Syarikat farmaseutikal khusus antarabangsa berpangkalan di Princeton bekerjasama dengan Baylor College of Medicine
PRINCETON, New Jersey dan WASHINGTON, 20 Oktober 2015 /PRNewswire/ -- Brighton Biotech, Inc. (BBI) dan Sekolah Perubatan Tropika Nasional di Baylor College of Medicine hari ini mengumumkan BBI telah memperoleh lesen global eksklusif bagi tujuan pembangunan klinikal dan pengkomersilan vaksin untuk membasmi penyakit berjangkit yang boleh membawa maut iaitu Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS) dan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS). Vaksin ini sedang diusahakan oleh Institut Vaksin Sabin dan Pusat Hospital Kanak-kanak Untuk Pembangunan Vaksin Texas - Kerjasama Pembangunan Produk (Sabin PDP) bersama konsortium yang terdiri daripada rakan-rakan kerjasama akademik.
BBI yang berpangkalan di Princeton, sebuah syarikat farmaseutikal khusus peringkat antarabangsa, akan turut mengambil bahagian dalam program penyelidikan praklinikal dan pembangunan produk Baylor dalam memajukan pendekatan baharu vaksin melalui keberkesanan yang ditunjukkan tanpa peningkatan imun terhadap MERS dan SARS.
"Kami teruja untuk menyertai Baylor dan Sabin PDP untuk membangunkan dan mengkomersialkan pendekatan baharu mereka, yang telah menunjukkan keberkesanan dalam kajian praklinikal peringkat awal bagi tujuan mencegah SARS," kata Ketua Pegawai Operasi Brighton Biotech, Dr. Jurij Petrin.
"Kita tidak boleh menunggu sehingga bencana global berlaku untuk menangani penyakit-penyakit berbahaya ini. MERS, contohnya, mempunyai kadar kematian yang tinggi sebanyak 40 hingga 50 peratus," tambah Ketua Pegawai Perubatan BBI, Dr. Richard Sebastian Wanless. "Kami akan bertungkus lumus dengan pantas dan cekap melalui proses klinikal dan pengawalseliaan supaya vaksin ini boleh disediakan secepat mungkin."
"Kami berbesar hati kerana BBI akan menyertai kumpulan rakan konsortium kami bagi mempercepatkan pembangunan vaksin penting ini. Dengan menggunakan model PDP, kami bersedia mengusahakan produk ini dengan segera melalui kajian yang pertama dijalankan dalam kalangan manusia," kata Dr. Maria Elena Bottazzi, timbalan pengarah Sabin PDP dan dekan sekutu Sekolah Perubatan Tropika Nasional di Baylor.
"Setiap kali wabak penyakit berjangkit berlaku, dunia tergesa-gesa untuk mencegah penderitaan dan kematian yang tidak sewajarnya berlaku. Matlamat kami adalah untuk menghasilkan vaksin sebelum kecemasan seterusnya, dan bukannya semasa kecemasan itu berlaku," kata Dr. Peter Hotez, dekan Sekolah Perubatan Tropika Nasional di Baylor, presiden Sabin, pengarah Sabin PDP dan pengarah Institut Vaksin Sabin dan Pusat Hospital Kanak-kanak Untuk Pembangunan Vaksin Texas. "Kami amat gembira kerana dapat bekerjasama dengan BBI untuk membangunkan vaksin-vaksin berpotensi ini melalui cara yang tidak dihalang oleh kos," kata Hotez.
BBI mengambil pendekatan ringkas dan berkeusahawanan terhadap pembangunan dan pengkomersilan ubatan, bersama pasukan farmaseutikal utama yang berkemahiran dalam memasarkan produk, termasuk untuk pasaran membangun. Mereka berusaha melalui hubungan jangka panjang bersama pertubuhan-pertubuhan penyelidikan klinikal dengan sokongan perkhidmatan sumber luar untuk mengurangkan kos yang terlibat, di samping membawakan ubat-ubatan ke pasaran di seluruh dunia.
"Kami memiliki kepakaran farmaseutikal yang luas tanpa infrastruktur farmaseutikal yang besar," kata Petrin, seorang doktor perubatan dengan 20 tahun pengalaman dalam industri farmaseutikal dan bioteknologi dalam bidang pembangunan ubat-ubatan serta hal ehwal perubatan dan pengawalseliaan. Bukan sekadar sebuah syarikat fizikal, BBI bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan penyelidikan klinikal dalaman dan jaringan yang terdiri daripada 25 buah organisasi penyelidikan kontrak (CRO) yang lebih kecil di seluruh dunia untuk memperoleh dan membangunkan produk-produk farmaseutikal serta bioteknologi yang ditujukan untuk rawatan dan/atau pencegahan keperluan perubatan serius yang belum dipenuhi.
