-- Barisan pakar bersidang di Dhaka, Bangladesh untuk Persidangan Antarabangsa Kali Kelapan tentang Demam Kepialu dan lain-lain Jangkitan Salmonella
DHAKA, Bangladesh, 28 Februari 2013 /PRNewswire/ -- Barisan pakar kesihatan antarabangsa dan setempat akan bersidang di Dhaka, Bangladesh pada 1-2 Mac 2013 untuk membuat penilaian ke atas perkembangan kawalan dan pencegahan demam kepialu, demam enterik (penyakit yang disebabkan oleh tifoid ataupun paratifoid) dan penyakit-penyakit yang disebabkan oleh jangkitan bakteria Salmonella selain tifoid. Persidangan tersebut akan turut membincangkan berita-berita berkaitan perkembangan vaksin generasi baru. Persidangan Antarabangsa Kali Kelapan tentang Demam Kepialu dan Lain-lain Jangkitan Salmonella ini dianjurkan oleh Sekretariat Gabungan menentang Tifoid (CaT) dengan kerjasama icddr,b, Pertubuhan Pediatrik Bangladesh (BPA) dan Institut Vaksin Antarabangsa (IVI).
"Perjumpaan ini akan membantu mewujudkan satu perbincangan yang amat penting antara pakar-pakar klinikal, pegawai penyelidik dan pemimpin-pemimpin kerajaan dari seluruh dunia dan sekitar Asia," kata Dr. Christopher Nelson, Pengarah Sekreteriat CaT di Institut Vaksin Sabin. "Membincangkan kadar wabak demam kepialu yang tinggi di rantau ini dan bagaimana vaksin tifoid boleh membantu mengawal dan mencegah penyakit ini adalah amat penting."
Demam kepialu dan demam enterik tersebar luas dalam komuniti yang tiada akses kepada sumber air yang selamat dan sanitasi asas. Ia tersebar melalui makanan dan air yang tercemar.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),dianggarkan 21 juta orang dijangkiti demam kepialu dan menyebabkan lebih 200,00 kematian setiap tahun, sebahagian besarnya melibatkan kanak-kanak berusia lingkungan sekolah dan pra-sekolah. WHO melaporkan bahawa 90 peratus kematian yang disebabkan demam kepialu berlaku di sekitar Asia.
"Para doktor dari seluruh Selatan Asia dan Asia Tenggara menyedari akan bahaya impak tifoid terhadap kesihatan, lebih-lebih lagi dengan kewujudan dan penyebaran ancaman tifoid yang kalis ubat." kata Dr. Zulfiqar A. Bhutta, Pengerusi Pengasas, Bahagian Kesihatan Wanita dan Kanak-kanak, Universiti Aga Khan, Karachi, Pakistan. "Selain peningkatan bilangan kes-kes berat dan kematian, jangkitan kepialu turut memberi impak terhadap kehadiran dan pencapaian di sekolah dan juga menghadkan penglibatan ibu bapa dan penjaga dalam bidang pekerjaan."
Beberapa negara termasuk China, Vietnam, Thailand, Sri Langka dan Nepal telah menggunakan vaksin tifoid yang sedia ada dalam mengawal dan mencegah jangkitan dengan berkesan.
"Nepal telah membuktikan bahawa program pemvaksinan tifoid boleh dilaksanakan dengan jayanya dengan kerjasama oleh Kementerian Pendidikan dan pihak-pihak berkepentingan yang lain," kata Dr. Shyam Raj Upreti, Pengarah, Jabatan Perkhidmatan Kesihatan, Kementerian Kesihatan dan Penduduk Nepal.
Walaupun sudah ada contoh-contoh kejayaan program pemvaksinan tifoid di rantau ini dan juga Saranan WHO terhadap kepentingan pelaksanaan pemvaksinan tifoid dengan kadar yang segera, banyak lagi negara-negara lain yang masih belum menyarankan dan memperkenalkan vaksin tifoid.
