Rentetan daripada isu Kertas Panama, Syarikat Kini Boleh Mendedahkan Secara Terbuka dan Mengakses Pemunyaan Benefisial bagi Menjamin Ketelusan yang Dipertingkat, Usaha Wajar yang Lebih Pantas
ANNAPOLIS, Maryland, 26 Mei 2016 /PRNewswire/ -- TRACE International, peneraju dunia dalam mempertingkat ketelusan komersial dan meningkatkan piawaian pematuhan antirasuah, hari ini melancarkan TRACEpublic, iaitu pendaftaran pemunyaan benefisial global pertama. Diwujudkan sebagai respons langsung terhadap risiko yang ditanggung oleh pemunyaan syarikat secara rahsia, yang ditekankan oleh Kertas Panama, TRACEpublic membolehkan syarikat-syarikat memberikan maklumat pemunyaan mereka secara sukarela dan terbuka sebagai cara untuk mempertingkat tahap ketelusan korporat selain memudahkan usaha wajar yang bermanfaat. Walaupun usaha mengenal pasti pemunya benefisial bagi perantara pihak ketiga, rakan usaha sama, pengedar, pembekal dan agen adalah keperluan asas usaha wajar, bagi kebanyakan negara, maklumat ini sukar diperoleh. Gesaan untuk menggalakkan proses ketelusan yang lebih baik dan pendedahan secara sepenuhnya menekankan keperluan terhadap pendaftaran pemunyaan benefisial global.
"TRACE telah mengumpulkan maklumat pemunyaan benefisial sebagai sebahagian daripada proses usaha wajar kami sejak 15 tahun lalu," kata Alexandra Wrage, presiden dan pengasas TRACE International. "Setelah berlakunya pendedahan menerusi Kertas Panama, kami menyedari bahawa kami perlu memberikan satu cara untuk syarikat-syarikat agar dapat menyediakan maklumat ini kepada orang awam, jika mereka memilih untuk melakukannya. Walaupun terdapat beberapa buah negara yang berusaha menyediakan daftar negara mereka sendiri atau menyokong usaha bagi mewujudkan daftar tersebut, TRACEpublic ialah satu-satunya badan daftar global yang membolehkan syarikat-syarikat mengelakkan syarikat mereka menerima stigma berkaitan syarikat-syarikat rahsia dengan sukarela. Ia turut menyediakan titik permulaan bagi usaha wajar kepada syarikat-syarikat multinasional."
TRACEpublic ialah penyelesaian yang tepat pada masanya terhadap gelombang kebimbangan yang timbul pada masa kini iaitu syarikat-syarikat sering tidak mengenal pasti dan mendokumentasikan 100% berkaitan semua pemilik benefisial kepada pihak ketiga bagi menentukan risiko perundangan dan reputasi yang mungkin terhasil. Pendaftaran ini diwujudkan bagi mengumpul dan menyediakan maklumat yang boleh dicapai oleh orang awam berkaitan data pemunyaan benefisial berpuluh-puluh ribu syarikat di seluruh dunia. Syarikat-syarikat boleh menyenaraikan pemunyaan benefisial mereka atau mencari pangkalan data secara percuma. Pengguna hanya memerlukan nama syarikat atau seorang pemilik syarikat bagi membuat pencarian.
Pemunya benefisial ialah mana-mana individu atau entiti yang memperoleh faedah dengan memiliki aset, tanpa mengira nama pemilik perniagaan, hartanah atau sekuriti yang disenaraikan. Proses menyembunyikan, menyamar dan memberi gambaran yang salah terhadap struktur pemunyaan benefisial sesebuah syarikat ialah amalan biasa yang dibuat oleh syarikat-syarikat yang terlibat dalam aktiviti perniagaan haram, termasuk rasuah, pengelakan cukai, penyelewengan dan penggubahan wang haram. Semakin banyak kerajaan di seluruh dunia, termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom dan Denmark menghendaki syarikat-syarikat mendedahkan pemunya benefisial ketika memperbadankan syarikat dan menghalang penggunaan syarikat tanpa nama. TRACEpublic menyediakan sebuah platform kepada syarikat-syarikat untuk berkongsi maklumat pemunyaan benefisial mereka secara sukarela tanpa mengira negara ibu pejabatnya. Maklumat yang didedahkan termasuk: nama entiti yang sah, nama lazim jika berbeza, laman sesawang syarikat, jenis entiti, bandar, negara ibu pejabat syarikat, maklumat pemunyaan termasuk peratusan dan tarikh maklumat pemunyaan kali terakhir dikemas kini. Syarikat-syarikat perlu menyediakan 100% pemunyaan benefisial.
Syarikat-syarikat yang menjalankan atau bercadang untuk menjalankan perniagaan dengan syarikat swasta, perkongsian atau pemilikan tunggal boleh memulakan usaha wajar terhadap entiti perniagaan yang terlibat setelah mengenal pasti pemunya benefisial entiti ini melalui TRACEpublic.
Sebarang maklumat lanjut tentang TRACEpublic atau untuk mendaftarkan perniagaan, sila ke https://tpms.traceinternational.org/TRACEpublic.
Latar Belakang TRACE
TRACE International dan TRACE Incorporated ialah dua entiti berbeza yang mempunyai tujuan yang sama iaitu untuk meningkatkan ketelusan komersial di seluruh dunia dengan menyokong usaha pematuhan syarikat multinasional dan perantara pihak ketiga mereka. TRACE International ialah sebuah persatuan perniagaan bukan berasaskan keuntungan yang mengumpul maklumat bagi menyediakan sokongan pematuhan antirasuh kepada ahli-ahli persatuan, manakala TRACE Incorporated menawarkan usaha wajar berasaskan risiko yang boleh disuaikan, latihan antirasuah dan khidmat nasihat kepada ahli dan bukan ahli. Dengan menjalin kerjasama antara satu sama lain, TRACE International dan TRACE Incorporated menawarkan penyelesaian yang menyeluruh, berkesan kos dan inovatif berkaitan antirasuah serta pematuhan pihak ketiga. Sebarang maklumat lanjut, sila layari www.TRACEinternational.org.