpuluh tahun, malah memperjuangkan pandangan yang kini sudah diiktiraf seluruh dunia yang menyatakan kemampanan adalah keperluan penting bagi kemajuan masa hadapan bandar raya moden kita.
Oleh itu Schindler telah membawakan banyak teknologi revolusioner yang telah menjadi penentu aliran pasaran, termasuk pacuan jana semula yang menyuap tenaga elektrik balik semula ke dalam grid, teknologi media tarikan yang membenarkan penggunaan mesin yang lebih kecil dan lebih menjimatkan tenaga, serta teknologi PORT yang memenangi anugerah yang mengoptimumkan lalu lintas penumpang merentasi bangunan.
Sebagai kesan langsung daripada kerjasama rapat antara para jurutera Schindler dan pasukan projek itu, banyak ilmu pengetahuan telah dikongsi, dibangunkan, dan diperhalusi lagi. Syarikat itu menjangkakan banyak kemajuan yang dibuat dalam bidang penjimatan tenaga melalui kerjasama ini boleh diaplikasikan untuk lif mereka bagi generasi seterusnya.
Pengasas Solar Impulse mengalu-alukan penyertaan Schindler sebagai contoh penting yang menunjukkan bagaimana syarikat yang memandang ke hadapan sedang menghampiri pembangunan mampan dan melihat potensi perindustrian untuk menggunakan teknologi bersih serta tenaga boleh dibaharui.
"Kerjasama antara kami dengan Solar Impulse adalah contoh dedikasi berpanjangan kami untuk melabur dalam teknologi bersih bagi mobiliti mampan," kata Jujudhan Jena. "Seperti mereka dalam pasukan Solar Impulse, usaha intensif yang dibuat oleh pasukan penyelidikan & pembangunan (R&D) kami selama ini telah melahirkan penyelesaian pemecah kebiasaan yang telah menakrifkan semula standard industri."
Latar Belakang Solar Impulse
Perintis Switzerland Bertrand Piccard (Presiden) dan Andre Borschberg (Ketua Pegawai Eksekutif) merupakan pengasas, juruterbang, dan orang kuat di sebalik Solar Impulse, pesawat pertama yang mampu terbang siang dan malam tanpa menggunakan bahan api atau mengeluarkan bahan pencemar, yang akan digunakan untuk percubaan membuat perjalanan suria mengelilingi dunia untuk kali pertama dalam tahun 2015. Disokong oleh empat rakan kongsi utama termasuk Schindler, Solar Impulse merupakan pengembaraan unik yang menyasarkan untuk memarakkan semula semangat penerokaan saintifik. Ia merupakan wawasan yang menggalakkan kita semua menjadi perintis setiap hari.
Latar Belakang Schindler
Ditubuhkan di Switzerland pada tahun 1874, Schindler Group merupakan penyedia terkemuka dunia untuk lif, tangga bergerak, dan perkhidmatan berkaitan, dengan 54,000 kakitangan beroperasi di lebih 100 buah negara. Penyelesaian mobiliti Schindler menggerakkan satu bilion orang setiap hari di seluruh dunia dan menyokong kemajuan bandar yang mampan dengan sistem pengangkutan dalam bangunan yang selamat, andal, serta mesra alam sepenuhnya untuk bangunan kediaman tingkat rendah sehinggalah bangunan komersial dan juga menara tingkat tinggi yang menjangkau sehingga setengah kilometer ke angkasa.
Schindler Myanmar, ditubuhkan pada 1999, beribu pejabat di Yangon, dengan dua cawangan di Naypyidaw dan Mandalay. Ia mereka, mereka bentuk, memasang, menyelenggara, dan memodenkan semua jenis lif, tangga bergerak, dan jalan automatik serta memberi tumpuan bagi menawarkan perkhidmatan pelanggan yang premium serta membawakan teknologi yang terbaik dalam kelasnya kepada negara itu.
JSG beribu pejabat di Hong Kong dan beroperasi di 12 buah negara/wilayah di rantau Asia Tenggara termasuk Brunei, Kemboja, Hong Kong, Macau, Malaysia, Myanmar, Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand, Taiwan dan juga Vietnam. Ia mencipta, membina, memasang, menyelenggara dan memodenkan kesemua jenis lif, tangga bergerak dan laluan pejalan kaki bergerak selain memberi tumpuan untuk menawarkan khidmat pelanggan premium serta membawakan teknologi terbaik dalam kelasnya kepada rantau tersebut.
Maklumat Perhubungan Media
Sherring Mak
Pengurus Komunikasi Pasaran
Jardine Schindler Group
sherring.mak@hk.schindler.com
Gambar - http://photos.prnasia.com/prnh/20150320/8521501482-a
Gambar - http://photos.prnasia.com/prnh/20150320/8521501482-b
Gambar - http://photos.prnasia.com/prnh/20150320/8521501482-c
Logo - http://photos.prnasia.com/prnh/20141111/8521406714LOGO