SINGAPURA, Feb 6, 2013 /PRNewswire/ -- Ibu-ibu yang melahirkan bayi di Pusat Perubatan Thomson (TMC) akan merasa lebih selamat dengan pelancaran penyelesaian pengetagan bayi. Penyelesaian Keselamatan Bayi Cadi SmartSense (Generasi kedua) yang menggunakan teknologi RFID (pengenalan frekuensi radio) memastikan setiap bayi dan ibu dipadankan dengan tepat pada sepanjang tempoh mereka berada di hospital selepas kelahiran bayi.
Penggunaan sistem tag ini memakaikan ibu dan bayi dengan tag yang telah dipadankan terlebih dahulu dengan jalur hipo-alergenik setibanya mereka di wad bersalin. Tag ini digunakan di samping tag manual yang biasa dipakai oleh ibu dan anak di wad bersalin setelah kelahiran bayi. Si ibu dipakaikan tag pada pergelangan tangan manakala si bayi pada pergelangan kaki. Apabila bayi dibawa kepada ibunya, tag ibu akan membuat pengesahan automatik bayi melalui pancaran cahaya hijau dan mengeluarkan bunyi yang menyenangkan apabila kedua-dua tag tersebut dipadankan. Jika ia tidak sepadan, cahaya merah akan mengerdip pada tag si ibu dan suatu bunyi amaran akan menggera ibu dan jururawat di wad tersebut.
Tag bayi tersebut adalah kalis bega dan satu bunyi amaran akan kedengaran jika individu yang tidak berkenaan cuba menanggalkannya. Tag bayi juga mempunyai ciri pengesanan kulit yang akan mengeluarkan bunyi satu amaran bila mana tag itu longgar. Ciri ini merupakan ciri penting kerana bayi lazimnya hilang berat badan selepas beberapa hari dilahirkan.
Ibu bapa juga boleh menekan butang pada tag ibu pada bila-bila masa bagi memastikan pemadanan bayi yang betul. Ciri "atas permintaan" ini membantu mengurangkan kebimbangan ibu bapa kerana mereka boleh mengesahkan bahawa bayi yang berada di samping mereka adalah anak mereka..TMC merupakan hospital bersalin pertama di Singapura yang menggunakan sistem tag dengan ciri sebegini.
Tambahan pula, sistem ini membolehkan kakitangan hospital mengesan lokasi ibu dan bayi pada bila-bila masa. Skrin komputer yang terpasang di semua pusat penjagaan kanak-kanak menunjukkan lokasi masa sebenar tag setiap ibu dan bayi, di samping maklumat peribadi dan nombor katil si ibu. Penggera akan berbunyi jika wujud ketidaksepadanan ibu dan bayi, penanggalan tag tanpa kebenaran atau pengubahan tag bayi.
Apabila ibu dan bayi siap siaga untuk keluar dari hospital, jururawat wad akan memastikan kedua-dua tag adalah sepadan sebelum ia ditanggalkan. Ibu bapa kini boleh meninggalkan hospital dengan jaminan bahawa mereka membawa pulang bayi mereka yang sebenar.
"Sebagai penyedia penjagaan kesihatan ulung bagi wanita dan kanak-kanak di Singapura, menjamin kesihatan dan keselamatan pesakit adalah keutamaan kami. Kami sentiasa mencari kaedah baru untuk menyediakan perkhidmatan inovatif yang unik, relevan dan bersepadu bagi manfaat pesakit dan keluarga mereka. Kami telah meneroka sistem tag bayi selama lebih setahun setelah menerima sokongan dana daripada SPRING Singapura. Kami gembira bekerjasama dengan Cadi Scientific bagi melaksanakan penyelesaian ini. Kami percaya sistem tag ini bukan sahaja memberikan ibu baru ketenangan fikiran tetapi juga meningkatkan keseluruhan pengalaman menyambut kelahiran di TMC," kata puan Mega Shuen, Pengurus Besar TMC.
"Kami membangunkan generasi kedua Penyelesaian Keselamatan Bayi Cadi SmartSense sebagai jawapan kepada permintaan kakitangan hospital yang telah mencuba kaedah lain sebelum ini. Generasi kedua ini memiliki ciri-ciri "atas permintaan", tag lebih kecil dan selesa, papan pemuka berasaskan laman web yang mesra pengguna dan bateri yang boleh diganti bagi menjimatkan kos. Kami yakin sistem generasi baru ini akan meningkatkan lagi pengalaman dan penjagaan pesakit serta meningkatkan kecekapan kakitangan hospital," kata Dr Zenton Goh, Ketua Pegawai Eksekutif Cadi Scientific.
Mengenai Cadi Scientific.
Ditubuhkan pada 2003,Cadi Scientific adalah syarikat teknologi penjagaan kesihatan yang berpangkalan di Singapura, yang membangunkan pengesan tanpa wayar dan alat penjejak bagi sektor jagaan kesihatan. Produk utama syarikat, Cadi SmartSense EnterpriseTM adalah platfom RFID tanpa wayar penjagaan kesihatan yang unggul bagi hospital-hospital yang membolehkan penjejakan lokasi dan pemantauan pesakit secara automatik. Cadi Scientific juga membangunkan dan memasarkan produk jagaan kesihatan yang teguh dan senang digunakan untuk pasaran pengguna. http://www.cadi.com.sg/
Mengenai Thomson Medical Pte Ltd
Diperbadankan dalam tahun 1977, Thomson Medical adalah penyedia penjagaan kesihatan bagi wanita dan kanak-kanak yang utama di Singapura. Ia memiliki dan mengendalikan Pusat Perubatan Thomson, sebuah hospital bersepadu yang menyediakan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan obstetrik dan ginekologi (O & G) serta perkhidmatan pediatrik yang lengkap . Thomson Medical juga mengendalikan satu rangkaian klinik wanita di seluruh pulau ini, di samping pusat pakar bagi kulit, gigi, kesuburan, gaya hidup, kanser wanita, pediatrik dan perubatan Cina.