omniture

Fossil Group Bakal Lancar Peranti Boleh Pakai untuk Lapan Jenama di 40 Negara pada 2016

Fossil Group, Inc.
2016-03-15 19:00 265

Pendekatan Fesyen untuk Produk Elektronik Pengguna Meningkatkan Pilihan dan Penaiktarafan

BASEL, Switzerland, 15 Mac, 2016 /PRNewswire/ -- Chaps, Diesel, Emporio Armani, Fossil, kate spade new york, Michael Kors, Misfit dan Skagen, setiap satunya bakal melancarkan produk boleh pakai pada tahun 2016, seperti yang diumumkan oleh Fossil Group (NASDAQ: FOSL) hari ini dari ibu pejabat Eropah baharunya di Basel, Switzerland. Lebih 100 produk peranti boleh pakai – termasuk jam tangan dengan paparan digital dan tanpa paparan digital serta penjejak – bakal disediakan di 40 buah negara dalam lebih 20 bahasa pada Musim Percutian 2016. Kategori produk peranti boleh pakai yang ditawarkan berbeza mengikut jenama. Fossil Group akan menyokong peranti boleh pakai ini menerusi aplikasi unik yang berjenama untuk semua jenama, tiga kategori produk, dan dua sistem operasi. Pelancaran tahun 2016 adalah sebahagian daripada usaha syarikat untuk memberi tumpuan kepada fesyen, inovasi serta menambah pelbagai produk untuk industri peranti boleh pakai ini.

"Salah satu kelebihan yang ketara dalam sebuah syarikat fesyen berbanding pengeluar barangan elektronik pengguna tradisional ialah kitaran produk kami. Kami memperlihatkan kepantasan luar biasa dalam memasarkan produk, daripada proses pembangunan kepada pelancaran, agar dapat menepati tenggat produk baharu yang bermusim dalam industri jualan," kata Greg McKelvey, ketua pegawai strategi dan digital, Fossil Group. "Industri ini agak ketinggalan dalam memenuhi selera pengguna yang meningkat terhadap gaya dan pilihan baharu peranti boleh pakai. Dengan pelbagai jenama fesyen utama yang kami tawarkan, pelanggan bakal rambang mata dengan gaya dan pilihan yang banyak tersedia apabila mereka memilih peranti boleh pakai yang sesuai dengan gaya peribadi mereka."

Dengan tarikan penampilan, gaya dan fesyen jam tangan tradisional, jam tangan paparan digital serta jam tangan tanpa paparan digital Fossil Group memanfaatkan kebolehan utama syarikat dalam menghasilkan jam tangan yang menarik dan berkualiti.

Sejak mengambil alih Misfit pada bulan November 2015, Fossil Group telah meningkatkan keupayaan pembangunan dan penghasilan teknologi bagi menyokong peranti boleh pakai. Platform teknologi bagi produk peranti boleh pakai syarikat ini termasuklah teknologi pengurusan kuasa proprietari yang membolehkan jam tangan tanpa paparan digital dan penjejak yang dikuasakan oleh sel bateri bersaiz duit syiling disediakan ke dalam seluruh platform jenama Fossil Group. Tanpa perlu mengecas setiap hari, setiap minggu, mahupun setiap bulan, fungsi pada peranti baharu ini sama seperti jam tangan tradisional dan aksesori gaya hidup berbanding produk elektronik pengguna biasa yang perlu diselenggara setiap hari.

Seiring dengan kemajuan teknologi serta keupayaan penyelidikan dan pembangunan milik Fossil Group, syarikat ini meneruskan perkongsian mantap bersama rakan kongsi teknologi pihak ketiga, termasuk Google dan platform Android Wear™, bagi melaksanakan strategi jangka pendek dan jangka panjang peranti boleh pakai.

Minggu ini, Fossil Group akan mempamerkan produk Musim Luruh – termasuk peranti boleh pakai, jam tangan, barangan kemas, barangan kulit dan lain-lain aksesori – kepada rakan niaga dan media di ibu pejabat baharu Eropah di Basel, Switzerland, sempena pameran tahunan pasaran Baselworld untuk industri jam tangan dan barangan kemas dunia.

Fossil Group sudah menjadi anggota dalam komuniti pembuatan jam tangan Switzerland sejak tahun 2002. Di ibu pejabat Eropahnya di Basel, pusat reka bentuk, pembangunan dan pemprototaipan di Biel, kemudahan pengeluaran jam tangan di Manno, Ticino serta pusat pengeluaran muka jam dan komponen jam tangan di Glovelier, Jura, syarikat tersebut menggajikan kira-kira 500 anggota kakitangan korporat di Switzerland. Selain itu, Yayasan Fossil yang digerakkan oleh pekerja membantu lebih 45 pertubuhan bukan berasaskan keuntungan di Eropah, Timur Tengah dan Afrika.

Kemudahan baharunya di Basel seluas 108,000 kaki persegi dan setinggi tujuh tingkat dibina dengan seni bina geometri gaya moden. Bilik pameran jenama setinggi tiga tingkat menyediakan pengalaman jenama yang imersif, untuk setiap 17 jenama milik syarikat dan jenama dilesenkan, serta sebuah auditorium yang luas selain ruang acara yang menyajikan pemandangan bandar Switzerland yang indah kepada kakitangan dan pengunjung.

Latar Belakang Fossil Group, Inc.

Fossil Group, Inc. ialah sebuah syarikat reka bentuk, pemasaran dan pengedaran global yang mengkhusus dalam bidang gaya hidup pengguna serta aksesori fesyen. Produk utama Syarikat ini termasuk pelbagai pilihan jam tangan berfesyen untuk lelaki dan wanita, serta barangan kemas yang dijual menerusi pelbagai portfolio jenama proprietari dan jenama dilesenkan, beg tangan, barangan kulit bersaiz kecil serta aksesori. Produk Syarikat ini dijual di gedung membeli belah, butik khas, butik khas jam tangan dan barangan kemas di A.S. dan kira-kira di 150 buah negara seluruh dunia melalui 23 anak syarikat asing yang dimiliki oleh Syarikat ini dan rangkaian yang terdiri daripada kira-kira 75 pengedar bebas. Syarikat ini juga mengedarkan produknya di lebih 600 gedung milik Syarikat dan gedung jualan yang dikendalikan oleh Syarikat, melalui laman sesawang e-dagang antarabangsa serta laman sesawang e-dagang A.S. milik Syarikat melalui www.fossil.com. Beberapa siaran media dan maklumat tentang pemfailan SEC berkaitan Syarikat boleh didapati di www.fossilgroup.com.

Source: Fossil Group, Inc.
Related Stocks:
NASDAQ:FOSL
Keywords: Consumer Electronics Fashion Jewelry Retail New products/services