WASHINGTON, 16 November 2015 /PRNewswire/ -- Majlis Arang Batu Nasional (NCC) hari ini menerbitkan laporan baharu yang menyeru ke arah pewujudan lapangan persaingan yang sama rata untuk melaksanakan teknologi pemerangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) yang digunakan untuk sektor arang batu, gas asli serta perindustrian pada peringkat komersial.
Kertas putih itu memberikan saranan untuk mewujudkan "kesetaraan dasar" agar CCS dapat mencapai pelbagai objektif dasar tenaga dan meneliti keadaan semasa dalam pembangunan tenaga bersih termasuk arang batu. Para pengarang laporan itu menyediakan analisis jurang yang menjelaskan perbezaan antara trajektori semasa CCS dan perkara yang diperlukan untuk mendorong kemajuannya.
Kertas putih itu telah diminta oleh Setiausaha Tenaga A.S. Ernest Moniz menjelang Persidangan Parti-parti PBB di Paris hujung bulan ini. NCC telah diperbadankan pada tahun 1984 di bawah Akta Jawatankuasa Penasihat Persekutuan (FACA) untuk menasihat, memaklumkan dan memberi saranan kepada Setiausaha Tenaga A.S. tentang hal ehwal berkaitan dasar serta teknologi arang batu.
"Arang batu akan terus menjadi sumber penting kepada tenaga elektrik di Amerika Syarikat dan seluruh dunia untuk beberapa dekad akan datang," kata Pengerusi NCC Jeff Wallace, mantan Naib Presiden Perkhidmatan Bahan Bakar untuk Southern Company. "Dunia memerlukan CCS untuk mencapai matlamat alam sekitarnya, dan CCS menawarkan peluang terbaik untuk memerangkap, menggunakan serta menyimpan sejumlah karbon dioksida yang signifikan daripada bahan bakar fosil."
Hampir 87 peratus daripada tenaga global dibekalkan oleh bahan bakar fosil, dan arang batu setakat ini merupakan bahan bakar fosil terbanyak mengikut simpanan. Arang batu membekalkan 44 peratus daripada tenaga elektrik dunia. Arang batu akan kekal sebagai bahan bakar dominan untuk menjana kuasa pada tahun 2035, membentuk sekitar satu pertiga daripada tenaga elektrik, menurut Ramalan Tenaga BP 2035. Pada masa kini, terdapat lebih 2,200 unit arang batu sedang diusahakan dan dirancang di seluruh dunia.
Pengerusi Laporan NCC Glenn Kellow, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Peabody Energy, menerangkan bahawa Jabatan Tenaga A.S. telah mengelolakan program penyelidikan dan pembangunan yang berjaya untuk mencetuskan perkembangan awal teknologi CCS, namun sokongan lebih besar diperlukan untuk membawa CCS ke peringkat komersial.
"Kami yakin saranan yang terdapat dalam laporan ini akan membawakan kemajuan yang amat diperlukan untuk mengkomersialkan teknologi penting ini dan akan membantu membimbing keputusan berkaitan kemudahan global yang akan beroperasi selama beberapa tahun akan datang," kata Kellow. "Laporan ini meneliti usaha ke arah emisi hampir-sifar, yang diiktiraf oleh para pemimpin global sebagai penting kepada matlamat karbon," kata Kellow.
Saranan daripada laporan utama melibatkan:
1.Insentif Kewangan: Insentif kewangan untuk CCS mesti dipertingkatkan dan diperluaskan dengan nyata untuk merangkumi insentif yang tersedia untuk sumber tenaga bersih yang lain. Insentif perlu ditekankan dan dirangka bagi mengambil kira, seperti mana tenaga angin dan suria pada tahun 1990-an, bahawa CCS merupakan teknologi yang belum matang dengan risiko awal dan kos modal yang tinggi. Risiko modal mesti dikurangkan, dan insentif operasi adalah penting untuk menjamin aliran hasil jangka panjang yang kukuh serta mengurangkan kos langsung kepada pengguna.
2.Penambahbaikan Pengawalseliaan: Satu pelan tindakan pengawalseliaan pertama seumpamanya diperlukan untuk menghapuskan sekatan terhadap pembinaan dan pembangunan projek-projek CCS. Pelan tindakan ini akan dikenakan untuk loji kuasa dan kemudahan pemerangkapan karbon serta pengangkutan dan juga suntikan.
3.Penyelidikan, Pembangunan dan Demonstrasi: Jabatan Tenaga A.S. perlu menjadi pemangkin untuk projek-projek demonstrasi tambahan berskala komersial, dan projek-projek sedemikian mesti dimulakan serta merta. NCC yakin Amerika Syarikat perlu menetapkan matlamat untuk memulakan operasi projek berskala komersial 5 hingga 10 gigawatt menjelang tahun 2025, dan usaha pembangunan mesti dimulakan sekarang.
4.Komunikasi dan Kolaborasi: Jabatan Tenaga A.S. mesti meyakinkan pihak penggubal dasar A.S. dan global serta pihak-pihak berkepentingan lain bahawa bahan bakar fosil akan digunakan pada dekad-dekad mendatang ke tahap yang lebih besar berbanding masa kini, dan hasilnya terdapat keperluan untuk CCS. Jabatan Tenaga A.S. patut memulakan kolaborasi antarabangsa untuk menyokong pelaksanaan segera 5 hingga 10 GW demonstrasi skala komersial selain projek-projek A.S.
Dalam menilai kesetaraan dasar untuk CCS, NCC menyatakan tenaga boleh diperbaharui A.S. menerima 12 kali ganda subsidi persekutuan berbanding arang batu pada tahun 2013 walaupun bahan bakar fosil menghasilkan 79 peratus bekalan tenaga untuk A.S. manakala tenaga boleh diperbaharui sebanyak 11 peratus.
Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi NCC Janet Gellici menyatakan NCC mempunyai sejarah yang panjang dalam membangunkan kajian serta laporan yang menyokong pelaksanaan teknologi CCS bagi mencapai matlamat alam sekitar dunia yang bercita-cita tinggi.
Kertas putih Menyamaratakan Lapangan Persaingan NCC merupakan laporan kesepuluh yang disediakan oleh Majlis tersebut untuk Setiausaha Tenaga A.S. berkaitan dasar serta teknologi pengurusan karbon sejak tahun 2000, kata Gellici. Pengerusi Laporan Teknikal NCC dan ketua pengarang adalah Fred Eames, Hunton & Williams, dengan Janet Gellici sebagai pengarang yang turut menyumbang.
Anggota-anggota majlis dilantik oleh Setiausaha Tenaga A.S dan berkhidmat tanpa pampasan. Senarai anggota-anggota Majlis boleh diperoleh daripada pejabat NCC melalui info@NCC1.org atau dengan menghubungi talian 202-756-4524.