Kerajaan India menyertai Perikatan Better Than Cash Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi berkongsi kisah kejayaan daripada program rangkuman kewangan terbesar dunia
NEW DELHI dan NEW YORK, 2 September 2015 /PRNewswire/ -- Kerajaan India kini menyertai Perikatan Better Than Cash Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Pengumuman itu dibuat semasa ulang tahun pertama program rangkuman kewangan utama Perdana Menteri Narendra Modi, Pradhan Mantri Jan-Dhan Yojana (PMJDY).
Di bawah PMJDY, dalam masa satu tahun, 175 juta akaun baharu telah dibuka, dengan deposit berjumlah lebih $3.4 bilion (223 bilion Rupi), seperti yang didedahkan oleh Kerajaan India.
Perkongsian baharu dengan Perikatan Better Than Cash ini, yang terdiri daripada kerajaan-kerajaan, syarikat-syarikat dan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa, merupakan lanjutan komitmen Kerajaan India untuk mengurangkan tunai dalam ekonominya. Perkhidmatan kewangan digital mengurangkan kos penyediaan perkhidmatan kewangan dan memudahkan golongan miskin mengakses akaun mereka.
En. Arun Jaitley, Menteri Kewangan Kerajaan India, berkata: "Skala matlamat Pradhan Mantri Jan-Dhan Yojana sememangnya lebih tinggi berbanding mana-mana inisiatif rangkuman kewangan lain sebelum ini. Projek ini amat penting dalam membawakan hampir semua keluarga dalam negara ini untuk berada dalam sistem kewangan rasmi dan membolehkan rakyat pada peringkat akar umbi untuk membuat urus niaga kewangan serta memastikan keselamatan wang hasil daripada titik peluh mereka."
Pengumuman oleh Kerajaan India ini dibuat sebelum sidang kemuncak istimewa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bulan hadapan di New York, yang mana Perdana Menteri Modi dan pemimpin-pemimpin lain di dunia akan melancarkan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals, SDG) yang mereka contohi. Perkhidmatan kewangan digital merupakan wadah penting bagi pelaksanaan matlamat itu, dan para penyokongnya berharap kepimpinan India akan mengilhamkan kerajaan lain untuk memanfaatkan kuasa pembayaran digital sebagai strategi untuk mencapai SDG itu.
"Kepimpinan dan kemajuan India memang memberi inspirasi kepada negara-negara lain di seluruh dunia," kata Dr. Ruth Goodwin-Groen, Pengarah Urusan Perikatan Better Than Cash. "Dengan menjadikan pendigitalan pembayaran bagi mencapai rangkuman kewangan sebagai keutamaan tertinggi, Kerajaan India menunjukkan komitmennya untuk memperbaiki kehidupan rakyatnya serta mendorong pertumbuhan terangkum."
Tahun lalu, Kerajaan India melancarkan PMJDY dengan matlamat untuk meliputi setiap kediaman dengan satu akaun bank dalam masa kurang lima bulan. Program itu memfokuskan rakyat yang terkecuali daripada sektor kewangan rasmi, termasuk wanita, petani kecil-kecilan dan buruh. Bagi memastikan semua akaun ini digunakan dengan aktif, Kerajaan menyediakan produk-produk kewangan, seperti kredit untuk aktiviti ekonomi, selain kemudahan pengiriman wang, kemudahan insurans, serta kemudahan pencen terus ke dalam akaun ini.
"Kami telah diiktiraf oleh Rekod Dunia Guinness kerana membuka lebih 1.8 karor (10 juta) akaun bank hanya dalam tempoh satu minggu," tambah Menteri Kewangan, Jaitley. "Untuk langkah seterusnya, matlamatnya adalah untuk menggunakan akaun ini untuk melanjutkan kemudahan insurans, pencen dan kredit kepada mereka yang kini terkecuali daripada menerima semua faedah ini."
Dr. Hasmukh Adhia, Setiausaha untuk Jabatan Perkhidmatan Kewangan Kerajaan India, berkata: "PMJDY telah membawa perubahan dalam usaha rangkuman kewangan negara ini. Inisiatif ini telah menunjukkan yang apabila kita menumpukan usaha semua pihak berkepentingan, dan berusaha bersama-sama dengan matlamat yang jelas, kita boleh mencapai keputusan cemerlang yang belum pernah dicapai sebelum ini."
