- Resort Bakal Wujudkan Ribuan Pekerjaan dan Berbilion Dolar dalam Aktiviti Ekonomi Sambil Membangunkan Pasaran Pelancongan Domestik dan Antarabangsa Las Vegas
LAS VEGAS, 6 Mei 2015 /PRNewswire/ -- Nevada dan Las Vegas akan menerima dorongan besar bagi pekerjaan dan ekonomi apabila Genting Group hari ini bersama Gabenor Brian Sandoval serta Pesuruhjaya Clark County melakukan pecah tanah untuk Resorts World Las Vegas (RWLV) bertemakan China -- pembangunan pertama di Las Vegas Strip setelah hampir sedekad.
Gambar - http://photos.prnewswire.com/prnh/20150505/213967
China merupakan salah satu rakan dagangan terpenting dunia, menyebarkan bukan sahaja barangan tetapi juga hidangan dan budaya China ke seluruh pelusuk dunia. Pelancongan luar China mencecah 100 juta buat kali pertama pada 2014 dan tema China asli Resorts World Last Vegas akan menarik pelancong domestik dan antarabangsa. Dengan tarikan kebudayaan yang kaya, hidangan yang pelbagai dan hiburan mengagumkan daripada pelbagai wilayah dan kumpulan etnik China, Resorts World Las Vegas akan menyediakan tema hiburan dengan variasi tanpa batasan daripada tamadun berterusan paling lama di dunia. Tema China itu akan membangunkan, memperdalam dan memperluas industri pelancongan Las Vegas secara keseluruhan.
"Selepas 50 tahun membangunkan resort bersepadu di seluruh dunia, kami teruja memecah tanah di Las Vegas Strip di negeri Nevada," kata KT Lim, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Genting Group. "Las Vegas dikenali kerana pusat-pusat peranginannya yang tersohor, dan Genting Group berharap untuk menjadi sebahagian daripada pembangunan berterusan bandar ini dengan mewujudkan tarikan nasional dan antarabangsa yang besar dengan resort bertemakan China serta bertaraf dunia ini."
Tahun ini menandakan ulang tahun ke-50 Genting Group sebagai peneraju dalam industri pelancongan dan percutian global dengan operasi di tujuh buah negara. Syarikat tersebut merintis konsep resort bersepadu yang mana pelbagai pilihan hiburan, beli-belah, makanan, golf, pilihan penginapan dan pengalaman kasino bertaraf dunia, semuanya tersedia untuk memenuhi pelbagai keinginan serta kehendak tetamu – pada semua peringkat harga dan semua segmen pasaran. Hartanah Genting di seluruh dunia menerima lebih 50 juta pengunjung setiap tahun.
"Dengan permulaan pembinaan Resorts World Las Vegas, Genting Group akan mewujudkan ribuan pekerjaan baharu di negeri kami dan akan menjana berbilion dolar dalam aktiviti ekonomi baharu yang akan memberi manfaat kepada semua warga Nevada. Resorts World Las Vegas benar-benar akan membantu pasaran Las Vegas dengan menarik jumlah pengunjung, konvensyen dan pertunjukan lebih besar ke negeri kami. Saya berbangga mengalu-alukan mereka sebagai penambahan baharu yang berani kepada ekonomi Nevada Baharu," kata Gabenor Brian Sandoval dari Nevada.
Sepanjang tempoh pembinaan dan semasa operasi, RWLV akan membawakan puluhan ribu pekerjaan ke Selatan Nevada. Dijangka bahawa pembinaan akan mewujudkan lebih 30,000 orang-tahun pekerjaan langsung dan tidak langsung, ditakrifkan sebagai satu orang diberi pekerjaan selama setahun. Setelah beroperasi, RWLV diramal dapat menyokong lebih 13,000 pekerjaan langsung dan tidak langsung. RWLV diunjurkan membuka pintunya pada pertengahan 2018.
