omniture

Inisiatif Breakthrough Listen Bernilai $100 Juta Berkongsi Data Secara Terbuka daripada Carian Kehidupan Pintar yang Belum Pernah Berlaku di Angkasa

Breakthrough Initiatives
2016-04-14 09:49 109

'Cahaya pertama' untuk teleskop berangkaian yang meneliti setiap lapisan langit; Usaha pencarian lebih menyeluruh diumumkan beberapa bulan akan datang; Data sumber terbuka sedia dimuat turun melalui laman sesawang Inisiatif Breakthrough

SAN FRANCISCO, 14 April 2016 /PRNewswire/ -- Breakthrough Listen – inisiatif bernilai $100 juta bagi mencari tanda-tanda kewujudan kehidupan pintar di alam semesta – bakal menyiarkan set data awal cerapan kepada dunia, seperti yang diumumkan oleh Inisiatif Breakthrough hari ini.

Bulan Januari 2016 menyaksikan 'cahaya pertama' dalam inisiatif Breakthrough Listen, dengan pencerapan yang dibuat menandakan bermulanya usaha selama 10 tahun seperti yang diumumkan pada Julai 2015 di Persatuan Diraja London oleh Yuri Milner, Stephen Hawking, Lord Martin Rees, Ann Druyan, dan Frank Drake. Beratus-ratus jam pencerapan dibuat menggunakan Teleskop Radio Green Bank di Virginia Barat dan melalui Alat Pencari Planet Automatik, Balai Cerap Lick di Gunung Hamilton, California.

Breakthrough Listen pada hari ini akan menyiarkan kumpulan data pertama yang boleh diakses oleh golongan awam melalui laman sesawang Inisiatif Breakthrough (www.breakthroughinitiatives.org). Data daripada Teleskop Green Bank itu turut disediakan untuk pengguna perisian SETI@home UC Berkeley.

Usaha pencerapan yang dibuat setakat ini oleh Breakthrough Listen melibatkan kebanyakan bintang dalam jarak 16 tahun cahaya dari Bumi (termasuk bintang seperti 51 Pegasi yang terkenal sebagai hos planet ekstra suria) dan juga sampel bintang dalam jarak antara 16 hingga 160 tahun cahaya. Ini termasuk bintang seakan-akan matahari dan bintang gergasi berdekatan selain pelbagai jenis bintang binari. Carian itu juga menyasarkan sekitar 40 galaksi pillin terdekat, termasuk ahli Maffei Group ke arah buruj Cassiopeia. Bintang-bintang yang terletak dalam jarak 16 tahun cahaya boleh dilihat hanya dari Hemisfera Selatan seperti Alpha Centauri yang akan dipantau menjelang akhir tahun ini menggunakan Teleskop Parkes.

Rancangan Pencerapan bagi tahun ini untuk ketiga-tiga teleskop tersebut telah disiarkan dan boleh didapati melalui www.breakthroughinitiatives.org. Pencerapan yang dirancang termasuk:

1. Teleskop Radio Green Bank

Carian paling mendalam di dunia terhadap isyarat tiruan dalam lima sampel utama (Hemisfera Utara)

  • Kesemua 43 bintang dalam 5 parsek, pada 1-15 GHz. Tinjauan SETI lengkap yang pertama dalam 5 parsek. Sensitif terhadap tahap transmisi radio "kebocoran Bumi".
  • 1000 bintang daripada semua jenis berspektrum (OBAFGKM). Dalam 50 parsek. 1-15 GHz.
  • Satu Juta Bintang Berdekatan. Pada tahun 2016, 5,000 bintang pertama; 1 minit pendedahan (1-15 GHz)
  • Pusat bagi 100 galaksi berdekatan: pilin, elips, kerdil, tidak tetap (1-15 GHz)
  • Bintang Eksotik: 20 Kerdil Putih, 20 bintang Neutron, 20 lubang hitam

2. Teleskop Radio Parkes

Carian paling mendalam di dunia terhadap isyarat tiruan dalam enam sampel utama (Hemisfera Selatan):

