BRUSSELS, 24 Mac 2015 /PRNewswire/ --
Bukan untuk media AS dan UK
Persatuan Barah Kolorektum Antarabangsa (ICCA)* hari ini melancarkan kempen kesedaran baharu 'Get Tested' sebagai sebahagian daripada Hari Barah Kolorektum Bermetastasis Dunia yang pertama seumpamanya. Kempen Get Tested menyasarkan untuk meningkatkan kesedaran serta pemahaman tentang kepentingan ujian RAS dalam pesakit yang baru didiagnosis dengan barah kolorektum bermetastasis (mCRC), dan untuk menggalakkan mereka membincangkan prosedur ujian dengan doktor mereka.
Kempen itu disokong oleh sejumlah pertubuhan profesional penjagaan kesihatan serta kumpulan sokongan pesakit seluruh dunia, dan laman sesawangnya menyediakan maklumat tentang mCRC dan juga peranan penanda biologi dalam pemilihan rawatan, selain menjelaskan tentang ujian RAS itu. Laman sesawang itu turut menyediakan pautan kepada maklumat untuk pesakit dan sumber daripada beberapa kumpulan sokongan pesakit kebangsaan.
Kempen itu telah menyerahkan Kertas Putih kepada Parlimen di Brussels yang menyeru untuk akses lebih baik kepada ujian untuk pesakit yang baru didiagnosis dengan mCRC, serta untuk penggunaan rutin ujian penanda biologi RAS sebelum memulakan terapi barisan pertama dalam menentukan rancangan penjagaan barah yang tersuai khusus.
"Bagi pesakit yang baru didiagnosis dengan mCRC, menjalani ujian penanda biologi RAS sebelum memulakan rawatan barisan pertama adalah sangat penting," kata Profesor Ciardiello, Pengerusi ICCA, Bakal Presiden Persatuan Onkologi Perubatan Eropah dan Profesor Onkologi Perubatan di Seconda Università degli Studi di Napoli di Naples, Itali. "Ujian RAS boleh membantu memilih rawatan yang paling sesuai sebagai sebahagian daripada rancangan rawatan tersuai khusus pesakit. Laman sesawang kempen kami memberi pesakit lebih banyak maklumat tentang mCRC dan ujian RAS agar mereka boleh memahami dengan lebih baik pilihan yang ada untuk mereka dan boleh membincangkannya semua ini bersama pakar perubatan mereka."
Berucap semasa pelancaran kempen itu di Brussels, Elisabetta Gardini, Ahli Parlimen Eropah, Ketua Parti Rakyat Eropah Itali berkata, "mCRC merupakan contoh yang mana memilih pendekatan perubatan yang 'tersuai khusus', atau 'berketepatan tinggi' melalui penggunaan penanda biologi mempunyai potensi untuk membawa perbezaan sebenar kepada kejayaan rawatan pesakit. Kita perlu mencapai tahap dengan pantas yang mana semua rakyat Eropah, dan mereka yang berada di rantau lain di dunia, yakin yang ujian diagnostik yang sesuai akan disediakan setelah diagnosis mCRC, walau di mana sahaja mereka tinggal."
Barah kolorektum, juga dikenali sebagai barah usus, merupakan barah ketiga paling biasa dihidapi lelaki dan barah kedua paling biasa dihidapi wanita seluruh dunia. Pada 2012 lebih 694,000 orang mati akibat penyakit ini.[1] Barah kolorektum bermetastasis merupakan peringkat akhir penyakit itu yang mana tumor primer dalam kolon atau rektum telah merebak (bermetastasis) ke bahagian tubuh lain, biasanya ke dalam hati atau paru-paru, membuatkannya lebih sukar untuk dirawat. Kadar kelangsungan hidup untuk mCRC adalah rendah, dengan hanya 10-12% pesakit berjaya hidup 5 tahun selepas diagnosis.[2],[3] Namun begitu, analisis data klinikal terkini menunjukkan pemilihan terapi reseptor faktor pertumbuhan antiepidermis (EGFR), boleh meningkatkan kadar kelangsungan hidup untuk pesakit mCRC yang mana tumor mereka tidak mempunyai mutasi RAS.[4]-[9] Bagi mengiktiraf kemajuan yang diberikan ujian RAS kepada pengurusan mCRC, garis panduan rawatan telah dikemas kini di Eropah dan juga AS agar menyarankan semua pesakit dengan mCRC menjalani ujian status mutasi RAS sebelum menggunakan terapi anti-EGFR.[10],[11]
Ujian penanda biologi merupakan cara mudah untuk melihat jenis dan status gen tumpuan khusus dalam barah.[12],[13] Penanda biologi telah ditemui untuk banyak jenis barah berbeza, termasuk barah kolorektum, barah payudara, serta barah peparu, dan mempunyai peranan yang semakin penting dalam membantu pakar perubatan menyuai khusus penjagaan dan juga rawatan untuk pesakit mereka – amalan yang diistilahkan sebagai 'perubatan berkejituan' atau 'perubatan tersuai khusus'.[12]-[14] RAS – penanda biologi boleh ramal – merupakan nama majmuk untuk kumpulan gen yang termasuklah KRAS serta NRAS dan boleh digunakan untuk membantu memilih terapi yang paling sesuai untuk pesakit mCRC secara individu.[4]-[8]
Bagi mCRC, RAS telah dikenal pasti sebagai penanda biologi penting yang boleh membantu meramalkan sejauh mana pesakit mCRC bertindak balas terhadap rawatan tertentu, membuatkannya lebih penting untuk mengetahui status RAS mereka seawal yang mungkin. Kira-kira separuh pesakit dengan mCRC mempunyai tumor RAS jenis liar dan separuh mempunyai tumor RAS mutan.[15]
Latar Belakang Persatuan Barah Kolorektum Antarabangsa
Persatuan Barah Kolorektum Antarabangsa (ICCA)* merupakan inisiatif global bagi membawa bersama kumpulan pihak berkepentingan pelbagai disiplin yang mempunyai minat dalam pengurusan barah kolorektum bermetastasis dan penjagaan pesakit lebih baik. ICCA bertanggungjawab untuk kempen Get Tested, yang menyasarkan untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman tentang kepentingan ujian penanda biologi dalam memilih rawatan sebagai sebahagian daripada usaha menentukan rancangan penjagaan barah tersuai khusus untuk pesakit yang baru didiagnosis dengan barah kolorektum bermetastasis. Kempen Get Tested disokong oleh: Persatuan Pesakit dengan Penyakit Onkologi, Bowel Cancer Australia, Bowel Cancer UK, CHU de Rouen, Dance with Cancer, EuropaColon, Perubatan Tersuai Khusus Perikatan Eropah, Gabungan Pesakit Barah Eropah, Persatuan Barah Kolon Global, Institut du Cancer de Montpellier, L'Istituto Nazionale Tumori, Persatuan Barah Ireland, Persekutuan Persatuan Onkologi Sukarelawan Itali dan Seconda Università di Napoli. Sokongan untuk kempen Get Tested disediakan oleh Merck Serono, Sysmex Inostics dan Amgen.
Untuk maklumat lanjut tentang RAS dan kempen Get Tested, lawati: http://www.GetTestedCampaign.com.
*ICCA kini sedang menjalani proses pendaftaran di Brussels sebagai Persatuan Bukan Untung Antarabangsa (INPMA).
Rujukan
Sumber: International Colorectal Cancer Association