omniture

Linde Perluas Keupayaan Bekalan Neon Global

The Linde Group
2016-07-06 18:00 507

Lebih $250 Juta Pelaburan Dibuat di Texas Termasuk Penubuhan Unit Pengeluaran Neon Baharu  

BRIDGEWATER, New Jersey dan SAN FRANCISCO, 6 Julai 2016 /PRNewswire/ -- Agar dapat terus menjamin bekalan neon dalam tempoh jangka panjang dan selamat buat pelanggannya di seluruh dunia, Linde Electronics and Specialty Gases membuat satu lagi pelaburan bagi tujuan menyokong rantaian bekalan neon yang bersepadu secara vertikal. Sebahagian besar pelaburan melibatkan pembinaan kemudahan pengeluaran neon di unit gas atmosfera (ASU) terbesar milik Linde di AS, iaitu di La Porte, Texas yang menghasilkan gas oksigen, gas nitrogen dan argon untuk pasaran petroleum serta petrokimia di kawasan Houston.

Logo - http://photos.prnewswire.com/prnh/20130530/NY23246LOGO-b

Unit pengeluaran baharu ini akan menambah 40 juta liter setahun kepada bekalan neon Linde, khususnya untuk menyokong pelanggan daripada pasaran litografi semikonduktor dan juga pasaran pembetulan penglihatan menerusi laser.

"Ini merupakan bahagian penting strategi kami bagi meningkatkan keseluruhan bekalan neon selain memenuhi keperluan pelanggan kami yang semakin bertambah," kata Matt Adams, Naib Presiden, Electronics and Premium Products. "Ini merupakan satu lagi contoh komitmen Linde dalam menyediakan rantaian bekalan produk berkualiti yang mantap dan tekal buat pelanggan global kami."

Pelaburan baharu ini turut melibatkan penambahbaikan keupayaan penapisan dan pengagihan milik Linde di beberapa lokasi seluruh dunia.

Linde, selaku peneraju industri bagi gas laser dan teknologi sampingan, merupakan satu-satunya pembekal neon yang memiliki rantaian bekalan hujung-ke-hujung serta keupayaan kawalan kualiti sendiri, bermula daripada reka bentuk dan pengeluaran loji kepada penapisan dan pengadunan berbilang lokasi.

"Linde sudah pun memiliki pemahaman yang mendalam terhadap teknologi terkini, aktiviti OEM dan juga keperluan pengguna," kata Adams. "Kami mempunyai pengalaman selama berpuluh-puluh tahun dalam mempertingkat pengeluaran di peringkat global, analitik, pengagihan dan juga rangkaian stok/perkhidmatan di kawasan setempat. Kami percaya pelaburan baharu yang dibuat ini akan membolehkan Linde terus mengukuhkan kedudukan kepimpinannya pada masa depan."

Linde Electronics and Specialty Gases bakal mengadakan pameran sempena pameran perdagangan SEMICON West di San Francisco bermula pada 12-14 Julai. Fokusnya bertumpu ke arah kualiti, kepakaran, komitmen dan kepimpinan terhadap alam sekitar yang dibawakan oleh Linde Electronics ke dalam industri semikonduktor menerusi tawaran yang disediakan termasuk gas khusus elektronik, penyelesaian di lokasi, pengitaran semula dan pemulihan bahan-bahan serta loji nitrogen SPECTRA®.

SEMICON West ialah pameran perdagangan yang diadakan setiap tahun untuk industri pengeluaran mikroelektronik. Kesemua pengunjung amat dialu-alukan untuk mengunjungi reruai Linde yang bernombor 1505 di dewan Selatan di Pusat Moscone, San Francisco. Sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi Francesca Brava melalui francesca.brava@linde.com.

Linde Electronics and Specialty Gases merupakan sebahagian daripada Linde LLC, ahli The Linde Group. Pada tahun fiskal 2015, The Linde Group menjana perolehan sebanyak USD19.7 bn (EUR 17.944 bn), menjadikannya salah sebuah syarikat gas dan kejuruteraan terkemuka di dunia, yang menggajikan kira-kira 65,000 kakitangan yang bertugas di lebih 100 buah negara seluruh dunia. Strategi The Linde Group menjurus ke arah pencapaian pertumbuhan yang menguntungkan dalam tempoh jangka panjang dan memberi tumpuan terhadap perluasan perniagaan bertaraf antarabangsanya menerusi produk serta perkhidmatan yang progresif. The Linde Group melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab terhadap para pemegang saham, rakan niaga, kakitangan, masyarakat dan juga alam sekitar dalam setiap segmen, rantau dan lokasi perniagaannya di seluruh dunia. Syarikat ini komited terhadap teknologi dan produk yang menyepadukan matlamat antara nilai untuk pelanggan dan pembangunan mampan.

Sebarang maklumat lanjut, kunjungi The Linde Group dalam talian di www.linde.com

Source: The Linde Group
Related Links:
Keywords: Chemical Computer/Electronics Electronic Components Semiconductors Trade show news