omniture

Perkongsian Inovatif Mengurangkan Kos Implan Pencegah Kehamilan Bayer yang Tahan Lama dan Boleh Berbalik Sebanyak Lebih 50 Peratus

Bill & Melinda Gates Foundation
2013-02-27 19:00 282

- Inisiatif ini akan memperluaskan penggunaan pencegahan kehamilan kepada 27 juta wanita di negara berpendapatan rendah

LEVERKUSEN, Jerman, 27 Februari 2013 /PRNewswire/ -- Satu kumpulan yang terdiri daripada rakan kongsi sektor awam dan swasta telah melengkapkan persetujuan yang akan menjadikan Jadelle®, sejenis implan pencegah kehamilan yang efektif, tahan lama dan boleh berbalik, dapat digunakan oleh lebih 27 juta wanita di negara-negara termiskin dunia dengan kos yang menurun sebanyak lebih 50% dalam tempoh enam tahun yang akan datang.

Program Akses Jadelle – dibangunkan dan disokong melalui usahasama antara Bayer Healthcare AG, Yayasan Bill & Melinda Gates, Inisiatif Capaian Kesihatan Clinton (CHAI), Kerajaan Norway, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Sweden, serta Yayasan Tabung Pelaburan Kanak-kanak (CIFF) dan Tabung Populasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNFPA) – terus bergerak hasil momentum yang dijana di Sidang Kemuncak Perancangan Keluarga London pada Julai 2012, di mana pemimpin-pemimpin dunia menyatakan kesediaan untuk menyediakan pencegahan kehamilan bagi 120 juta wanita di negara-negara membangun menjelang 2020. Ia juga menyokong cadangan Suruhanjaya PBB tentang Komoditi Penyelamat Hayat dengan membantu membentuk pasaran global bagi meningkatkan kebolehcapaian komoditi penyelamat hayat yang berkualiti pada harga dan kuantiti yang optimum.

Dibawah perjanjian yang ditandatangani itu, Bayer akan mengurangkan harga implan pencegah kehamilannya, Jadelle®, daripada AS$18 kepada AS$8.50 seunit, mulai 1 Januari 2013, di 50 negara di seluruh dunia, termasuk negara yang dijangka Setiausaha PBB berkemungkinan besar tidak akan mencapai Sasaran Pembangunan Milenium mengenai kesihatan kanak-kanak dan ibu mengandung menjelang 2015. Alat itu, yang telah diluluskan lebih awal oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sejak September 2009, memberikan pencegahan kehamilan yang berkesan untuk wanita bagi tempoh sehingga lima tahun.

"Inovasi adalah kunci kepada kejayaan komersial kami dan pada masa yang sama merupakan asas kepada komitmen sosial kami," kata Dr. Jorg Reinhardt, Ketua Pegawai Eksekutif Bayer HealthCare AG. "Kami berbesar hati dapat menjadikan produk peningkatan kehidupan kami lebih mudah dicapai oleh seramai mungkin orang, tanpa mengira pendapatan ataupun di mana mereka tinggal, seterusnya memberi satu sumbangan penting ke arah mempertingkatkan kesihatan wanita dan kanak-kanak di negara-negara membangun."

Apabila dilaksanakan sepenuhnya, Program Akses Jadelle itu akan mengelakkan lebih 28 juta kehamilan yang tidak dirancang antara 2013 dan 2018, dan paling penting sekali, mencegah kira-kira 280,000 kematian bayi dan 30,000 kematian ibu semasa melahirkan. Secara keseluruhannya program tersebut akan menjimatkan kira-kira AS$250 juta dalam kos kesihatan global.

Pada hari ini, lebih 200 juta wanita dan remaja perempuan di negara membangun yang tidak ingin mengandung kurang mendapat akses kepada pencegahan kehamilan moden. Kajian mendapati bahawa antara 600 juta wanita di negara membangun yang menggunakan pencegahan kehamilan moden, hanya 1 ke 2 peratus sahaja yang menggunakan implan, tetapi lebih banyak lagi akan memilih implan sekiranya ia boleh didapati secara konsisten dan disokong oleh perkhidmatan klinikal dan kaunseling. Dalam banyak program di mana implan ditawarkan pada masa kini, ia adalah antara kaedah pilihan yang paling cepat berkembang.

Sebagai tindakbalas kepada gesaan segera mewujudkan kerjasama awam-swasta yang lebih efektik di Sidang Kemuncak Perancangan Kaluarga London, pihak-pihak terbabit membincangkan penurunan harga untuk menjadikan kaedah yang kurang digunakan ini lebih mampu milik dan boleh didapati oleh wanita di seluruh dunia, seterusnya memperluaskan pilihan pencegah kehamilan yang ada.

"Pada Julai 2012, pemimpin dunia telah berjanji untuk memberikan wanita di seluruh dunia capaian lebih baik kepada pilihan pencegahan kehamilan, dan hari ini, kita melangkah setapak ke hadapan dalam menunaikan janji tersebut," kata Melinda Gates, pengerusi bersama Yayasan Bill & Melinda Gates. "Kami berharap ini akan menjadi pemula bagi lebih banyak perkongsian berinovasi yang akan memberikan wanita dan gadis kuasa untuk membentuk kehidupan yang lebih baik bagi diri mereka dan keluarga mereka."

Harga AS$8.50 akan diberikan kepada semua pihak yang mendapatkan Jadelle® dari Bayer di negara-negara yang layak. Agensi besar, seperti UNFPA dan Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID),dan pembekal bukan kerajaan sedang giat menyampaikan penurunan harga itu kepada pengurusan peringkat negara dan rakan kongsi kerajaan untuk memastikan harga baru itu ditunjukkan dalam pelan pencegahan kehamilan di negara-negara terbabit. Proses untuk pemerolehan dan kitar logistik Jadelle akan kekal sepertimana sedia ada.

Program perancangan keluarga secara sukarela yang wujud dalam negara hari ini yang dijalankan oleh agensi kerajaan dan organisasi kemasyarakatan, disokong oleh USAID, UNFPA, Agensi Usahasama Pembangunan Norway (NORAD) dan Jabatan Pembangunan Antarabangsa United Kingdom (DFID), akan membantu mengadakan capaian lebih baik kepada pencegahan kehamilan yang tahan lama dan boleh berbalik ini untuk memberikan wanita dan pasangan lebih banyak pilihan perancangan keluarga.

Bayer HealthCare AG juga sedang bekerjasama dengan rakan kongsi lain untuk membangunkan rancangan  untuk memperbaiki infrastruktur pemberian perkhidmatan  dan melatih pembekal khidmat kesihatan untuk memastikan wanita mempunyai capaian yang selamat dan berkualiti kepada khidmat pemasangan dan pembuangan, selain kaunseling.

Tambahan pula,satu inisiatif sedang dijalankan yang akan membantu organisasi perancang keluarga meningkatkan kaedah penyebaran inovatif, seperti francais sosial dan klinik bergerak. Ini dijangka menggandakan kapasiti sedia ada organisasi-organisasi ini  untuk menawarkan implan bagi memperluaskan pilihan kaedah dalam program mereka bagi tahun 2013, dengan pengembangan yang berterusan pada tahun-tahun akan datang.

Source: Bill & Melinda Gates Foundation
Keywords: Health Care/Hospital Medical/Pharmaceuticals Pharmaceuticals Advocacy Group Opinion Not for profit