Salah satu negara ekonomi terbesar di Amerika Latin kekalkan momentum pertumbuhan dengan menyertai Better Than Cash Alliance Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi mendorong ekonomi kewangan yang inklusif
BANDAR RAYA MEXICO dan NEW YORK, 27 Jun 2016 /PRNewswire/ -- Kerajaan Mexico kini memanfaatkan kejayaan pertumbuhan ekonomi negaranya dan dasar rangkuman kewangan baharu dengan berikrar untuk meningkatkan keupayaan rakyat, syarikat dan kerajaan membuat serta menerima pembayaran digital. Dengan menyertai Better Than Cash Alliance daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Mexico akan mendorong pertumbuhan yang inklusif, memperkasa golongan wanita dan mengembangkan KDNK negara.
Logo - http://photos.prnewswire.com/prnh/20120919/CG77018LOGO
Pengumuman ini dibuat sejurus selepas Kerajaan Mexico memperkenalkan Dasar Rangkuman Kewangan Negara yang melibatkan gesaan untuk negara ini menggunakan inovasi teknologi ke arah rangkuman kewangan dan mengurangkan penggunaan tunai.
Kaedah pembayaran digital yang sedia ada kini sudahpun mengembangkan KDNK Mexico kepada kira-kira $8 bilion antara tahun 2011 dan 2015, menurut laporan Analitik Moody yang terkini. Ini menunjukkan terdapat potensi yang besar bagi mencapai pertumbuhan yang lebih hebat. Kajian yang dijalankan oleh Better Than Cash Alliance itu juga mendapati dengan mendigitkan kaedah pembayaran tunai, Kerajaan Mexico dapat menjimatkan sekitar US$1.3 bilion setahun.
Pengumuman oleh Kerajaan Mexico untuk menggiatkan usaha peralihan daripada pembayaran tunai dibuat ketika fasa pertumbuhan yang lebih lembap di kawasan Amerika Latin secara keseluruhannya. Walaupun ekonomi Mexico terkecuali dan terus berkembang, hanya 44 peratus golongan dewasa melebihi usia 18 tahun memiliki akaun bank di Mexico, menurut kaji selidik Kerajaan yang dijalankan baru-baru ini terhadap rangkuman kewangan (ENIF, 2015). Walau bagaimanapun, terdapat seramai 120 juta penduduk di negara ini manakala lebih 107 juta penduduk memiliki telefon bimbit dan ini menunjukkan pembayaran digital mudah alih bakal menjadi instrumen penting dalam usaha meningkatkan rangkuman kewangan.
"Kita mempunyai peluang amat besar untuk mengusahakan rangkuman kewangan yang perlu kita ambil bagi meneruskan momentum Dasar Rangkuman Kewangan Negara yang baharu," kata Luis Videgaray Caso, Menteri Kewangan dan Kredit Awam, Mexico. "Penyepaduan teknologi pembayaran digital terhadap seluruh agensi Kerajaan menjadi faktor utama usaha ini dan kelebihan lain seperti kecekapan dan penjimatan kos sama sekali tidak boleh dipandang ringan. Komitmen baharu terhadap Better Than Cash Alliance ini, yang membantu melaksanakan Dasar Rangkuman Kewangan Negara dan Strategi Digital Negara kami akan membantu meningkatkan kualiti kehidupan semua rakyat kami dan menyumbang ke arah pertumbuhan ekonomi yang inklusif. "
Pada tahun 2013, Kerajaan Mexico melancarkan Strategi Digital Negara, "Digital México" yang melibatkan objektif untuk memperkenalkan ekonomi digital. Sejak itu, langkah-langkah yang diambil oleh pihak Kerajaan untuk beralih daripada kaedah tunai, menyediakan asas yang kukuh untuk terus berkembang. Jumlah urus niaga pembayaran digital menerusi Akaun Tunggal Perbendaharaan Kerajaan meningkat daripada 69 juta pada tahun 2013 menjadi 116 juta pada tahun 2015. Pengumuman keahlian yang dibuat hari ini merupakan langkah yang kukuh bagi meneruskan usaha membangunkan ekonomi digital yang mantap yang membolehkan setiap individu membuat dan menerima bayaran elektronik dengan mudah.
"Ketika Mexico memegang jawatan Presiden G20 pada tahun 2012, pihak Kerajaan mengutamakan isu rangkuman kewangan dalam agenda globalnya," kata Dr. Ruth Goodwin-Groen, Pengarah Urusan Better Than Cash Alliance. "Negara ini telah sekian lama dikenali dengan hasil inovasinya dalam memacu usaha rangkuman kewangan. Kini, Mexico mengambil satu lagi langkah berani dengan melaksanakan Dasar Rangkuman Kewangan baharu bagi mengubah cara orang ramai membuat pembayaran, menggesa berjuta-juta penduduknya untuk terlibat dalam ekonomi kewangan digital yang inklusif, seterusnya membawa banyak kebaikan lain buat negara."
Latar Belakang Better Than Cash Alliance
Better Than Cash Alliance ialah satu kerjasama antara kerajaan, syarikat dan organisasi antarabangsa yang mempercepatkan usaha peralihan daripada pembayaran tunai kepada digital bagi membasmi kemiskinan dan mendorong pertumbuhan yang inklusif. Kumpulan Wang Pembangunan Modal Bangsa-Bangsa Bersatu berperanan sebagai sekretariat. Untuk mengetahui lebih lanjut, layari www.betterthancash.org, ikuti @BetterThan_Cash dan langgan bagi mendapatkan berita.http://betterthancash.org/sign-up/