  • Kesemua 43 bintang (keserongan selatan) dalam 5 parsek, pada 1-15 GHz. Tinjauan SETI lengkap yang pertama dalam 5 parsek. Sensitif terhadap tahap transmisi radio "kebocoran Bumi".
  • 1000 bintang (selatan) daripada semua jenis berspektrum (OBAFGKM). Dalam 50 parsek. (1-4 GHz.)
  • Satu Juta Bintang Berdekatan (selatan). Pada tahun 2016-2017, 5,000 bintang pertama; 1 minit pendedahan (1-4 GHz)
  • Satah dan Pusat galaksi (1-4 GHz)
  • Pusat bagi 100 galaksi berdekatan (keserongan selatan): pilin, elips, kerdil, tidak tetap (1-4 GHz)
  • Eksotika: 20 Kerdil Putih, 20 bintang Neutron, 20 lubang hitam

3. Alat Pencari Planet Automatik: Spektroskopi Optik SETI

Sasaran tersebut amat sepadan dengan carian radio BL Green Bank, dengan pelarasan kecil dibuat disebabkan medan pandangan APF yang lebih kecil. Sasaran tersebut ialah:

  • Kesemua 43 bintang dalam 5 parsek yang boleh dilihat pada APF (keserongan utara -20 darjah)
  • 1000 bintang berdekatan daripada semua jenis berspektrum, jujukan utama dan gergasi OBAFGKM
  • 100 galaksi terdekat (pusat, keserongan utama = -20 darjah)

"Breakthrough Listen dengan rasminya berada di udara dan meninjau langit bagi mencari tanda-tanda kehidupan pintar," kata Milner. "Ini ialah satu usaha yang komprehensif, terhasil daripada kemajuan saintifik dan teknologi yang luar biasa yang pernah kita saksikan sejak memulakan usaha yang serupa ini. Kini, kami menyertai rakan-rakan kami yang inovatif dan meminta orang ramai dari seluruh dunia menyemak data terkumpul kami dan meneroka Alam Semesta ini bersama kami."

"Breakthrough Listen kini sudah bermula," kata Pete Worden, Pengarah Eksekutif Inisiatif Breakthrough. "Buat pertama kali, kami bakal memperoleh carian SETI yang menyeluruh daripada kawasan kejiranan galaksi kami. Sama penting, orang awam dan pakar-pakar dari seluruh dunia boleh mendapatkan data tersebut dan membantu menentukan sama ada kita bersendirian."

 "Breakthrough Listen ialah satu kemajuan dalam kemampuan kami untuk meninjau langit secara sistematik bagi mendapatkan bukti kewujudan kehidupan pintar selain di Bumi," kata Andrew Siemion, Pengarah Pusat Penyelidikan SETI Berkeley. "Ketika keupayaan pemprosesan kami terus berkembang maju beberapa bulan akan datang berserta data tambahan yang kami siarkan, peluang bagi penemuan ini akan meningkat mendadak."

Data daripada teleskop yang dimuat naik ke laman sesawang Inisiatif Breakthrough (www.breakthroughinitiatives.org) diindekskan mengikut tarikh rakaman, nama objek dan parameter lain. Para saintis dan mereka yang berkemahiran dalam sains komputer boleh menganalisis data asal daripada teleskop tersebut dan menghasilkan aplikasi mereka sendiri bagi mengendalikan set data yang amat besar dan pelbagai ini. Sesiapa sahaja yang memiliki komputer atau telefon pintar boleh membantu memproses data Breakthrough Listen menggunakan perisian pengkomputeran sukarelawan SETI@home (http://seti.berkeley.edu/participate). University of California, Berkeley kini menghasilkan bahan-bahan kurikulum untuk teleskop, instrumen dan data Breakthrough Listen (http://seti.berkeley.edu/listen).

