WESTLAKE VILLAGE, California, 3 Jun, 2015 /PRNewswire/ -- K-Swiss Global Brands (KSGB), juga dikenali sebagai K-Swiss Inc., satu divisyen E.Land Group, berbesar hati mengumumkan pengambilalihannya ke atas ONE-Distribution, pengilang pakaian dan kasut berinspirasi papan selaju utama dan syarikat induk KR3W Denim Co. (KR3W) serta SUPRA Footwear (SUPRA). KSGB mengambil alih firma yang berpangkalan di Fountain Valley, CA itu daripada sekumpulan pemegang saham termasuk Bertram Capital, sebuah firma ekuiti persendirian berpangkalan di San Mateo, California, dan sekumpulan kecil pelabur persendirian termasuk Pengasas ONE-Distribution, Scott VanDerripe, Angel Cabada dan juga Scott Bailey. Harganya tidak dinyatakan.
Gambar - http://photos.prnewswire.com/prnh/20150601/219738
Gambar - http://photos.prnewswire.com/prnh/20150601/219737
Seiring dengan itu, KSGB mengumumkan pelantikan Robert 'Cape' Capener sebagai Presiden Jenama bagi kedua-dua Supra dan KR3W, melaporkan diri kepada Larry Remington, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif KSGB. Cape telah menikmati kerjaya bersejarah dalam industri pakaian dan kasut olahraga serta sukan aksi, melancarkan produk baharu dan juga membina jenama. Cape telah mengasaskan jenama Above the Rim dan Heaton, serta telah memegang kedudukan kanan di Adidas, Reebok dan juga No Fear.
"Setelah membentuk KSGB hanya dua tahun lalu, kami berada pada landasan agresif untuk menjadi salah satu syarikat berbilang jenama yang terkemuka di dunia," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif KSGB, Larry Remington. "SUPRA dan KR3W adalah jenama yang memenuhi kelainan yang kami cari dalam portfolio kami: keaslian, kesedaran jenama yang kukuh, rekod inovasi produk dan peluang untuk pertumbuhan global bagi tempoh jangka panjang. Kami teruja untuk bergabung tenaga dengan pasukan ONE-Distribution dan meletakkan asas untuk manfaat masa depan."
Pengambilalihan ini membawa portfolio KSGB kepada sejumlah enam jenama yang diedarkan ke seluruh dunia, termasuk K-Swiss, Palladium, PLDM, OTZ Shoes, KR3W dan SUPRA Footwear. KSGB merupakan divisyen E-Land Group, sebuah kumpulan syarikat bernilai $10 bilion dengan lebih 200 jenama, 10,000 gedung runcit dan perniagaan merentasi pakaian, kasut, peruncitan, hotel, riadah dan hiburan. Pasukan kepimpinan KSGB dan ONE-Distribution akan bekerja dengan pantas sepanjang minggu-minggu mendatang untuk membangunkan perancangan bersepadu untuk syarikat tersebut serta entiti-entiti terbaharunya.
Diasaskan pada tahun 2006, SUPRA dengan pantas menjadi salah satu jenama kasut bebas yang terbesar dan paling berjaya melalui inovasi serta gaya. Diilhamkan oleh keghairahan, SUPRA menggabungkan fesyen, muzik, papan selaju, seni dan jalanan untuk membawa rekaan klasik kepada mereka yang mengingini rekaan unik. Terkenal kerana kasut Skytop yang mengubah industri, SUPRA telah berevolusi sebagai jenama gaya hidup yang relevan di peringkat global. Kini, SUPRA mengendalikan gedung-gedung khas di Santa Monica, Kota raya New York, Paris, Mexico City dan Tokyo serta mengedar ke lebih 60 buah negara melalui rangkaian kedai papan selaju terpilih serta butik tahap tinggi.
KR3W, jenama pakaian yang lahir daripada budaya papan selaju, bermula pada tahun 2003. Jenama tersebut dipengaruhi oleh budaya California Selatan yang pelbagai dan diilhamkan oleh semangat tidak pernah mengalah. Jenama tersebut membina namanya dalam denim, dan mengubah paradigma denim lelaki muda dengan pengenalan Jean Denim K Slim menggunakan fabrik regangan yang inovatif dan profil potongan yang tirus. Sejak itu KR3W telah meluaskan rangkaian pakaiannya, berjaya mengaburkan garisan pemisah antara papan selaju dan fesyen, sambil mengekalkan estetika 'Dark Americana'.
ONE-Distribution kini mempunyai pejabat di Fountain Valley, CA, Barcelona, Sepanyol, Sydney, Australia dan Dongguan, China.
Hubungi: Mariana DiMartino, +1-917-536-5411, mariana.dimartino@turnerpr.com