"Hal ini adalah amat penting untuk kami dalam menangani ancaman penyakit berjangkit ini supaya ia tidak merebak di luar kawalan dan menyebabkan berlakunya wabak yang dahsyat," kata Hotez.
Usaha bersama antara Baylor dan BBI sedang membangunkan prototaip vaksin subunit yang terdiri daripada protein spike SARS dan MERS CoV, yang merupakan domain pengikat reseptor minimum, yang diperlukan untuk mengikat kepada reseptor virus berfungsi dalam manusia, kata Petrin. Beliau menyatakan kajian terkini melalui tikus dengan formulasi vaksin/adjuvan teroptimum telah menunjukkan 100 peratus keberkesanan tanpa imunopatologi peparu dikesan, tidak seperti percubaan sebelumnya dengan ketoksikan melampaui risiko penyakit itu sendiri.
Latar Belakang Brighton Biotech, Inc.
BBI merupakan syarikat milik persendirian yang diasaskan pada tahun 2010. Ia bersekutu rapat dengan Pharmaceutical Regulatory Services, Inc. dan PRS Clinical, Inc., dua firma perunding milik persendirian yang memberikan BBI dengan penggunaan yang menjimatkan masa dan kos bagi amalan pembangunan terbaik di syarikat-syarikat farmaseutikal besar tanpa perbelanjaan yang tinggi. Fokus syarikat ini adalah untuk membangunkan produknya sepantas dan secekap mungkin, menjimatkan masa dan sumber. Pengasas dan pasukan pengurusannya mewakili kombinasi unik antara pengetahuan serta pengalaman penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang akademik dan juga industri. Mereka amat berpengalaman dalam pembangunan ubat-ubatan dan vaksin, hal ehwal pengawalseliaan dan penyelidikan klinikal. Ketahui lebih lanjut di www.brightonbiotech.com.
Latar Belakang Baylor College of Medicine
Baylor College of Medicine (www.bcm.edu) di Houston dikenali sebagai pusat sains kesihatan akademik terkemuka dan dikenali dengan kecemerlangannya dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan rawatan pesakit. Ia tersenarai pada kedudukan ke-21 dalam kalangan fakulti perubatan dan ke-12 untuk penjagaan asas oleh U.S. News & World Report. Baylor tersenarai pada kedudukan ke-19 dalam kalangan semua fakulti perubatan A.S. untuk pembiayaan Institut Kesihatan Nasional dan nombor satu di Texas. Terletak di Texas Medical Center, Baylor mempunyai hubungan dengan tujuh buah hospital mengajar dan kini secara bersama memiliki serta mengendalikan Baylor St. Luke's Medical Center, sebahagian daripada CHI St. Luke's Health. Kini, Baylor melatih lebih 3,000 pelajar perubatan, siswazah, jururawat bius pembantu doktor dan pelajar ortotik, selain residen dan felow pascakedoktoran. Ikuti Baylor College of Medicine di Facebook (http://www.facebook.com/BaylorCollegeOfMedicine) dan Twitter (http://twitter.com/BCMHouston).
Latar Belakang Institut Vaksin Sabin dan Kerjasama Pembangunan Produk Institut Vaksin Sabin
Institut Vaksin Sabin (Sabin) merupakan pertubuhan yang bukan berasaskan keuntungan, 501(c)(3) berdedikasi untuk mengurangkan penderitaan manusia yang menderita penyakit yang boleh dicegah oleh vaksin dan penyakit terabai tropika (NTD) di seluruh dunia. Sabin membangunkan vaksin baharu, menyokong peningkatan penggunaan vaksin sedia ada dan menggalakkan akses diperluas kepada rawatan perubatan yang berpatutan menerusi kolaborasi dengan kerajaan, institusi akademik, saintis, ahli profesional perubatan dan pertubuhan bukan untung. Untuk maklumat lanjut, sila kunjungi www.sabin.org.
Penyelidikan dan pembangunan vaksin baharu oleh Sabin dijalankan melalui Kerjasama Pembangunan Produk Institut Vaksin Sabin (Sabin PDP), berpangkalan di Institut Vaksin Sabin dan Pusat Hospital Kanak-kanak Untuk Pembangunan Vaksin Texas melalui kerjasama dengan Baylor College of Medicine. Sabin PDP bekerjasama dengan institusi awam, akademik dan swasta yang terkemuka di seluruh dunia untuk membangunkan dan menguji vaksin yang selamat, berkesan dan berkos rendah yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat termiskin di dunia. Satu gambaran lengkap bagi projek-projek dan rakan-rakan kerjasama yang sedang berlangsung disediakan melalui http://www.sabin.org/programs/vaccine-development.
Wakil Media
Untuk Baylor College of Medicine: Dipali Pathak, +1 (713) 798-6826 atau pathak@bcm.edu
Untuk BBI: Becky Taylor, +1 (609) 240-6886 atau becky@btaylorpa.com