Program rangkuman kewangan ini, di samping kad pengenalan unik biometrik Aadhaar yang memudahkan Kerajaan mengenal pasti penerima faedah sosial dan penggunaan meluas telefon mudah alih, kini menjadi pemacu untuk rangkuman kewangan di India. Ia juga turut menjimatkan kos. Program subsidi bahan api, yang merupakan program pemindahan tunai terbesar dunia, menjimatkan sebanyak $2 bilion (131 bilion Rupi) dengan membayar pengguna gas memasak secara terus ke dalam akaun bank mereka, menurut satu kertas kajian baharu oleh Universiti Columbia.
Kisah-kisah kejayaan
Terdapat banyak kisah kejayaan sejak pelancaran PMJDY. Contohnya, Canara Bank membuka 12 juta akaun dan menyediakan kecelikan kewangan dan bantuan pendidikan kepada golongan miskin di kawasan-kawasan luar bandar. Union Bank of India turut mengutamakan rangkuman kewangan di kawasan-kawasan luar bandar, dengan tumpuan khusus diberikan kepada golongan wanita dengan menyediakan latihan pendidikan secara mingguan di kampung-kampung dan kilang-kilang pakaian.
Kisah Rama Devi mengetengahkan impaknya ke atas kehidupan rakyat. Sebagai penduduk kampung kecil Nawadkheda, beliau membuka akaun banknya semasa pelancaran PMJDY setahun lalu yang turut memasukkan jangkauan menyeluruh kepada masyarakat. Sebelum membuka akaun dengan IDBI Bank, ibu kepada tiga orang anak yang bekerja dengan membantu suaminya di kedai serbanekanya tidak mempunyai akaun bank dan tidak mengetahui langsung tentang faedah memiliki akaun bank. Kini, beliau sentiasa berurus niaga dan merancang untuk membuka akaun deposit berulang untuk semua anak-anaknya.
Dengan menyertai Perikatan Better Than Cash, Kerajaan India akan memperoleh rakan kongsi penyelidikan, teknikal dan dasar ketika terus mencipta ekonomi kewangan digital. Ahli-ahli Kerajaan lain bagi Perikatan itu akan turut mendapat manfaat dengan mendapat akses kepada pelajaran serta pemahaman pengalaman serta kepakaran pertumbuhan India.
Latar Belakang Perikatan Better Than Cash
Perikatan Better Than Cash merupakan satu perkongsian antara kerajaan-kerajaan, syarikat-syarikat, dan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa yang mempercepat proses peralihan daripada pembayaran tunai kepada pembayaran digital bagi mengurangkan kemiskinan serta mendorong pertumbuhan terangkum. Dana Pembangunan Modal Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bertindak sebagai sekretariat. Untuk mengetahui lebih lanjut, lawati www.betterthancash.org, ikuti @BetterThan_Cash dan langgan untuk mendapatkan berita.
Latar Belakang Pradhan Mantri Jan-Dhan Yojana (PMJDY), Misi Kebangsaan Rangkuman Kewangan, Jabatan Khidmat Kewangan, Kementerian Kewangan, Kerajaan India
PMJDY merupakan Misi Kebangsaan untuk Rangkuman Kewangan yang merangkumi pendekatan bersepadu bagi mewujudkan rangkuman kewangan yang menyeluruh untuk semua kediaman di dalam negara ini. Pelan itu membayangkan akses semesta kepada kemudahan perbankan dengan sekurang-kurangnya satu akaun perbankan asas untuk setiap kediaman, celik kewangan, akses kepada kemudahan kredit, insurans dan pencen. Untuk mengetahui lebih lanjut, lawati http://www.pmjdy.gov.in.
Logo - http://photos.prnewswire.com/prnh/20150901/262644LOGO
Logo - http://photos.prnewswire.com/prnh/20150901/262649LOGO
Logo - http://photos.prnewswire.com/prnh/20120919/CG77018LOGO