OXFORD, England, 16 Julai 2015 /PRNewswire/ -- Satu cara bebas racun perosak dan mesra alam yang baharu untuk mengawal serangga perosak telah mengorak selangkah lebih maju ke hadapan dengan penerbitan hasil saintifik yang menunjukkan rama-rama belakang intan (DBM) Oxitec dengan 'gen swamengehad' boleh mengurangkan populasi DBM secara dramatik, sejenis spesies invasif dan perosak utama kubis, kubis daun, canola dan tanaman krusifer lain di seluruh dunia.
Diterbitkan dalam jurnal BMC Biology, keputusan hari ini memberikan satu lagi bukti konsep yang berjaya bagi pendekatan baharu yang dibangunkan oleh Oxitec, sebuah syarikat keluaran lanjutan Universiti Oxford yang merintis kaedah bebas racun perosak bagi mengawal populasi serangga perosak. Teknik gen yang swamengehad ini sudah pun diuji bagi nyamuk yang menyebabkan demam denggi, dan berjaya mengurangkan populasinya sebanyak lebih 90% di Brazil, Panama, dan Kepulauan Cayman - paras kawalan yang tidak pernah dilihat sebelum ini bagi mana-mana kaedah lain, dan yang akan terus menjadi projek perbandaran berikutan kelulusan daripada kumpulan keselamatan biologi kebangsaan di Brazil untuk digunakan di seluruh negara.
Pendekatan ini diilhamkan daripada Teknik Serangga Mandul (SIT), yang telah digunakan di seluruh dunia selama lebih 50 tahun, yang mana serangga jantan dimandulkan oleh radiasi dan dibebaskan untuk mengawan dengan serangga perosak betina. Tanpa zuriat, populasi itu terus terhapus. Pendekatan Oxitec memanfaatkan naluri pembiakan semula jadi serangga jantan, tetapi tidak bergantung kepada radiasi untuk memandulkannya, yang boleh menjejaskan banyak gen serta kemampuan serangga itu untuk mengawan. Sebaliknya, satu gen swamengehad dibawa oleh serangga itu, dalam kes ini, rama-rama belakang intan. Rama-rama jantan yang telah diubah suai itu akan dibebaskan untuk mengawan dengan serangga perosak betina, dan oleh kerana zuriat betina mereka tidak dapat hidup untuk membiak, bilangan rama-rama perosak akan berkurangan. Rama-rama Oxitec juga membawa penanda warna untuk tujuan pemantauan.
Dalam keputusan baharu yang diterbitkan hari ini, saintis dari AS, UK, dan China menunjukkan yang populasi rama-rama belakang intan dalam rumah hijau berjaya dikawal dengan baik dalam tempoh 8 minggu.
Tidak seperti insektisid, yang boleh memberi kesan kepada banyak jenis serangga lain termasuk lebah dan serangga berfaedah lain, pendekatan ini adalah khusus untuk spesies tertentu, menjejaskan hanya populasi perosak yang disasarkan. Gen swamengehad itu juga tidak toksik, jadi rama-rama itu boleh dimakan oleh burung atau haiwan lain tanpa mengalami sebarang kesan buruk.
"Penyelidikan ini membuka jalan baharu untuk masa hadapan pertanian dengan kaedah kawalan makhluk perosak yang tidak beracun dan bebas pestisid," kata Dr. Neil Morrison, ketua Saintis Penyelidikan DBM di Oxitec dan penulis bersama kertas kajian itu. "Kita semua berkongsi minat untuk kawalan makhluk perosak yang selamat dan mesra alam, jadi ini merupakan kaedah yang memberi harapan tinggi yang boleh dimanfaatkan oleh para petani sebagai sebahagian daripada strategi pengurusan makhluk perosak bersepadu (IPM) untuk pertanian yang sihat dan mampan."
