omniture

Ocean Conservancy Menyiarkan Laporan Global yang Menggariskan Penyelesaian kepada Masalah Kritikal Sisa Plastik Di Lautan

Ocean Conservancy
2015-10-01 01:18 118

Laporan baharu menggariskan pelan menuju ke hadapan bagi mengurangkan sisa plastik lautan sebanyak 45 peratus menjelang tahun 2025 

NEW YORK, 30 September 2015 /PRNewswire/ -- Ocean Conservancy hari ini mengumumkan pelancaran global Stemming the Tide: Land-based strategies for a plastic-free ocean – laporan berorientasikan penyelesaian yang pertama seumpamanya dengan perkongsian bersama Pusat Perniagaan dan Alam Sekitar McKinsey yang menggariskan penyelesaian di darat khusus untuk sisa plastik dalam lautan, bermula dengan penyingkiran pembuangan sisa plastik di lima buah negara utama (China, Indonesia, Filipina, Vietnam dan Thailand).

"Laporan hari ini, buat kali pertama, menggariskan pelan ke hadapan khusus untuk pengurangannya, dan akhirnya penyingkiran sisa plastik dari lautan," kata Andreas Merkl, Ketua Pegawai Eksekutif Ocean Conservancy. "Dapatan daripada laporan itu mengesahkan apa yang sudah lama difikirkan oleh orang ramai – penyelesaian plastik di lautan sebenarnya bermula dari darat. Usaha yang selaras daripada industri, badan bukan kerajaan (NGO), dan kerajaan perlu dilakukan bagi menyelesaikan masalah ekonomi serta alam sekitar yang semakin melarat ini."

Lapan juta tan metrik plastik dibuang ke dalam lautan dunia setiap tahun dan jumlah ini semakin bertambah. Tanpa tindakan global bersepadu, mungkin akan terdapat satu tan plastik bagi setiap tiga tan ikan menjelang tahun 2025, dan ini akan menyebabkan berlakunya masalah alam sekitar, ekonomi dan kesihatan yang besar. Sekurang-kurangnya 80 peratus plastik di lautan berasal daripada sumber di darat, penemuan laporan itu mengusulkan penyelesaian empat hala untuk mengurangkan pembuangan sebanyak 45 peratus dalam 10 tahun akan datang, lalu mengurangkan sisa plastik lautan secara dramatik menjelang tahun 2025 dengan matlamat akhir untuk menghapuskan terus masalah ini menjelang tahun 2035. Laporan itu menganggarkan jumlah kos untuk melaksanakan semua penyelesaian ini mungkin mencecah $5 bilion setiap tahun, dengan pulangan signifikan kepada ekonomi global.

"Memandangkan ini merupakan cabaran alam sekitar global yang memberi impak kepada kebersihan dan kesihatan, nilai tanah, sumber protein global penting, serta pertumbuhan industri barangan pengguna serta pembungkusan, sekurang-kurangnya langkah intervensi bernilai $5 bilion itu menjadikan salah satu daripada cabaran alam sekitar yang paling mampu diselesaikan yang dihadapi oleh kita semua," kata Dr. Martin Stuchtey, pengarah Pusat Perniagaan dan Alam Sekitar McKinsey.

Stemming the Tide secara khususnya menekankan peranan penting yang dimainkan oleh industri dalam mendorong penyelesaian itu dan memangkinkan pelaburan awam serta swasta bagi menyelesaikan masalah pembuangan plastik ke lautan.

"Kami komited untuk berusaha membina masa hadapan dengan lautan tanpa plastik," kata Jeff Wooster, pengarah kelestarian global, Dow Packaging and Specialty Plastics, rakan kongsi laporan itu. "Syarikat-syarikat tidak menghasilkan plastik dengan niat untuk membuangnya ke lautan, dan kami mengakui peranan mantap yang perlu dimainkan oleh industri bagi membantu menyingkirkan sisa plastik daripada lautan menjelang tahun 2035."

Bagi tempoh jangka masa pendek dan sederhana, laporan itu menyeru pembangunan yang lebih pantas untuk usaha pengumpulan sisa dan penyekatan pembuangan pascapengumpulan, diikuti dengan pembangunan serta pengeluaran besar-besaran pilihan rawatan yang berdaya maju secara komersial. Dalam jangka masa panjang, laporan itu mengenal pasti keperluan kritikal untuk inovasi dalam teknologi pemulihan dan rawatan, penghasilan bahan-bahan baharu serta rekaan produk yang dapat memudahkan penggunaan atau proses pengitaran semula.

