omniture

SANS Bakal Anjur Pertandingan NetWars Pertama Asia Pasifik sempena Acara Latihan Secure Singapore 2016

SANS Institute
2016-01-19 13:00 168

SINGAPURA, 19 Jan. 2016 /PRNewswire/ -- SANS, peneraju global dalam perkhidmatan latihan keselamatan maklumat, hari ini mengumumkan Pertandingan NetWars yang bakal diadakan di Asia Pasifik (APAC). Pertandingan Netwars APAC yang pertama akan berlangsung bersempena acara latihan SANS Secure Singapore 2016 yang bakal diadakan pada 28 Mac – 9 April.

NetWars adalah satu lapang latihan siber yang dinamik, membolehkan peserta membina, berlatih, dan mengukur kebolehan mereka dalam pertahanan, analisis, dan kaedah serangan dunia sebenar. Pertandingan NetWars CORE adalah satu set cabaran keselamatan komputer dan rangkaian yang direka untuk menguji pengalaman serta kemahiran peserta dalam persekitaran yang selamat. Ia boleh diakses oleh pengguna dalam pelbagai tahap kemahiran selain dibahagikan kepada tahap yang berasingan supaya peserta yang lebih mahir boleh bergerak lebih pantas untuk maju daripada peringkat awal ke tahap kepakaran mereka.

Pertandingan NetWars akan mencakupi kemahiran berikut:

  • Penilaian Kerentanan
  • Analisis Paket
  • Ujian Penembusan
  • Pengukuhan Sistem
  • Analisis Perisian Hasad
  • Forensik Digital dan Gerak Balas Kejadian

"Pertandingan NetWars anjuran SANS adalah lebih daripada sekadar cabaran 'Menawan Bendera' – ia menjalankan penilaian secara masa nyata akan kebolehan peserta Keselamatan Siber ini dalam persekitaran yang penuh persaingan tetapi seronok untuk belajar," kata Suresh Mustapha, Pengarah Urusan SANS untuk rantau Asia Pasifik. "Kami teruja untuk menganjurkan Pertandingan NetWars Asia Pasifik pertama kami di Singapura dan berharap dapat mencari individu yang terbaik dalam rantau kita ini!"

SANS Secure Singapore 2016 akan menampilkan senarai kursus keselamatan maklumat SANS yang paling banyak dan menarik yang terkini untuk rantau APAC. Bidang Pertahanan Siber, Keselamatan ICS, Forensik Digital dan Audit IT akan dikelolakan oleh pihak fakulti SANS yang terbaik semasa Secure Singapore. Para hadirin boleh mengetahui tentang aktiviti serangan siber terbaharu dan belajar tentang apa yang boleh dilakukan untuk mencegah daripadanya serta mengurangkan kerosakan yang berlaku.

Pertandingan NetWars adalah percuma kepada semua pelawat yang berdaftar semasa Secure Singapore. Bagi mendapatkan maklumat tambahan tentang Pertandingan NetWars pada 9 April ini, senarai kursus, atau jika anda ingin mendaftarkan diri untuk SANS Secure Singapore, sila lawati: www.sans.org/u/c7T

Latar Belakang Institut SANS
Institut SANS ditubuhkan pada tahun 1989 sebagai sebuah organisasi kerjasama yang menjalankan aktiviti penyelidikan dan pendidikan. SANS adalah penyedia dipercayai dan setakat ini yang terbesar dalam latihan keselamatan siber dan pensijilan untuk para profesional daripada sektor kerajaan mahupun komersial di seluruh dunia. Tenaga pengajar SANS yang terkenal mengajar lebih 50 kursus yang berbeza di lebih 200 kelas latihan keselamatan siber secara langsung dan dalam talian. GIAC yang merupakan sekutu kepada Institut SANS menentusahkan kelayakan kakitangan melalui 30 pensijilan dalam keselamatan maklumat secara praktikal dan teknikal. Institut Teknologi SANS, sebuah anak syarikat bebas yang bertauliah di peringkat rantau menawarkan ijazah sarjana dalam bidang keselamatan siber. Selain itu, SANS menawarkan pelbagai maklumat percuma kepada komuniti InfoSec termasuk projek konsensus, laporan kajian, dan surat berita; ia juga mengendalikan sistem amaran awal untuk Internet – Internet Storm Center. Pada teras SANS, terdapat ramai pakar kesalamatan yang mewakili pelbagai organisasi global daripada syarikat dan universiti untuk bersama-sama berusaha membantu seluruh komuniti keselamatan maklumat. (www.SANS.org)

Source: SANS Institute
Related Links:
Keywords: Computer/Electronics Education High Tech Security Higher Education Internet Technology Not for profit