Penulis bersama Tony Shelton, Profesor Entomologi Universiti Cornell, turut merupakan pakar bagi IPM, dan berharap teknologi baharu ini boleh digunakan sebagai sebahagian daripada sistem pertanian yang lebih agroekologi, termasuk penghasilan organik. "Pestisid konvensional dan organik gagal mengawal DBM, jadi sudah tiba masanya untuk para saintis dan petani bekerjasama untuk mencari kaedah baharu," kata beliau.
Cabaran dengan rama-rama belakang intan untuk penghasilan sayuran krusifer mengakibatkan kerugian sehingga $5 bilion dolar setiap tahun bagi petani seluruh dunia. DBM dikawal lemah oleh kaedah sedia ada, terutamanya apabila rama-rama itu menjadi semakin rintang kepada insektisid.
"Rama-rama belakang intan adalah masalah serius untuk petani di New York State dan di seluruh dunia - di mana-mana sahaja sayuran krusifer dan tanaman ladang ditanam. Rama-rama ini menyerang semua tanaman itu, dan ia juga menjadi semakin rintang kepada insektisid, jadi kami sangat memerlukan kaedah baharu untuk mengawalnya dengan lebih baik," tambah Profesor Shelton, yang merancang untuk menjalankan kajian susulan untuk menguji rama-rama Oxitec ini di bawah keadaan luar yang lebih sukar di bahagian utara New York.
Kajian ini melibatkan ujian sangkar lapangan pada musim panas ini, dengan rancangan untuk pembebasan ladang berskala kecil pada masa hadapan. Ujian akan datang sudah pun diluluskan oleh Jabatan Pertanian AS (USDA) berikutan penilaian menyeluruh oleh pakar bebas dan satu perundingan awam tahun lalu.
Dr Morrison daripada Oxitec menyimpulkan: "Ketika cabaran pertanian menjadikan saling kewujudan pelbagai kaedah kawalan serangga perosak semakin penting, petani akan – lebih lagi berbanding sebelum ini – memerlukan sokongan kerajaan mereka, orang awam dan komuniti saintifik untuk membantu menyediakan mereka dengan kaedah yang mereka perlukan untuk menghasilkan makanan yang kita makan."
Untuk kertas akses terbuka, 'Pest control and resistance management through release of insects carrying a male-selecting transgene', yang diterbitkan dalam BMC Biology, lawati: http://dx.doi.org/10.1186/s12915-015-0161-1
Latar belakang Oxitec
Oxitec merupakan perintis dalam kejuruteraan genetik bagi mengawal serangga perosak yang menyebarkan penyakit serta merosakkan tanaman, dan telah ditubuhkan pada tahun 2002 sebagai syarikat keluaran lanjutan Universiti Oxford (UK).
Latar belakang rama-rama belakang intan
DBM merupakan serangga perosak paling membinasakan untuk tanaman krusifer seperti kubis, canola, brokoli, kubis bunga dan kubis daun. Rama-rama ini tidak dikawal dengan baik oleh musuh semula jadi atau amalan pengurusan serangga perosak bersepadu lain, jadi penanam seluruh dunia biasanya banyak kali menyemburkan tanaman mereka dengan insektisid. Ini menyebabkan rama-rama belakang intan membina kerintangan kepada kebanyakan insektisid. Terdapat juga kebimbangan yang semakin meningkat tentang sisa pestisid ke atas tanaman, keselamatan pekerja dan bahaya yang mungkin berlaku terhadap alam sekitar, maka pendekatan baharu amat diperlukan.
Soalan lazim dan video Rama-rama Belakang Intan melalui Oxitec: http://www.oxitec.com/dbm
Laman sesawang DBM Profesor Shelton di Universiti Cornell: http://bit.ly/1Cd9CYZ
Wakil akhbar:
Chris Creese
info@oxitec.com
+44(0)1235-832393
Sebarang maklumat lanjut:
Laman sesawang: http://www.oxitec.com/dbm
Facebook: http://www.facebook.com/oxitec
Twitter: http://www.twitter.com/oxitec
SUMBER Oxitec