omniture

Laporan karbon korporat perlu dirombak: kajian global KPMG

KPMG International
2015-12-03 13:01 271

Maklumat penting tidak didapati dalam laporan kewangan tahunan serta laporan tanggungjawab korporat

Garis panduan global boleh membantu menangani laporan yang bercanggah

PARIS, 3 Disember 2015 /PRNewswire/ -- Laporan karbon daripada syarikat-syarikat terbesar dunia adalah kurang konsisten, menjadikannya mustahil untuk pihak berkepentingan membandingkan prestasi sesebuah syarikat dengan syarikat lain secara mudah dan tepat, menurut Kaji Selidik KPMG untuk Laporan Tanggungjawab Korporat edisi 2015.

Para profesional di firma ahli KPMG menilai maklumat karbon yang diterbitkan oleh 250 buah syarikat terbesar dunia dalam laporan kewangan tahunan dan laporan tanggungjawab korporat tahunan. Mereka mendapati walaupun 4 daripada 5 syarikat itu membincangkan karbon dalam semua laporan ini, jenis dan kualiti maklumat yang diterbitkan adalah berbeza dengan ketara.

Contohnya, hanya separuh daripada G250 (53 peratus) menyatakan sasaran pengurangan karbon dalam laporan syarikat mereka, dan daripada semua ini, dua pertiga tidak memberikan langsung kewajarannya bagi menjelaskan mengapa sasaran itu dipilih.

Jenis pembebasan yang dilaporkan juga banyak berbeza. Walaupun majoriti daripada syarikat melaporkan pembebasan daripada operasi mereka sendiri (84 peratus) dan daripada kuasa dibeli (79 peratus), hanya separuh (50 peratus) melaporkan pembebasan dalam rantaian bekalan mereka. Malah lebih sedikit lagi, kurang daripada satu dalam sepuluh (7 peratus), yang turut menyertakan maklumat tentang pembebasan akibat penggunaan serta pembuangan produk dan juga perkhidmatan mereka.

Kira-kira separuh (51 peratus) daripada syarikat yang membincangkan karbon dalam laporan syarikat mereka merujuk para pembaca kepada maklumat lanjut yang terperinci dalam sumber alternatif seperti pangkalan data CDP untuk pelabur. Separuh lagi tidak berbuat demikian.

Wim Bartels, rakan kongsi dengan KPMG di Belanda dan Ketua Global KPMG untuk Laporan & Jaminan Kemampanan, merupakan penulis utama kaji selidik KPMG itu. Kata beliau:

"Semua pihak berkepentingan seharusnya dapat mengakses maklumat yang berkualiti dan yang boleh dibandingkan berkaitan prestasi karbon sesebuah syarikat secara pantas dan mudah daripada laporan kewangan tahunan atau laporan tanggungjawab korporat sesebuah syarikat. Tetapi kita tidak melihat hal tersebut hari ini.

"Sudah jelas kita memerlukan penambahbaikan dan garis panduan laporan global untuk karbon yang mungkin boleh membantu menangani masalah ini. Kita tidak sepatutnya menyerahkan sahaja kepada syarikat untuk cuba memikirkan penyelesaiannya; badan industri, pengawal selia, penetap piawaian, pelabur, dan yang lain-lain mempunyai peranan masing-masing."

Kajian KPMG dibuat berikutan satu usul baru-baru ini kepada G20 oleh Lembaga Kestabilan Kewangan untuk satu pasukan petugas bagi membangunkan pendedahan berkaitan iklim yang tekal bagi sesebuah syarikat untuk membantu pemberi pinjaman, syarikat insurans, pelabur dan pihak berkepentingan lain memahami risiko yang signifikan.1 Lembaga Pendedahan Piawaian Iklim (CDSB) juga telah memperkenalkan rangka kerja sukarela yang disasarkan untuk membantu syarikat-syarikat menyertakan maklumat iklim berkaitan pelabur dalam laporan kewangan aliran utama.2

Kajian KPMG itu melibatkan garis panduan tentang data, sasaran, dan komunikasi yang firma ahli KPMG percaya patut diikuti oleh syarikat semasa menerbitkan maklumat karbon dalam laporan kewangan tahunan dan laporan tanggungjawab korporat tahunan.

