omniture

VKontakte Bebas Daripada Pertuduhan dalam Pertikaian dengan Warner dan Universal

VKontakte
2015-10-08 19:33 365

ST PETERSBURG, Rusia, 8 Oktober 2015 /PRNewswire/ -- Sebuah mahkamah di St Petersburg hari ini telah menerbitkan hujahnya bagi mengetepikan prosiding undang-undang yang dikemukakan oleh Universal Music Russia dan Warner Music UK ke atas VKontakte pada April 2014. Bersama Sony Music Russia, syarikat-syarikat itu telah menghantarkan tuntutan berasingan kepada Mahkamah Timbang Tara St Petersburg dan Wilayah Leningrad, menuntut mahkamah menegakkan hak eksklusif mereka terhadap rakaman muzik dan membayar pampasan ke atas kerugian yang dialami. Tuntutan keseluruhan mereka berjumlah 51 juta ruble. VKontakte dan Sony Music Russia telah menyetujui penyelesaian global sulit pada Julai 2015.

Hujah perundangan mahkamah itu mengesahkan status VKontakte sebagai perantara maklumat bertanggungjawab yang tidak terlibat dalam penjualan muzik dan tidak menerima sebarang hasil daripada tindakan sedemikian. Mahkamah mengiktiraf pelbagai tindakan pencegahan yang dilaksanakan oleh syarikat itu untuk melindungi para pemegang hak dan mengetahui tentang teknologi cap jari syarikat tersebut yang menghalang pengguna memuat naik kandungan yang pernah dipadam daripada laman tersebut. Selain itu, mahkamah menambah pihak yang menuntut tidak melakukan usaha munasabah untuk mencegah pelanggaran hak cipta memandangkan mereka tidak berhubung secukupnya dengan VKontakte sebelum memfailkan tuntutan mereka.

Satu kesimpulan penting yang dicapai oleh mahkamah adalah VKontakte tidak menyedari dan secara munasabahnya tidak mungkin telah mengetahui tentang penggunaan tidak sah rakaman di laman itu sebelum tuntutan tersebut dibuat. Pihak yang menuntut bukan sahaja gagal menunjukkan bukti pemilikan hak tersebut, tetapi turut gagal mengenal pasti pelanggaran hak cipta berkenaan.

Mahkamah memerintahkan VKontakte untuk menambah baik teknologi sedia adanya bagi mencegah pelanggaran hak cipta. Walau bagaimanapun, seperti yang telah dinyatakan, VKontakte telahpun mengguna pakai kaedah-kaedah tersebut.

Boris Dobrodev, Ketua Pegawai Eksekutif VKontakte, mengulas: "Kami berasa sukacita kerana pihak mahkamah telah membuat keputusan yang menyebelahi kami dan berpuas hati dengan kandungan hujah perundangan hari ini. Dapatan mahkamah mengesahkan ketiadaan asas dalam tuntutan pemohon dan menyokong kedudukan kami yang telah kami pegang sepanjang kes ini. Kami akan terus mengadakan dialog yang membina bersama syarikat-syarikat rakaman tersebut dan berusaha ke arah terma yang mendatangkan manfaat bersama untuk menjalinkan kerjasama. Berkenaan sistem untuk mencegah muat naik kandungan yang dipadam secara berulang, VKontakte telah pun membangunkan dan melaksanakan sistem cap jari digital*. Teknologi ini kini beroperasi dan kami akan terus menambah baik teknologi ini secara berterusan."

-----

VKontakte merupakan rangkaian sosial terbesar Eropah yang memiliki lebih 300 juta akaun berdaftar. Lebih 70 juta pengguna mengunjungi laman sesawang VK setiap hari.

Source: VKontakte
Keywords: Banking/Financial Service Entertainment Music