omniture

Cabaran Robotik Antarabangsa Dengan Hadiah Bernilai USD 5 Juta Diumumkan

Khalifa University
2015-05-18 07:00 80

ABU DHABI, UAE, 18 Mei 2015 /PRNewswire/ --

Cabaran Robotik Antarabangsa Mohamed Bin Zayed ingin menarik minda terbaik dan terpintar dunia dalam bidang robotik

Pelancaran Cabaran Robotik Antarabangsa Mohamed Bin Zayed (MBZIRC) telah diumumkan dalam satu sidang media di Universiti Khalifa di Abu Dhabi, UAE pada 15 Februari 2015. Majlis pelancaran itu diadakan dengan bantuan sebuah robot, yang membawa para tetamu kepada tempat duduk mereka. MBZIRC, anjuran Universiti Khalifa yang berpusat di Abu Dhabi, akan diadakan sekali setiap dua tahun dan menawarkan hadiah bernilai sejumlah USD 5 juta. Acara itu dinamakan sempena nama Putera Mahkota Abu Dhabi.

(Gambar: http://photos.prnewswire.com/prnh/20150518/744194)

"Acara ini tentu akan menarik minda-minda terbaik dalam bidang robotik di dunia, dan membawa perhatian antarabangsa kepada industri robotik yang semakin berkembang di UAE," kata Presiden Universiti Khalifa, Dr. Tod Laursen. "Sepanjang sejarah, cabaran yang diberikan oleh kerajaan, komuniti saintifik, dan entiti antarabangsa sering memainkan peranan besar dalam memajukan ilmu pengetahuan – "perlumbaan ke angkasa" pada zaman 1960-an mungkin merupakan salah satu contoh yang paling diingati untuk idea ini, dan UAE telah mula mengorak langkah bagi terlibat dalam usaha ini dengan cita-citanya bagi satu misi ke Marikh. Dalam cara yang sama, MBZIRC akan merangsang pembangunan masa depan dalam teknologi robotik seluruh dunia dengan memanfaatkan penyelidikan, ciptaan, dan aplikasi masa sebenar para pemenangnya. Cabaran yang ditampilkan dalam acara ini bakal mendesak para peserta untuk pergi lebih jauh berbanding teknologi masa kini, sehingga kemajuan dan penemuan baharu diperlukan bagi menggenggam kejayaan. Kami percaya sedikit keberanian dalam pengkhususan cabaran adalah penting kepada proses inovasi."

MBZIRC yang pertama memerlukan pesaing membangunkan kenderaan udara dan darat yang mampu melaksanakan tugasan dalam persekitaran yang rumit dan dinamik. Cabarannya adalah untuk menghasilkan kenderaan yang boleh menyiapkan tugasan dalam senario tindak balas bencana yang disimulasikan. Ia akan melibatkan kolaborasi sebuah kumpulan kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) serta kenderaan darat tanpa pemandu (UGV) dalam persekitaran yang berubah yang memerlukan robot itu melakukan beberapa tugasan dengan menggunakan pengemudian bebas serta interaksi persekitaran. Cabaran itu akan dihakimi panel bebas yang terdiri daripada pakar robotik antarabangsa.

Pasukan-pasukan yang berminat untuk menyertai cabaran itu boleh mendapatkan maklumat lanjut daripada: http://www.mbzirc.com. Kertas cadangan hendaklah dihantar pada Jun 2015, dan peserta akan dipilih pada bulan Oktober 2015. Individu juga boleh mendapatkan maklumat lanjut tentang MBZIRC di media sosial melalui #MBZIRC di Twitter dan Facebook @MBZIRC.

SUMBER:  Khalifa University

Source: Khalifa University
Keywords: Computer Hardware Computer/Electronics Education