Breakthrough Listen akan memperoleh data dalam tempoh 10 tahun daripada rangkaian teleskop radio dan optik paling hebat di dunia bagi menghasilkan pencerapan isyarat yang luas dan melibatkan seluruh langit. Ia akan mengumpul lebih banyak data dalam masa satu hari berbanding yang pernah dikumpul sebelum ini dalam tempoh satu tahun. Kapasiti carian adalah 50 kali lebih peka, meliputi 10 kali ruang langit yang lebih luas, 5 kali ganda spektrum radio serta kelajuan yang 100 kali lebih pantas.

Teleskop Green Bank
Pada bulan Oktober, instrumentasi digital lebar jalur 1.5 GHz telah dipasang pada Teleskop Green Bank. Ciri naik taraf ini dijangka menggandakan lebar jalur sistem Green Bank sebelumnya. Sistem yang dipertingkat ini turut menggandakan jumlah ruang simpanan yang tersedia di Balai Cerap Green Bank.

Balai Cerap Lick
Alat Pencari Planet Automatik Balai Cerap Lick telah memulakan proses pencerapan robotiknya terhadap bintang berdekatan yang membebaskan cahaya laser daripada isyarat teknologi yang mungkin wujud di luar Bumi. Teleskop tersebut memantau 130 bintang dan kesemua data asal disediakan dalam arkib dalam talian.

Teleskop Radio Parkes
Teleskop Radio Parkes yang berada di Parkes, Australia, terkenal kerana fungsinya dalam transmisi televisyen siaran langsung yang dipancarkan ke bumi semasa pendaratan ke bulan oleh Apollo 11, akan turut menyertai Teleskop Green Bank dan Alat Pencari Planet Automatik Lick pada bulan Oktober 2016. Memandangkan GBT fokus terhadap pencerapan mendalam dan khusus terhadap sasaran yang jelas, Parkes akan menjalankan carian yang lebih besar terhadap kawasan langit yang luas. Perkakas pemprosesan isyarat untuk ujian validasi kejuruteraan digunakan di Parkes pada bulan Februari. Data terhad direkodkan untuk tujuan ujikaji.

SETI@Home
SETI@home telah beroperasi secara berterusan sejak tahun 1999 dan menarik minat jutaan peserta pada waktu itu. Para sukarelawan boleh mendaftar untuk turut serta dengan melayari http://seti.berkeley.edu/participate. Pengguna perisian yang percuma ini menyumbang kuasa pemprosesan komputer mereka untuk membantu menganalisis sejumlah besar data yang dikumpul menerusi carian astronomi terhadap kewujudan kehidupan pintar.

Selain data yang diperoleh daripada Teleskop Green Bank, lebih sekali ganda data daripada kawasan langit kini tersedia untuk para sukarelawan SETI@home. Permulaan usaha pencerapan di Balai Cerap Parkes pada bulan Oktober ini akan memberikan sukarelawan akses kepada seluruh langit. Ketika inisiatif Breakthrough Listen memperluas skop carian secara mendadak, masyarakat awam serta mereka yang tidak mempunyai kemahiran teknikal boleh turut serta dalam inisiatif yang mengujakan ini ketika kami berusaha mencari jawapan bagi persoalan: Adakah kita bersendirian di Alam Semesta ini?

Barisan Kepimpinan Projek 

  • Martin Rees, Ahli Astronomi Diraja, Fellow Trinity College; Profesor Emeritus Kosmologi dan Astrofizik, University of Cambridge.
  • Pete Worden, Pengerusi, Yayasan Anugerah Breakthrough.
  • Frank Drake, Pengerusi Emeritus, Institut SETI; Profesor Emeritus Astronomi dan Astrofizik, University of California, Santa Cruz; Pengarah, Pusat Astronomi dan Ionosfera Kebangsaan; Mantan Profesor Astronomi Goldwin Smith, Cornell University.
  • Dan Werthimer, Pengasas bersama dan ketua saintis projek SETI@home; pengarah SERENDIP; penyelidik utama CASPER.
  • Andrew Siemion, Pengarah, Pusat Penyelidikan SETI Berkeley.
Source: Breakthrough Initiatives
Keywords: Computer Networks Computer Software Education Higher Education Publishing/Information Service Not for profit Survey, Polls & Research