"Persatuan pediatrik dan pertubuhan-pertubuhan lain di rantau ini mengiktiraf bahaya impak tifoid, terutamanya peningkatan dan keluasan penyebaran ancaman tifoid kalis ubat. Akademi Pediatrik India yang merupakan organisasi pediatrik terbesar di negara tersebut menyarankan kemasukan vaksin tifoid ke dalam program imunisasi kebangsaan dengan serta-merta." menurut Prof. Lalitha Mendis, Pengerusi Kumpulan Perundingan Teknikal berkaitan imunisasi, Pejabat Serantau Asia Tenggara (SEARO), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di New Delhi. Beliau juga merupakan mantan presiden Majlis Perubatan Sri Lanka. "Pihak-pihak berkepentingan di peringkat nasional dan para pembuat dasar perlu mengkaji semula bukti-bukti setempat dan meneruskan perbincangan berkaitan langkah-langkah strategik yang boleh diambil untuk melaksanakan pemvaksinan tifoid."
Dengan sokongan dan kerjasama dari pertubuhan-pertubuhan antarabangsa seperti Yayasan Bill & Melinda Gates dan Institut Wellcome Trust Sanger, Persidangan Antarabangsa Kelapan berkenaan Demam Kepialu dan lain-lain Jangkitan Salmonella mewakili usaha yang luas di peringkat antarabangsa dalam mencari penyelesaian terhadap pengawalan dan pencegahan demam kepialu, demam enterik dan penyakit-penyakit yang disebabkan oleh jangkitan bakteria Salmonella selain tifoid. Ini termasuklah usaha untuk membangunkan vaksin generasi baru dan penambahbaikan diagnostik. Sokongan kewangan telah diperuntukkan oleh IVI dan Sekretariat CaT di Institut Vaksin Sabin.
Untuk maklumat lanjut berkaitan Persidangan Antarabangsa Kelapan berkenaan Demam Kepialu dan lain-lain Jangkitan Salmonella, sila lawati laman web persidangan di www.typhoidconference.org.
Mengenai Gabungan menentang Tifoid (Coalition against Typhoid – CaT)
Gabungan menentang Tifoid adalah satu forum global yang dihadiri para saintis dan pakar-pakar imunisasi yang berusaha menyelamatkan nyawa serta mengurangkan derita akibat penyakit ini dengan melaksanakan pemvaksinan tifoid dalam komuniti berisiko tinggi. CaT merupakan antara pakatan kerjasama yang terkehadapan. Dengan meletakkan keutamaan terhadap tifoid di dalam agenda kesihatan global dan perancangan kerja yang komprehensif bagi menentang penyakit ini, Gabungan menentang Tifoid, menjangkakan dapat memperluas akses kepada vaksin-vaksin ini yang mampu menyelamatkan nyawa. Ketahui lebih lanjut berkenaan CaT: http://www.coalitionagainsttyphoid.org/
Mengenai Institut Vaksin Sabin
Institut Vaksin Sabin merupakan pertubuhan bukan berasaskan keuntungan, organisasi 501(c)(3) yang terdiri daripada para saintis, penyelidik dan penyokong kepada pengurangan penderitaan manusia yang disebabkan oleh penyakit-penyakit yang mampu dihalang oleh vaksin penyakit-penyakit tropikal yang diabaikan. Sabin bekerjasama dengan kerajaan, peneraju organisasi awam dan persendirian, dan institusi-institusi akademik dalam menawarkan penyelesaian kepada beberapa cabaran kesihatan yang meluas di dunia. Semenjak penubuhannya pada tahun 1993 dalam penghormatan terhadap Dr. Albert B. Sabin yang membangunkan vaksin oral polio, institusi ini telah bergerak di barisan hadapan dalam usaha mengawal, merawat dan menghapuskan penyakit-penyakit ini dengan membangunkan vaksin baru, menyokong penggunaan vaksin sedia ada dan menggalakkan akses kepada rawatan perubatan yang berpatutan. Untuk maklumat lebih lanjut: www.sabin.org.