TORONTO, 20 Ogos 2016 /PRNewswire/ -- Patricia Industries, sebahagian daripada Investor AB, telah menandatangani satu perjanjian dengan Audax Private Equity untuk mengambil alih syarikat teknologi perubatan Kanada, LABORIE. Syarikat itu fokus terhadap diagnosis dan rawatan untuk penyakit berkaitan urologi dan gastrousus yang telah memberi kesan kepada kehidupan harian berjuta-juta pesakit. LABORIE telah ditubuhkan pada tahun 1967 dan berkembang secara organik dan melalui pengambilalihan oleh pengeluar utama peralatan asas ujian urodinamik untuk menjadikannya syarikat peralatan perubatan yang bersepadu sepenuhnya dengan kedudukan sebagai peneraju pasaran dalam segmen perniagaan urologi dan gastroenterologi yang berkembang pesat. LABORIE memiliki model perniagaan aset minimum yang menarik dengan kebanyakan perolehannya didapati daripada hasil jualan berterusan produk guna habis yang proprietari. Keupayaan pengeluaran, pembangunan, dan pengkomersialan global LABORIE mewujudkan platform yang kukuh untuk berkembang melalui perluasan organik dan tak organik dalam pasaran teras dan juga pasaran bersebelahan, lokasi baharu, dan terus berkembang melangkaui produk diagnostik kepada produk terapeutik. LABORIE akan terus dikendalikan oleh pasukan pengurusan sedia ada, yang kekal sebagai sebahagian daripada pemilik syarikat.
LABORIE akan menjadi tambahan terkini dalam portfolio syarikat yang mencatatkan pertumbuhan berkualiti tinggi milik Patricia Industries, manakala senarai syarikat pegangan penjagaan kesihatan lain termasuk Mölnlycke Health Care, Permobil, Aleris dan juga BraunAbility.
Tahun fiskal 2016 (berakhir Mac) mencatatkan jualan sebanyak USD 117 juta dengan keuntungan yang tinggi. Maklumat kewangan tambahan berkaitan LABORIE, termasuk harga pengambilalihan, akan didedahkan selepas pengambilalihan selesai.
"LABORIE akan menjadi satu penambahan yang kukuh untuk Patricia Industries dan menandakan satu lagi kemajuan strategi kami untuk terus membangunkan portfolio anak syarikat milik penuh kami di kawasan Nordik dan Amerika Utara," ulas CEO Investor Johan Forssell.
Pengambilailhan LABORIE merupakan pengambilalihan pertama oleh Patricia Industries di Kanada dan yang kedua di Amerika Utara sejak penubuhan Patricia Industries pada tahun 2015. LABORIE akan menjadi sebuah anak syarikat baharu yang ditadbir dari luar pejabat New York.
"LABORIE telah berjaya menjadi penyedia produk diagnostik yang berkualiti tinggi dan amat dipercayai, yang telah membantu ramai orang meningkatkan kualiti kehidupan seharian mereka, manakala budaya dan nilai syarikat adalah selari budaya dan nilai Patricia Industries dan Investor. Daripada pengalaman dan rangkaian global kami dalam produk dan perkhidmatan berkaitan penjagaan kesihatan, kami percaya Patricia Industries berada pada kedudukan yang baik untuk menyokong LABORIE dalam usaha mereka berkembang ke dalam pelbagai lapangan lain. Kami berharap dapat bekerjasama dengan pihak pengurusan dan kakitangan LABORIE yang berdedikasi untuk terus memajukan syarikat, bagi membawa manfaat kepada pelanggan, kakitangan, serta pemiliknya," ulas Börje Ekholm, CEO Patricia Industries.
"Kami teruja untuk bekerjasama dengan Patricia Industries dalam fasa pertumbuhan kami yang seterusnya," ulas Presiden dan CEO LABORIE, Brian Ellacott. "LABORIE ialah peneraju global dalam menambah baik kualiti kehidupan pesakit yang menghidapi masalah urologi dan gastroenterologi. Pelaburan ini membolehkan kami meneruskan perluasan cakupan global kami selain membangun dan membawa masuk produk baharu yang inovatif ke dalam pasaran demi meningkatkan keberhasilan rawatan pesakit."
Pengambilalihan itu tertakluk kepada kelulusan oleh pihak berkuasa persaingan yang berkaitan. Proses ini dijangka selesai pada suku ketiga tahun 2016.
Patricia Industries, sebahagian daripada Investor AB, menjalankan pelaburan terkawal dalam syarikat-syarikat terbaik yang memiliki kedudukan, jenama, dan budaya korporat yang kukuh dalam industri yang penting untuk pertumbuhan sekular. Wawasan kami adalah untuk menjadi pemilik mutlak syarikat-syarikat kami, bersama-sama pasukan dan lembaga pengurusan yang mantap. Kami melabur tanpa mempunyai tempoh pegangan, dan fokus untuk membina nilai yang kukuh selain meraih peluang pertumbuhan organik dan tak organik.
LABORIE ialah pengeluar dan pembekal utama dalam industri untuk peralatan dan barang guna habis berkaitan kesihatan pelvik dan gastrousus. Sejak ditubuhkan pada tahun 1967, LABORIE komited untuk menyediakan penyelesaian yang inovatif dan menyeluruh yang dapat membantu memberikan hasil diagnosis dan rawatan yang lebih baik kepada pesakit di seluruh dunia. Untuk maklumat lanjut, sila lawati www.laborie.com. LABORIE ialah syarikat portfolio Audax Private Equity.
Sejak ditubuhkan pada tahun 1999, Audax Private Equity fokus terhadap usaha membangunkan syarikat dalam pasaran pertengahan yang utama. Audax telah melabur lebih $3.5 bilion dalam 99 platform dan 498 buah syarikat tambahan. Melalui pendekatan berdisiplin Beli & Bina, Audax membantu syarikat-syarikat platform melaksanakan pengambilalihan tambahan yang mampu menjana pertumbuhan perolehan, mengoptimumkan operasi, dan meningkatkan nilai ekuiti dengan tinggi. Audax Private Equity merupakan sebahagian penting dalam Audax Group, firma pengurusan aset alternatif yang pakar dalam pelaburan syarikat-syarikat pasaran tengah. Memiliki cawangan di Boston, New York, dan Menlo Park, Audax Group memiliki lebih $10 billon aset bawah pengurusan dalam seluruh segmen perniagaan Private Equity, Mezzanine, dan Senior Debt. Untuk maklumat lanjut, lawati laman web Audax Group di www.audaxgroup.com.
Investor, ditubuhkan oleh keluarga Wallenberg seratus tahun yang lalu, merupakan pemilik utama bagi syarikat-syarikat berkualiti tinggi bertaraf antarabangsa yang berpusat di kawasan Nordik. Melalui penyertaan yang luas, pengalaman dalam bidang industri, rangkaian dan kekukuhan kewangan, kami berusaha menjadikan syarikat-syarikat kami sebagai yang terbaik dalam kategorinya. Syarikat-syarikat pegangan kami termasuk Atlas Copco, SEB, ABB, Ericsson dan Mölnlycke Health Care. Siaran media kami boleh diakses melalui www.investorab.com