omniture

Pelancaran Bloomberg TV Malaysia Oleh Bloomberg

Bloomberg L.P.
2015-06-04 18:04 261

-- Liputan rancak berita perniagaan, ekonomi dan kewangan di saluran Astro

KUALA LUMPUR, Malaysia, 4 Jun 2015 /PRNewswire/ -- Bloomberg mengumumkan pelancaran Bloomberg Television Malaysia, yang merangkumi liputan berita perniagaan, ekonomi dan kewangan sehingga 4 jam sehari, pada saluran Astro hari ini.

Saluran Bloomberg TV Malaysia akan memulakan siarannya dengan rancangan berita petang bertajuk "Moving Malaysia", 5 hari seminggu. Rancangan ini disiarkan secara langsung pada jam 6 petang dari studio bertaraf-dunia Bloomberg TV Malaysia di Kota Damansara. Program ini, yang disampaikan oleh Sophie Kamaruddin, akan mengetengahkan perkembangan perniagaan terkini dan menyeluruh di Malaysia dan seluruh dunia.

"Memang terdapat kekurangan sumber maklumat perniagaan yang telus untuk komuniti perniagaan di Malaysia," kata Tan Sri Mohd Effendi Norwawi, Pengerusi Bloomberg TV Malaysia. "Berdasarkan keperluan maklumat yang tepat bagi para syarikat, Bloomberg TV Malaysia membekalkan komuniti perniagaan dengan berita dan maklumat perniagaan terkini. Kitalah satu-satunya saluran berita perniagaan yang disasarkan untuk para penonton dari Malaysia, dan kita berbesar hati untuk bekerjasama dengan Bloomberg dan Astro bagi merealisasikan saluran ini."

Sebahagian besar pengembangan strategik Bloomberg ke dalam pasaran utama melibatkan penggabungan program tempatan dengan kepakaran berita antarabangsa Bloomberg untuk menyampaikan liputan perkembangan perniagaan dan ekonomi Malaysia yang berkualiti.

"Malaysia ialah salah satu daripada pasaran utama di rantau Asia Tenggara dan halatuju pembangunan negara ini sangat cemerlang dalam menuju Wawasan 2020," ujar Parry Ravindranathan, pengarah urusan Bloomberg Media bagi rantau Asia-Pasifik. "Kami melihat kepentingan jangka panjang dalam perjalanan ekonomi negara ini dari dalam dan juga luar Malaysia, dan kita sudah ada platform untuk penggerak pasaran dan tokoh korporat Malaysia bagi menyampaikan wawasan pembangunan yang berterusan untuk negara ini."

"Dengan penambahan sumber maklumat tempatan melalui saluran Astro, Bloomberg TV Malaysia mampu menyiarkan berita dalam negara serta pandangan perniagaan yang bernas," kata Michael Chan, ketua pegawai eksekutif Bloomberg TV Malaysia. "Kami sangat teruja untuk memulakan liputan kami bagi menyediakan perkembangan pasaran kewangan untuk demografik penonton berita perniagaan yang semakin meluas."

Operasi Bloomberg TV Malaysia diseliakan oleh veteran industri Richard Lewis sebagai penerbit eksekutif. Dengan hampir 30 tahun pengalaman dalam dunia penyiaran, Lewis pernah berkhidmat sebagai penerbit eksekutif dengan Al Jazeera English di Qatar serta sebagai penulis dan penerbit dengan ITN di London.

Bloomberg TV Malaysia kini boleh ditonton melalui Astro saluran 519. Astro ialah syarikat penyiaran televisyen berbayar yang terkemuka di Malaysia, dengan 4.4 juta pelanggan atau kadar penembusan isi rumah Malaysia sebanyak hampir 63%.

Mengenai Bloomberg
Sebagai sumber maklumat kewangan antarabangsa yang terulung, Bloomberg menghubungkan para pemikir yang berpengaruh dengan rangkaian maklumat dan idea yang dinamik. Kepakaran Bloomberg ialah menyediakan data, berita dan analisa melalui teknologi yang inovatif, cekap dan tepat. Bloomberg menyediakan perkembangan kewangan terkini kepada lebih daripada 320,000 pelanggan di serata dunia. Dari ibu pejabatnya di New York, Bloomberg diwakili oleh 15,500 ahli pakar di 192 lokasi antabangsa. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.bloomberg.com/now/.

Source: Bloomberg L.P.
Keywords: Entertainment Television New products/services