Usaha lima tahun akan melibatkan jenama coklat, gula-gula getah, konfeksi, makanan dan minuman.
MCLEAN, Virginia, 7 Feb., 2016 /PRNewswire/ -- Mars. Incorporated hari ini mengumumkan ia akan berhenti menggunakan semua pewarna tiruan dalam produk makanan manusianya sebagai sebahagian daripada komitmen mereka untuk memenuhi permintaan pengguna yang semakin meningkat.
Walaupun kebanyakan produk syarikat itu bebas daripada pewarna tiruan, dengan meluaskan skop komitmen mereka ke seluruh portfolio makanan manusianya, Mars kini berusaha untuk memperkasa dan memperluas komitmen penting itu. Produk daripada syarikat itu termasuk jenama coklat, gula-gula getah, konfeksi, makanan dan minuman akan terkesan daripada perubahan ini, yang bakal mengambil masa selama lebih lima tahun, secara berperingkat.
Pewarna tiruan masih belum dibuktikan membawa risiko kepada kesihatan atau keselamatan manusia, tetapi pengguna pada hari ini menggesa pengeluar makanan menggunakan bahan semula jadi dalam produk mereka. Hasil daripada kesedaran ini, Mars akan bekerjasama rapat dengan pihak pembekalnya untuk mencari alternatif yang bukan sahaja dapat memenuhi piawaian kualiti dan keselamatan yang ketat, malah turut mengekalkan warna yang menarik dan penuh kegirangan yang boleh diharapkan oleh pengguna daripada produk kegemaran syarikat itu.
"Kami menjalankan aktiviti perniagaan yang dapat memuaskan dan menggembirakan pengguna yang menggemari produk kami," kata Grant F. Reid, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Mars, Incorporated. "Usaha mengeluarkan semua pewarna tiruan daripada portfolio makanan manusia kami adalah satu tindakan yang drastik, dan memerlukan masa serta kerja keras untuk melaksanakannya. Pengguna kami adalah keutamaan kami dan kami mengambil berat akan mereka. Jika ini adalah langkah yang terbaik untuk mereka, ia adalah langkah yang terbaik untuk Mars."
Pada masa kini, Mars menggunakan pelbagai pewarna daripada bahan semula jadi dan tiruan dalam portfolio produk globalnya. Berdasarkan permintaan pengguna, kebolehsediaan bahan dan peraturan tempatan, sedikit perbezaan dalam rumusan serta produk mungkin terdapat dalam pasaran yang berbeza. Walau bagaimanapun, semua bahan yang digunakan oleh syarikat itu adalah selamat dan kesemuanya dihasilkan mengikut keperluan kualiti dan keselamatan Mars yang ketat serta peraturan yang digariskan oleh pihak kawal selia keselamatan makanan di seluruh dunia termasuk Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan A.S. (FDA) dan Lembaga Keselematan Makanan Eropah (EFSA).
Usaha untuk tidak lagi menggunakan semua pewarna tiruan daripada portfolio makanan manusia yang mengandungi lebih 50 jenama adalah satu cabaran yang rumit. Strategi Mars antaranya adalah bekerjasama dengan pihak pembekal untuk mengenal pasti bahan dan rumusan baharu yang menepati piawaian keselamatan serta kualiti, memenuhi semua keperluan perundangan dan kawal selia, selain mewujudkan satu saluran yang boleh diakses untuk mengumpulkan pandangan dan maklum balas daripada pelanggan sepanjang proses perumusan semula ini. Syarikat ini yakin proses menghasilkan pewarna alternatif, memastikan keselamatan dan kualiti, mendapatkan pengesahan kawal selia, serta memperkenalkan bahan baharu ke dalam seluruh portfolio makanan manusia mereka di seluruh dunia akan memakan masa kira-kira lima tahun.
Latar Belakang Mars, Incorporated
Mars, Incorporated adalah sebuah perniagaan swasta milik keluarga yang memiliki sejarah lebih seabad dan merupakan antara jenama paling digemari di dunia termasuk M&M'S®, PEDIGREE®, DOUBLEMINT® dan UNCLE BEN'S®. Beribu pejabat di McLean, VA, Mars mengaut lebih $33 bilion jualan daripada enam segmen perniagaannya yang pelbagai: Petcare, Chocolate, Wrigley, Food, Drinks dan Symbioscience. Lebih 80,000 Rakan Sekutu di 73 buah negara disatukan menerusi Lima Prinsip syarikat itu: Kualiti, Kecekapan, Tanggungjawab, Kesalingan dan Kebebasan, selain terus berusaha setiap hari untuk menjalin hubungan dengan pihak-pihak berkepentingan yang memacu pertumbuhan syarikat ini yang kami kagumi.
Untuk maklumat lanjut tentang Mars, Incorporated, sila lawati www.mars.com. Ikuti kami di Facebook, Twitter, LinkedIn dan YouTube.
Hubungi
Mars, Incorporated
Jonathan Mudd, (703) 821-4956
jonathan.mudd@effem.com