Laporan itu turut menekankan keperluan untuk semua pendekatan dan penyelesaian disuai khusus pada peringkat rantau, terutamanya di lima buah negara utama yang dikenal pasti, yang menjadi penyumbang kepada separuh daripada seluruh aktiviti pembuangan plastik di dunia. Sementara banyak negara telah membuat peningkatan besar dalam menyelesaikan masalah pembuangan plastik, sokongan global lebih padu diperlukan bagi memperluaskan impak dengan pantas di semua rantau utama ini.

"Isu sisa plastik di lautan kita ini mengakibatkan kesan drastik ke atas mata pencarian dan kesihatan penduduk Dagupan," kata Belen Fernandez, Datuk Bandar Dagupan, komuniti pesisiran pantai di Filipina. "Pekan kami mempunyai tapak buangan di pantai kami selama lebih 50 tahun. Kami sedang berusaha keras untuk menutup tapak buangan itu dan meningkatkan kapasiti pengurusan sisa di Dagupan. Menangani masalah sisa plastik lautan akan memberi manfaat sebenar bukan hanya kepada alam sekitar, tetapi juga kepada rakyat kami - dengan meningkatkan kualiti kehidupan mereka. Saya berharap bandar kami dan usaha kami akan menjadi contoh untuk apa yang boleh dicapai di seluruh dunia."

Laporan itu menggariskan 10 tahun akan datang akan menjadi amat penting bagi menyelesaikan masalah sisa plastik di lautan secara berkesan – masalah yang bukan sahaja dihadapi oleh masyarakat tempatan, bahkan di seluruh dunia. Bagi memastikan kejayaan, laporan itu menyeru maklum balas global bersepadu yang didorong oleh gabungan syarikat, kerajaan, dan badan bukan kerajaan (NGO) seluruh dunia yang akan memangkinkan komitmen daripada kepimpinan global, menyediakan "bukti konsep" tempatan, menyediakan sokongan teknologi pengurusan sisa serta mengutamakan isu sisa plastik lautan sebagai sebahagian daripada agenda dasar global bagi lautan dan juga alam sekitar.

Laporan ini merupakan inisiatif pengenalan Trash Free Seas Alliance, usaha Ocean Conservancy untuk menyatukan para pemimpin industri, sains, dan pemuliharaan yang berkongsi matlamat yang sama untuk lautan yang sihat dan bebas daripada sampah. Laporan itu terhasil daripada sokongan sejumlah rakan kongsi, termasuk The Dow Chemical Company, The Coca-Cola Company, American Chemistry Council, REDISA dan Tabung Hidupan Liar Sedunia, serta pembiaya berikut: Yayasan Adessium, 11th Hour Racing, Yayasan Hollomon Price, Yayasan Forrest C. & Frances H. Lattner, dan Yayasan Mariposa.

Untuk memuat turun versi lengkap laporan itu serta aset tambahan untuk pelancaran itu, lawati laman laporan itu di sini.

Hubungi

Julia Roberson
jroberson@oceanconservancy.org
1.202.351.0476

Laporan Stemming the Tide merupakan usaha pengenalan Trash Free Seas Alliance®, forum unik yang dilancarkan oleh Ocean Conservancy pada tahun 2012 yang menghimpukan para pemimpin industri, sains dan pemuliharaan. Perikatan itu memfokuskan pengenalpastian peluang untuk penyelesaian merentasi sektor yang dapat mendorong tindakan dan menggalakkan inovasi menuju lautan sihat yang bebas sampah.

Latar Belakang Ocean Conservancy

Ocean Conservancy bekerjasama dengan anda untuk melindungi lautan daripada cabaran global terhebat masa kini. Bersama-sama, kami mencipta penyelesaian berasaskan sains untuk lautan yang sihat serta hidupan liar dan komuniti yang bergantung kepadanya. www.oceanconservancy.org

Latar Belakang Pusat Perniagaan dan Alam Sekitar McKinsey

Pusat Perniagaan dan Alam Sekitar McKinsey bekerjasama dengan syarikat, kerajaan, dan badan tanpa untung untuk menangani antara isu sumber semula jadi dunia yang paling penting serta mendesak dalam cara yang dapat memperbaiki pertumbuhan ekonomi dan juga penggunaan sumber. www.mckinsey.com/client_service/sustainability/mckinsey_center_for_business_and_environment  

Source: Ocean Conservancy
Keywords: Environmental Products & Services Conservation/Recycling Survey, Polls & Research