omniture

Sheikh Mohammed Bin Rashid Al Maktoum Lancar 'Dubai Wholesale City' yang bernilai AED30 Bilion - Hab Borong Terbesar di Dunia

Dubai Wholesale City
2016-03-02 23:54 313

DUBAI, UAE, 2 Mac 2016 /PRNewswire/ -- Yang Teramat Mulia Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum, Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE serta Pemerintah Dubai, mengesahkan UAE sedang menjalankan pelan strategik untuk mempelbagaikan ekonomi negaranya dan mengurangkan kebergantungan hasil daripada minyak. Baginda juga menekankan keunikan visi ekonomi UAE yang membolehkan kewujudan sektor ekonomi baharu yang menyumbang kepada pertumbuhan negara itu, walaupun ketika berusaha mengembangkan skop sektor konvensional bagi memastikannya selari dengan piawaian global.

(Gambar: http://photos.prnewswire.com/prnh/20160302/339556)

Semasa pelancaran itu, Baginda menekankan peranan perdagangan sebagai penyumbang penting untuk mengekalkan kejayaan ekonomi UAE, selain sebagai sektor penting untuk pembangunan masa depan. Baginda bertitah: "Lokasi strategik UAE, prasarana bertaraf dunia, dan institusi yang kukuh menjadikan negara itu paling sesuai untuk menerajui arus baharu dalam pertumbuhan perdagangan borong di peringkat antarabangsa."

Kenyataan Yang Teramat Mulia Sheikh Mohammed itu disampaikan semasa pelancaran rasmi 'Dubai Wholesale City', hab borong terbesar di dunia yang meliputi kawasan seluas 550 juta kaki persegi yang bakal dibangunkan dalam tempoh 10 tahun dengan anggaran kos sebanyak AED30 bilion. Pembangunan baharu itu akan membantu meningkatkan sumbangan UAE dalam sektor perdagangan borong dunia yang bernilai AS$4.3 trilion dan dijangka bertumbuh sehingga AS$4.9 trilion dalam tempoh lima tahun akan datang.

Hab global baharu itu akan menempatkan laman dagang berintegrasi khas dan kemudahan pameran dagang antarabangsa. Dubai Wholesale City juga akan menampilkan 'Country Pavilions' yang terdiri daripada pusat komersial dan pusat beli belah yang menawarkan produk dari pelbagai negara seperti India, Malaysia, Thailand, Turki, Australia, China, Korea Selatan, Jerman, Arab Saudi, Amerika Syarikat dan Amerika Selatan.

Hab itu juga akan menyediakan ciri-ciri komprehensif kepada pedagang borong termasuk prasarana termaju, jalan raya, gudang, kemudahan penyimpanan dan perkhidmatan sokongan, bagi memastikan kecekapan operasi yang tinggi serta kemudahan dalam berurus niaga. Selain itu, kemudahan pameran perniagaan-kepada-perniagaan akan menghimpunkan pembeli daripada kalangan pembekal seluruh dunia. Sejumlah besar aset akan disediakan sebagai perantara dalam perdagangan global dan menyediakan pelbagai pilihan perkhidmatan kepada pengeluar dan pedagang, dengan tujuan menjimatkan masa dan tenaga mereka.

Dubai Wholesale City akan menumpukan sektor strategik seperti makanan, bahan binaan, barangan elektrik, elektronik, perabot dan perhiasan, jentera, peralatan, kayu, kenderaan dan alat ganti, serta tekstil dan juga pakaian.

Ia juga akan menyediakan sebuah platform e-dagang yang terbesar untuk perdagangan borong di rantau itu dengan sasaran untuk menambah baik keupayaan UAE di pentas e-dagang global yang diunjurkan akan berkembang daripada AS$1.672 trilion kepada AS$2.941 trilion pada tahun 2018 dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul sebanyak 21%.

Jelas sekali, pasaran e-dagang UAE dijangka akan berkembang pada kadar sekali ganda berbanding sektor global. Menurut unjuran pasaran, e-dagang di UAE akan melonjak sehingga empat kali ganda daripada pasaran masa kini sehingga tiga tahun akan datang – diramalkan meningkat daripada nilai AS$2.5 bilion pada tahun 2015 kepada AS$10 bilion menjelang tahun 2018, dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul sebanyak 59%.

Kedudukan Dubai Wholesale City dengan pasaran utama yang menghubungkan tiga suku populasi dunia hanya berjarak tujuh jam penerbangan dan ini menjadikannya sesuai sebagai titik pertemuan antara timur dan barat, serta memainkan peranan sebagai faktor utama yang membezakannya daripada hab borong lain di seluruh dunia. Bandar baharu itu akan menerima manfaat daripada perkhidmatan logistik termaju Dubai dan lokasi strategiknya berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Al Maktoum dan Jebel Ali Port, dua gerbang utama laluan kargo global dan industri perkapalan.

Hubungi:
Ali Yaseen
APCO Worldwide
(m) +971-55-358-7422
ayaseen@apcoworldwide.com

SUMBER  Dubai Wholesale City

Source: Dubai Wholesale City
Keywords: Construction/Building Electronic Commerce Retail Economic news, trends, analysis