omniture

Penemuan Strategi Penting untuk Barah Agresif

Photoimmune Discoveries
2015-11-30 08:28 331

UTRECHT, Belanda, 30 November 2015 /PRNewswire/ --

Satu pendekatan kombinasi baharu menggabungkan imunoterapi dengan terapi fotodinamik-Bremachlorin untuk barah peringkat teruk.

Satu kajian makmal yang dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Leiden (LUMC) di Belanda mendapati imunoterapi boleh digabungkan secara berkesan dengan terapi fotodinamik (PDT) bagi menghapuskan tumor yang terbentuk. Pendekatan itu menghasilkan pemusnahan tumor setempat yang kuat serta tindak balas imun sistemik yang giat melawan penyakit itu. Penemuan kajian itu dilaporkan secara dalam talian sebelum penerbitan bercetak dalam isu 6 November 2015 untuk jurnal perubatan, Clinical Cancer Research.

(Gambar: http://photos.prnewswire.com/prnh/20151126/291254-INFO )

"Kajian ini merupakan langkah pertama," ujar Profesor Ferry Ossendorp, pengkaji utama kajian itu. "Kini kami sedang menyediakan kajian praklinikal lanjut dengan matlamat untuk mencapai penerimaan klinikal di Eropah Barat." Dr. Ossendorp mempelopori kajian itu bersama calon ijazah kedoktoran Jan Willem Kleinovink dari Jabatan Imunohematologi dan Pemindahan Darah LUMC, dengan kolaborasi rapat bersama Dr. Clemens Lowik, yang kini berada di Pusat Perubatan Universiti Erasmus di Rotterdam.

Para penyelidik itu menumpukan kepada kombinasi dua terapi yang sudah mantap, PDT dan imunoterapi agar dapat menghapuskan tumor agresif. PDT memerlukan penggunaan agen istimewa, atau fotopemeka, berserta oksigen dan cahaya untuk mencetuskan tindak balas yang memusnahkan tumor secara khusus dan menjadikan tumor lebih lemah kepada sistem imun. Imunoterapi sebenarnya melibatkan beberapa strategi yang disasarkan untuk terus mengeksploitasi beberapa bahagian dan mekanisme sistem imun.

"Kombinasi ini membawa kepada tindak balas imun yang luas dan berkesan bagi melawan tumor yang terhasil," kata Ossendorp. "Kami mendapati tumor yang merebak jauh hilang dalam sesetengah haiwan."

Agen fotopemeka yang digunakan dalam kajian ini adalah Bremachlorin, agen terbitan klorofil tidak toksik yang menangkap dan kemudian memindahkan tenaga cahaya untuk tujuan terapeutik. Strategi imunoterapi yang dipilih oleh mereka itu memfokuskan vaksin berasaskan peptida yang mengaktifkan secara khusus sistem Sel-T bagi melawan barah.

Kajian Leiden menggunakan dua jenis model tumor: limfoma agresif dan barah pangkal rahim agresif. Kajian itu mendapati Bremachlorin-PDT boleh memperlahankan kadar pertumbuhan tumor dengan signifikan dalam semua haiwan ujian. Apabila PDT digabungkan dengan strategi vaksin berasaskan peptida, satu pertiga daripada tikus didapati sembuh sepenuhnya daripada barah, bermakna penyakit itu terhapus sepenuhnya.

Selain itu, semua subjek ujian yang telah sembuh ini dilindungi sepenuhnya daripada pembentukan berikutnya bagi jenis barah yang sama. Akhirnya, rawatan kombinasi tumor primer membawa kepada penghapusan tumor sekunder yang merebak jauh, atau bermetastasis. Penemuan luar biasa ini memerlukan kajian lanjut, ujar Ossendorp. Penyakit yang bermetastasis merupakan punca nombor satu bagi kematian berkaitan barah.

Para penyelidik menyimpulkan yang Bremachlorin-PDT, berserta strategi vaksin peptida panjang menghasilkan tindak balas imun seluruh tubuh yang ampuh bagi melawan barah malignan agresif. Dalam laporan mereka untuk Clinical Cancer Research, mereka menyatakan yang strategi fotoimun yang menggabungkan imunoterapi dengan Bremachlorin-PDT menyediakan "strategi rawatan baharu yang boleh dilakukan untuk barah peringkat teruk."

Sejak tahun 2006, Bremachlorin® telah diluluskan untuk kegunaan klinikal di Rusia (menerusi nama Radachlorin®) dan mendapat kelulusan bersyarat di Korea Selatan. Kajian praklinikal kini dijalankan di Belanda dengan matlamat untuk mencapai penerimaan klinikal di Eropah. "Selepas kajian praklinikal kami selesai, kami berharap dapat menyelaras kajian klinikal pesakit barah di EU dan berharap mendapat kelulusan untuk menggunakan strategi gabungan rawatan ini di EU," kata Ossendorp.

Sumber: Photoimmune Discoveries

Source: Photoimmune Discoveries
Keywords: Health Care/Hospital Medical/Pharmaceuticals Clinical Trials/Medical Discoveries Survey, Polls & Research