ADDIS ABABA, Etiopia, 30 Oktober 2015 /PRNewswire/ -- Huawei, bersama Kementerian Air, Pengairan dan Elektrik Etiopia, menganjurkan Hari Etiopia serta Sidang Kemuncak Kuasa Elektrik Huawei 2015 bertemakan "Grid Pintar Terhubung Lebih Baik, Kecekapan Tenaga Lebih Tinggi" pada 28 Oktober di Addis Ababa, Etiopia.
Sebagai salah satu acara penting semasa Perhimpunan Eksekutif Tenaga Dunia dan Sidang Kemuncak Pemimpin Tenaga Dunia 2015 yang dianjurkan oleh Majlis Tenaga Dunia (WEC), acara itu menghimpunkan pakar-pakar industri dan para eksekutif kanan daripada syarikat-syarikat kuasa elektrik global bagi membincangkan ikutan serta isu dalam industri-industri baharu. Topik perbincangan melibatkan penambahbaikan kecekapan penukaran tenaga baharu, pengurangan pembaziran tenaga elektrik dalam penghantaran jarak jauh dan penggunaan teknologi ICT, sensor, ukuran serta kawalan bagi memperbaiki operasi dan juga kecekapan pengurusan syarikat-syarikat kuasa elektrik.
Jerry Ji, Presiden Industri Tenaga, Enterprise Business Group, Huawei, menyampaikan ucapan dasar semasa Sidang Kemuncak itu. Beliau berkata, "Mempertingkatkan kecekapan tenaga sepanjang keseluruhan proses, termasuk penjanaan kuasa elektrik, penghantaran, pengedaran dan penggunaan telah menjadi matlamat yang sama bagi syarikat-syarikat kuasa elektrik seluruh dunia. Dengan Penyelesaian Grid Pintar Terhubung Penuh Huawei yang berasaskan prasarana ICT inovatif, syarikat-syarikat ini boleh membina grid kuasa yang selamat, andal, mesra alam, dan mampan bagi mempertingkat kecekapan tenaga serta operasi." Kemudian, beliau terus menyambung dengan menekankan yang sumbangan daripada rakan kongsi saluran adalah sangat penting kepada ekosistem kerana ia membolehkan grid pintar yang terhubung lebih baik yang menggunakan reka bentuk terbuka. Kata beliau lagi, "Sejajar dengan prinsip panduan Prasarana ICT Berpandukan Perniagaan (BDII), Huawei komited untuk membina rantaian nilai grid pintar dengan memfokuskan prasarana ICT dan melaksanakan strategi 'menjadi bersepadu' mereka. Dengan ini, Huawei berkolaborasi penuh dengan rakan-rakan kongsinya dalam bidang teknologi, perkakasan, perisian, dan perkhidmatan bagi membolehkan inovasi dilakukan bersama, membantu pelanggan dalam industri kuasa elektrik mencapai kejayaan dalam perniagaan."
Institusi kebangsaan yang bertanggungjawab menjana dan membekalkan tenaga elektrik di Etiopia, Ethiopian Electric Power (EEP) menetapkan strategi pembangunan jangka masa panjang bagi meningkatkan bekalan hidrokuasa dalam negara, termasuk lebih banyak sumber tenaga dalam grid sedia ada, dan mempertingkatkan pendigitalan gridnya. Diminta mengulas tentang pembangunan kuasa elektrik, En. Mekuria Lemma, Ketua Strategi dan Pelaburan EEP berkata, "Etiopia kaya dengan sumber tenaga semula jadi. Namun begitu, tenaga hidrokuasa, suria dan angin kini hanya menyumbang kurang lima peratus daripada jumlah penjanaan tenaga negara. Kami percaya sumber ini merupakan tulang belakang kepada pembangunan kuasa elektrik negara kami."
Semasa Sidang Kemuncak itu, Huawei mempamerkan Penyelesaian Grid Pintar Terhubung Penuh mereka dalam kedua-dua senario operasi korporat dan senario operasi tenaga elektrik. Demonstrasi penjanaan, penghantaran, penukaran, pengedaran, dan penggunaan tenaga elektrik disediakan bagi menunjukkan bagaimana prasarana ICT inovatif membantu syarikat-syarikat kuasa elektrik membina grid kuasa yang selamat, andal, mesra alam, dan mampan yang dapat mempertingkat kecekapan tenaga serta operasi mereka. Huawei juga menunjukkan Penyelesaian Prasarana Pemeteran Canggih (AMI) terkini yang menyediakan sistem pengurusan pelanggan yang direka bentuk dengan lancar bagi membantu syarikat-syarikat kuasa elektrik mempertingkat kecekapan operasi. Penyelesaian AMI memanfaatkan komunikasi Pembawa Saluran Berkuasa Tinggi (PLC), gerbang dan platform Internet of Things (IoT) bagi menyokong jumlah besar hubungan terminal pintar, pemasangan mudah, serta keserasian dan kebolehsesuaian pelbagai terminal pintar yang berbeza.
Dalam industri kuasa elektrik, Huawei menyediakan perkhidmatan kepada lebih 160 buah syarikat kuasa di seluruh dunia, meliputi lebih 100,000 substesen. Penyelesaian AMI Huawei membantu sebuah syarikat kuasa Afrika membuat pelunasan bayaran tenaga elektrik masa sebenar, yang sebelum ini mengambil masa dua ke tiga bulan untuk diselesaikan oleh syarikat itu. Di Thailand, Penyelesaian Penghantaran dan Penukaran Kuasa Huawei membantu Lembaga Tenaga Elektrik Wilayah (PEA) membina rangkaian komunikasi grid berkelajuan tinggi yang selamat untuk memudahkan pembinaan grid pintar. Penyelesaian Loji PV Pintar Huawei juga membantu sebuah loji kuasa PV 20 MW di Trowbridge di United Kingdom meningkatkan penjanaan tenaga elektrik sambil memperbaiki kecekapan operasi dan pengurusan mereka. Di China, Huawei bekerjasama dengan Grid Kuasa Selatan China (CSG) untuk membina rangkaian pengedaran kuasa pintar wayarles ultrajalur lebar eLTE mereka dengan kependaman milisaat bagi menyokong keperluan komunikasi bagi perkhidmatan seperti telepemeteran, pengisyaratan jarak jauh, kawalan jarak jauh, pemantauan video dan perkhidmatan penyaluran multimedia yang memerlukan lebar jalur yang tinggi.
Latar Belakang Huawei
Huawei merupakan penyedia penyelesaian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) global terkemuka. Matlamat kami adalah untuk membina dunia yang terhubung dengan lebih baik, bertindak sebagai warga korporat yang bertanggungjawab, pemboleh inovatif untuk masyarakat bermaklumat, dan penyumbang kolaboratif kepada industri. Didorong oleh inovasi berpusatkan pelanggan dan perkongsian terbuka, Huawei telah mewujudkan portfolio penyelesaian ICT hujung ke hujung yang memberi pelanggan kelebihan berdaya saing dalam rangkaian telekomunikasi dan perusahaan, peranti dan pengkomputeran awan. Kakitangan Huawei seramai 170,000 orang di seluruh dunia komited untuk mencipta nilai maksimum untuk para pengendali telekomunikasi, perusahaan dan pengguna.
Sila lawati Huawei secara dalam talian di www.huawei.com atau ikuti kami melalui:
http://www.linkedin.com/company/Huawei
http://www.twitter.com/Huawei
http://www.facebook.com/Huawei
http://www.google.com/+Huawei
http://www.youtube.com/Huawei