KUALA LUMPUR, Malaysia, 4 Mei 2015 /PRNewswire/ -- Western Union, pemimpin dalam perkhidmatan pindahan wang global, mengumumkan ia telah menandatangani perjanjian pembaharuan selama 3 tahun bersama Hong Leong Bank Berhad (HLBB) untuk melanjutkan penawaran perkhidmatan pemindahan wang di kesemua 283 lokasi banknya di Malaysia.
Chew Mei Ling, Pengarah Negara Malaysia di Western Union, berkata, "Kiriman wang keluar dan masuk telah berkembang di Malaysia. Pembaharuan perjanjian Western Union dengan HLBB akan menyokong pertumbuhan ini. Ini akan membolehkan pelanggan HLBB untuk terus menggunakan perkhidmatan pindahan wang Western Union yang pantas, andal dan mudah."
Susan Wong, Pengurus Besar, Deposit Runcit dan Kiriman Wang, HLBB, berkata, "Kiriman keluar keseluruhan untuk pekerja telah menunjukkan pertumbuhan signifikan sebanyak 27.8% pada 2014 berbanding 2013*. Kerjasama dengan Western Union mencerminkan peluang besar untuk kami dalam memesatkan perniagaan kiriman wang dan memenuhi keperluan pengguna yang berkembang untuk pindahan wang masa nyata."
Sejak kelulusan Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang pada 2011 yang menetapkan ketentuan untuk pelesenan, pengawalseliaan dan pemantauan perniagaan tukaran wang, kiriman wang dan mata wang borong, terdapat peningkatan pesat dalam kiriman wang keluar dan masuk, dengan kadar pertumbuhan tahunan terkompaun 3 tahun sebanyak 30% dan 20% masing-masing*. Pertumbuhan ini sebahagian besarnya disebabkan pengirim bertukar daripada saluran informal kepada formal untuk kiriman wang didorong oleh kesedaran awam yang lebih tinggi terhadap nilai menggunakan saluran sah untuk kiriman wang selain pilihan kiriman pindahan wang tambahan dan lebih mudah melalui perkhidmatan kiriman mudah alih dan internet.
*Sumber: Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2014 http://www.bnm.gov.my/files/publication/fsps/en/2014/annex.pdf
Latar Belakang Western Union
The Western Union Company (NYSE: WU) merupakan pemimpin dalam perkhidmatan pembayaran global. Bersama perkhidmatan pembayaran berjenama Vigo, Orlandi Valuta, Pago Facil dan Western Union Business Solutions, Western Union menyediakan pengguna dan perniagaan dengan cara yang pantas, andal dan mudah untuk menghantar serta menerima wang di seluruh dunia, bagi tujuan menghantar bayaran dan membeli kiriman wang. Setakat 31 Disember 2014, perkhidmatan berjenama Western Union, Vigo dan Orlandi Valuta telah ditawarkan melalui rangkaian tergabung sebanyak lebih 500,000 lokasi ejen di 200 buah negara dan wilayah serta lebih 100,000 ATM dan juga kiosk. Pada 2014, The Western Union Company menyempurnakan 255 juta urus niaga pengguna-kepada-pengguna di seluruh dunia, menggerakkan wang berjumlah $85 bilion antara pengguna, dan 484 juta pembayaran perniagaan. Untuk maklumat lanjut, lawati www.westernunion.com.
Latar Belakang Hong Leong Bank
Hong Leong Bank Berhad merupakan salah satu organisasi perkhidmatan kewangan utama di Malaysia. Dengan warisan lebih 100 tahun, ia menyediakan perkhidmatan kewangan komprehensif merangkumi perbankan pengguna, perbankan perniagaan dan pembiayaan dagangan, perbendaharaan, perbankan cawangan dan urus niaga, pengurusan kekayaan, perbankan persendirian dan serta kewangan Islamik. Penggabungannya dengan EON Bank Group pada 2011 terus mengukuhkan kedudukannya sebagai francais perbankan teras dengan rangkaian edaran yang diperluas sebanyak lebih 300 cawangan di seluruh negara.
Dengan rekod pencapaian terbukti dalam penghasilan nilai dan jenama yang amat dikenali, Hong Leong Bank juga telah meluaskan kehadirannya di rantau ini, dengan cawangan di Singapura dan Hong Kong serta anak syarikat milik penuh di Vietnam dan juga Kemboja. Di China, Bank tersebut mempunyai pegangan saham 20% dalam Bank of Chengdu Co., Ltd., Sichuan dan usaha sama pembiayaan pengguna.
Hong Leong Bank merupakan anak syarikat Hong Leong Financial Group Berhad, cabang perkhidmatan kewangan Hong Leong Group. Selain perbankan, Hong Leong Financial Group terlibat dalam penyediaan insurans dan takaful, selain perbankan pelaburan, amanah saham, dan pengurusan dana serta perkhidmatan broker saham. Untuk maklumat lanjut, sila lawati www.hlb.com.my.