Para penyelidik KPMG telah mewujudkan satu kaedah pemarkahan berdasarkan garis panduan ini yang digunakan oleh mereka bagi menilai kualiti laporan daripada setiap 250 buah syarikat terbesar itu. Antara penemuan penting termasuk:

  • 1 daripada 5 syarikat besar dalam sektor karbon tinggi seperti perlombongan, pembinaan, dan bahan kimia tidak melaporkan tentang karbon dalam laporan kewangan tahunan atau laporan tanggungjawab korporat tahunan mereka
  • Syarikat-syarikat Eropah mempunyai kualiti pelaporan yang lebih tinggi berbanding syarikat-syarikat dari kawasan lain di dunia
  • Syarikat-syarikat daripada sektor pengangkutan & riadah menghasilkan pelaporan dengan kualiti tertinggi mengikut sektor, manakala syarikat-syarikat sektor minyak & gas memberi kualiti terendah
  • Hanya separuh daripada syarikat yang melaporkan tentang karbon dalam laporan kewangan tahunan atau laporan tanggungjawab korporat tahunan mereka menjelaskan bagaimana pengurangan karbon memberi manfaat kepada perniagaan mereka

Aliran global dalam laporan tanggungjawab korporat

Kaji Selidik KPMG untuk Laporan Tanggungjawab Korporat turut menyertakan pandangan tentang aliran global dalam laporan tanggungjawab korporat berdasarkan analisis laporan oleh 4,500 buah syarikat daripada 45 buah negara.

Ia menunjukkan kadar laporan tanggungjawab korporat kini adalah lebih tinggi di Asia Pasifik berbanding di Eropah atau negara-negara benua Amerika (79 peratus daripada syarikat di Asia Pasifik membuat laporan tentang tanggungjawab korporat).

Kadar laporan tanggungjawab korporat tertinggi kini didapati dalam negara-negara membangun seperti India, Indonesia, Malaysia, dan Afrika Selatan. Kadar tinggi ini sering didorong oleh pengawalseliaan, sama ada daripada kerajaan ataupun bursa saham.

Kajian itu juga menunjukkan yang memasukkan maklumat tanggungjawab korporat dalam laporan kewangan tahunan sudah menjadi amalan perniagaan yang standard – lebih separuh (56 peratus) daripada 4,500 buah syarikat yang dikaji berbuat demikian.

Butiran laporan

Kaji Selidik KPMG untuk Laporan Tanggungjawab Korporat kini memasuki edisinya yang ke-9 dan kali pertama diterbitkan pada tahun 1993. Kajian dijalankan oleh para profesional dalam firma ahli KPMG dan dibuat berdasarkan maklumat yang dihebahkan kepada awam yang diterbitkan oleh syarikat-syarikat dalam laporan tanggungjawab korporat, laporan kewangan tahunan, dan laman sesawang mereka.

Dalam edisi 2015 itu, sampel yang terdiri daripada 250 buah syarikat terbesar dunia dikumpul berdasarkan penyenaraian Fortune 500 tahun 2014.3 Aliran global dalam laporan tanggungjawab korporat dibuat berdasarkan kajian tentang pelaporan daripada 100 buah syarikat dengan hasil tertinggi dalam setiap satu daripada 45 buah negara itu.

Untuk maklumat lanjut dan untuk memuat turun salinan laporan, lawati www.kpmg.com/crreporting

LATAR BELAKANG KPMG INTERNATIONAL

KPMG merupakan rangkaian global firma profesional yang menyediakan khidmat audit, cukai, dan khidmat nasihat. Kami beroperasi di 155 buah negara dan mempunyai lebih 162,000 orang yang bekerja dalam firma ahli di seluruh dunia. Firma ahli bebas rangkaian KPMG bersekutu dengan KPMG International Cooperative ("KPMG International"), satu entiti Switzerland. Setiap firma KPMG adalah berbeza dan berasingan dari segi perundangan serta memerihalkannya secara sedemikian.

1 Sumber: http://www.financialstabilityboard.org/wp-content/uploads/Disclosure-task-force-on-climate-related-risks.pdf Diperoleh pada 17 November 2015
2 http://www.cdsb.net/what-we-do/reporting-frameworks/climate-change Diperoleh pada 19 November 2015
3http://fortune.com/global500/2014/

Untuk maklumat lanjut: Mark McKenzie, Pusat Kecemerlangan Perubahan Iklim & Kemampanan, KPMG International, +31 6 4676 1884 (telefon bimbit), mmckenzie@kpmg.com; Ellie Austin, Pusat Kecemerlangan Perubahan Iklim & Kemampanan, KPMG International, +44 7789 942159 (telefon bimbit), eleanor.austin@kpmg.co.uk

Source: KPMG International
Keywords: Environmental Products & Services Environmental Issues Survey, Polls & Research