WASHINGTON, 21 Ogos 2015 /PRNewswire/ -- 60 Degrees Pharmaceuticals, (60P), sebuah syarikat yang memfokuskan pembangunan terapeutik untuk penyakit-penyakit tropika, dan Hospital Besar Singapura (SGH) hari ini mengumumkan Hospital itu telah menerima geran daripada Majlis Penyelidikan Perubatan Nasional Singapura untuk menyokong percubaan klinikal Fasa II dalam kalangan pesakit demam denggi.
Demam denggi, penyakit virus bawaan nyamuk yang menyakitkan, melemahkan dan boleh membawa maut, menjangkiti kira-kira 400 juta orang di seluruh dunia setiap tahun, menyebabkan 500,000 orang dimasukkan ke hospital dan mewujudkan beban tahunan sebanyak $12 bilion. Kemunculan denggi, yang menyebabkan berlakunya simptom-simptom menyerupai flu dan melarat menjadi denggi teruk yang berbahaya, telah meningkat 30 kali ganda sejak beberapa dekad lalu.
Dahulunya dianggap sebagai penyakit "tropika" sahaja, kini berlakunya penularan di selatan A.S. termasuk Florida, serta di Perancis, Portugal dan negara-negara Eropah lain, yang menurut pakar, mungkin akan merebak ke Amerika Utara dan Eropah. Selain itu, para saintis telah menemui sejenis nyamuk pembawa denggi yang boleh hidup dalam iklim lebih sejuk, bermakna kes-kes denggi yang ditemui di A.S. dan Eropah mungkin meningkat dengan nyata.
Pada masa kini, tiada sebarang vaksin atau ubat-ubatan antivirus yang diluluskan oleh FDA untuk jangkitan virus denggi dan rawatan pula adalah terhad kepada rawatan sokongan serta simptomatik.
60P dan SGH akan menilai keselamatan dan keberkesanan antivirus, Celgosivir, dan agen pengubah penyakit, Modipafant, dalam merawat denggi. Kajian haiwan terdahulu menunjukkan ubat-ubatan ini mungkin berkesan dalam kalangan pesakit demam denggi. SGH dan Duke-NUS Graduate Medical School sebelum ini menilai keberkesanan Celgosivir dalam kalangan pesakit denggi, bagi mengesahkan keselamatannya.
60P dan SGH telah menerima kelulusan daripada pihak berkuasa yang berkenaan di Singapura serta Dewan Penilaian Kelembagaan (Institutional Review Board) untuk kajian tersebut, yang dijadualkan bermula pada Mac 2016.
Latar Belakang 60 Degrees Pharmaceuticals
60 Degrees Pharmaceuticals, sebuah syarikat milik persendirian yang diasaskan pada tahun 2010 dengan matlamat untuk membangunkan terapeutik molekul kecil bagi penyakit tropika, memfokuskan pembangunan produk dengan aplikasi dwipenggunaan dalam pasaran ubat-ubatan pelancongan serta negara-negara tropika. Portfolio pembangunan syarikat itu melibatkan tiga terapeutik denggi yang telah diberi kedudukan semula dan ubat antimalaria yang telah menyempurnakan percubaan Fasa III.
Setelah melaksanakan perjanjian opsyen eksklusif dan perjanjian penyelidikan dengan Tentera Amerika Syarikat pada tahun 2014, 60P bersiap sedia untuk melancarkan Tafenoquine secara komersial bagi profilaksis malaria pelancong. Hasil daripada mod tindakannya yang unik, Tafenoquine juga mempunyai kegunaan berpotensi untuk profilaksis komuniti di negara-negara endemik malaria dengan menggabungkan langkah-langkah kawalan sedia ada. Misi 60P disokong melalui pembiayaan yang besar daripada Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat dan agensi-agensi lain dalam kerajaan A.S.
60 Degrees Pharmaceuticals beribu pejabat di Washington DC, dengan sebuah anak syarikat di Australia.
Maklumat lanjut disediakan di laman sesawang Syarikat, www.60degreespharma.com.
Untuk Maklumat Lanjut, Hubungi:
Roseann Rosetta, Pengarah, Pengurusan Akaun
Integrated Marketing Services
rrosetta@imsworld.com
609-683-9055 x247
Goeff Dow, Ketua Pegawai Eksekutif, 60 Degrees Pharmaceuticals
geoffdow@60degreespharma.com