RWLV akan membangunkan tiga buah hotel; pelbagai restoran menampilkan pelbagai hidangan wilayah China yang asli; lebih 100,000 kaki persegi ruang permainan inovatif; pelbagai penawaran runcit; dan destinasi hiburan malam yang terbaik. Perincian tambahan tentang kemudahan yang ditawarkan di RWLV akan dikeluarkan sepanjang proses pembinaan.
"Sejak 1950an tiada pembangunan sebanyak yang kita saksikan sekarang di hujung utara Las Vegas Strip, dan Resorts World Las Vegas mempunyai kedudukan yang menjadi titik tumpuan pertumbuhan mengujakan ini," kata Pesuruhjaya Clark County Chris Giunchigliani. "Genting Group bersedia mewujudkan destinasi antarabangsa yang benar-benar istimewa. Bagi pihak Clark County, kami mengucapkan selamat berjaya kepada mereka."
"Menempatkan jenama Resorts World di Las Vegas Strip hanya akan membawakan keterujaan untuk pengunjung, dan ia akan merancakkan ekonomi tempatan dengan puluhan ribu pekerjaan pembinaan dan resort," kata Pengerusi Suruhanjaya Clark County Steve Sisolak. "Las Vegas Strip sekali lagi ditakrif semula."
"Permulaan pembinaan Resorts World Las Vegas merupakan berita hebat untuk Las Vegas, Negeri Nevada dan para penduduknya," kata Senator A.S. Harry Reid (D-NV). "RIbuan pekerjaan yang diwujudkan hadir tepat pada masanya ketika negeri kami masih dalam proses pemulihan daripada kemerosotan ekonomi baru-baru ini. Resorts World Las Vegas akan menawarkan pengalaman tetamu yang mempesonakan yang pasti menarik pengunjung baharu ke Las Vegas."
"Las Vegas merupakan destinasi global dengan lebih 40 juta pelawat setiap tahun hasil daripada projek inovatif seperti Resorts World Las Vegas," kata Senator A.S. Dean Heller (R-NV). "Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Genting Group atas komitmen mereka dalam membangunkan industri pelancongan Las Vegas secara keseluruhannya melalui projek yang mengagumkan ini."
"Resorts World Las Vegas memiliki potensi hebat untuk Nevada Selatan dan industri pelancongannya. Bermula dengan menarik pelaburan luar baharu kepada mewujudkan pekerjaan dengan gaji yang baik semasa pembinaan serta operasi resort itu, projek mengujakan ini akan membantu merancakkan semula hujung utara Las Vegas Strip dan membawa manfaat ekonomi di seluruh Daerah Pertama," kata Ahli Kongres Dina Titus (NV-1).
Maklumat lanjut dan lakaran digital RWLV tersedia di www.rwlasvegas.com.
Latar Belakang Genting Group
Genting Group (www.genting.com) merupakan konglomerat global yang diasaskan pada 1965, dan dipimpin oleh Tan Sri Lim Kok Thay, seorang usahawan berwawasan yang telah menubuhkan pusat-pusat peranginan destinasi yang beroperasi di Malaysia, Filipina, Singapura, United Kingdom, Bahamas, Amerika Syarikat dan tidak lama lagi di Korea Selatan. Kumpulan itu merupakan peneraju dalam industri pelayaran melalui jenama Star Cruises dan Crystal Cruises miliknya, selain Norwegian Cruise Line. Genting Group mempunyai lima buah syarikat awam yang disenaraikan di Bursa Saham Malaysia, Singapura dan Hong Kong, dengan permodalan pasaran tergabung sebanyak lebih $30 bilion. Tambahan pula, Genting Group mempunyai kepentingan dalam pertanian minyak sawit, hartanah, penjanaan kuasa, penerokaan minyak serta industri bioteknologi. Genting mempunyai lebih 50 tahun pengalaman dalam industri pelancongan dan percutian serta secara kolektif memberi pekerjaan kepada kira-kira 60,000 orang sambil menawarkan pengalaman resort yang sukar ditandingi kepada lebih 50 juta pengunjung setiap tahun.