- Mengurangkan risiko kontaminasi virus halus tikus
- Meningkatkan tahap keselamatan terhadap virus sambil mengekalkan produktiviti titisan sel dan kualiti protein
DARMSTADT, Jerman, 8 Sept. 2016 /PRNewswire/ -- Merck, sebuah syarikat sains dan teknologi terkemuka, hari ini melancarkan teknologi modifikasi gen yang pertama seumpamanya untuk mengubah suai titisan sel CHO agar rintang terhadap virus halus tikus (MVM), masalah kontaminasi biasa yang masih wujud walaupun telah beralih kepada proses pembuatan berasaskan bahan kimia dan bebas komponen haiwan. Sel CHO biasanya digunakan dalam pembuatan biologik.
Teknologi Centinel™ baharu oleh Merck menyasarkan gen yang memainkan peranan terhadap kecenderungan MVM. Kontaminasi virus seperti MVM dapat memberi kesan yang besar terhadap pengeluar biofarmaseutikal, yang menelan belanja sebanyak beratus-ratus juta dolar, menurut laporan industri. Kesan paling besar akibat kontaminasi berkenaan ialah terhadap pesakit, memandangkan akses terhadap terapi adalah membahayakan. Teknologi Centinel™ memberi pilihan tambahan kepada pihak pengeluar untuk mengurangkan risiko kontaminasi MVM, sambil mengekalkan tahap kualiti protein dan produktiviti titisan sel yang sama.
Program Centinel™ adalah satu contoh sejauh mana kami telah menggabungkan kepakaran dan kredibiliti selama bertahun-tahun dalam pembangunan proses, pembuatan biologik dan instrumen modifikasi gen demi meningkatkan tahap keselamatan untuk pelanggan kami dan juga pesakit mereka," kata Udit Batra, ahli Lembaga Eksekutif Merck dan Ketua Pegawai Eksekutif, Life Science. "Kami turut memanfaatkan kombinasi unik antara pengalaman dan teknologi ini bagi menangani beberapa cabaran paling rumit dalam industri serta aplikasi yang menarik, termasuk terapi sel."
Menerusi program Centinel™, Merck dapat mengubah suai titisan sel CHO pelanggan bagi memberikan kerintangan virus terhadap MVM. Permohonan paten telah dihantar agar teknologi tersebut dapat digunakan dalam pendekatan modifikasi gen terhadap kerintangan virus.
Perkhidmatan pengujian BioReliance® oleh syarikat dapat mengesahkan tahap kerintangan MVM dan menunjukkan virus itu tidak disebarkan ke dalam titisan sel. Selain itu, pelanggan boleh membeli sepasang nuklease jejari zink untuk mengubah suai titisan sel itu secara terus.
Teknologi Centinel™ baharu oleh Merck adalah hasil kepakaran syarikat dalam proses modifikasi gen dan pembuatan bio, selain pemahamannya yang mendalam terhadap persekitaran pengawalseliaan. Selain untuk meningkatkan tahap keselamatan pembuatan bio, Merck juga turut memanfaatkan kepakaran dan pendekatan ini bagi membangunkan teknologi dan perkhidmatan lain, termasuk segala yang menyokong industri terapi sel.
Semua siaran berita Merck diedarkan melalui e-mel dan pada masa yang sama turut tersedia di laman sesawang Merck. Sila layari www.merckgroup.com/subscribe untuk mendaftar dalam talian, menukar pilihan atau untuk berhenti melanggan perkhidmatan ini.
Latar Belakang Merck
Merck ialah sebuah syarikat sains dan teknologi terkemuka dalam bidang penjagaan kesihatan, sains hayat dan juga bahan prestasi. Kira-kira 50,000 kakitangannya berusaha untuk terus memajukan teknologi yang dapat menambah baik serta mempertingkat kualiti kehidupan – bermula dengan terapi biofarmaseutikal bagi merawat kanser atau sklerosis berbilang, sistem yang canggih untuk tujuan penyelidikan saintifik dan pengeluaran, kepada kristal cecair untuk telefon pintar dan juga televisyen LCD. Pada tahun 2015, hasil jualan Merck mencecah € 12.85 bilion di 66 buah negara.
Ditubuhkan pada tahun 1668, Merck ialah syarikat farmaseutikal dan bahan kimia yang paling lama bertapak di dunia. Keluarga pengasasnya kekal sebagai pemilik majoriti syarikat korporat senaraian awam itu. Syarikat tersebut memegang hak global nama dan jenama Merck. Ini tidak termasuk Amerika Syarikat dan Kanada, tempat syarikat tersebut beroperasi sebagai EMD Serono, MilliporeSigma dan EMD Performance Materials.