PHILADELPHIA, 15 Sept., 2016 /PRNewswire/ -- Renmatix, peneraju bagi gula selulosa mampu milik, hari ini mengumumkan penerimaan pelaburan sebanyak $14J, yang dipimpin oleh Bill Gates.
Permintaan industri terhadap bahan alternatif yang kompetitif kepada molekul yang diperoleh daripada petroleum semakin menarik perhatian, walaupun wujudnya tekanan pasaran baru-baru ini. Sebagai tujuan untuk menambah bekalan, proses Plantrose® menyediakan teknologi operasi untuk kilang penapisan bio yang dapat menjana keuntungan. Pelaburan yang dibuat untuk mengkomersialkan Plantrose ini akan membantu untuk memacu ke arah usaha pertama oleh pemegang lesen Renmatix membina kilang penapisan bio dengan menjalankan proses Plantrose® dalam pasaran global yang pelbagai seperti Kanada, India, Malaysia, A.S. dan banyak lagi. Pada masa yang sama, aktiviti tersebut akan terus memudahkan usaha pembangunan pasaran bagi kegunaan produk bio hiliran.
Menurut Gates, "Agar dapat menangani perubahan iklim dengan berkesan, kita perlu membangunkan infrastruktur tenaga yang tidak membebaskan gas rumah hijau serta kos yang berdaya saing. Komponen paling penting bagi usaha ini adalah untuk menyahkarbonkan sektor perindustrian. Satu lagi komponen penting ialah bahan bakar bio yang menjimatkan kos. Renmatix dapat menyediakan proses inovatif yang merupakan satu laluan menarik untuk ditelusuri."
Gates turut disertai oleh Total (NYSE: TOT) bagi pusingan pelaburan ini. Total merupakan syarikat tenaga utama bertaraf global yang telah memperluaskan pelaburannya setelah membuat pelaburan awal pada tahun 2015 dan telah memeterai perjanjian pelesenan tambahan dengan Renmatix untuk 1 Juta tan kapasiti pengeluaran gula selulosa setiap tahun, mengikut budi bicara Total untuk membangunkan kemudahan selanjutnya. Lesen tersebut memperlihatkan potensi perolehan penting untuk Renmatix, yang berlangsung selama perjanjian itu berkuatkuasa.
"Di Total, matlamat kami adalah untuk menjadi syarikat tenaga utama yang bertanggungjawab. Kami ingin menjadikan perniagaan rendah karbon sebagai pemacu pertumbuhan yang menguntungkan, merangkumi 20% daripada portfolio kami dalam tempoh 20 tahun. Usaha untuk mencapai matlamat ini menjadi pendorong untuk memulakan dan meperluaskan kolaborasi kami dengan Renmatix," kata Patrick Pouyanné, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Total.
Proses Plantrose yang dipatenkan ini menggunakan air lampau genting bagi mengurangkan kos penukaran biojisim menjadi gula selulosa, bahan perantaraan yang penting untuk biokimia dan bahan bakar bio generasi kedua. Dengan tindak balas yang lebih pantas dan tanpa sebarang perbelanjaan untuk bahan guna habis, dari segi ekonomi, hidrolisis lampau genting Renmatix membolehkan pelbagai teknologi melibatkan proses boleh diperbaharui untuk mengakses pasaran gula selulosa dalam 'jumlah yang tinggi, kos rendah dan diperoleh daripada pelbagai sumber' yang meningkatkan perolehan masa kini. Bermula daripada asas yang telah kukuh bagi gula perindustrian, syarikat ini terus memperluas portfolio produknya dengan memberi nilai kepada bahan perantaraan binaan blok bio tambahan, termasuk polimer Omno® dan juga selulosa berhablur.
"Kemajuan yang berterusan ini memperlihatkan peningkatan yang ketara dalam industri kimia baharu berasaskan gula. Ia akan menjadi lebih hebat berbanding produk berasaskan minyak konvensional bagi menyediakan penyelesaian yang lebih bersih dan lebih lestari," kata Ketua Pegawai Eksekutif Renmatix, Mike Hamilton. "Ketika kami berusaha bersama rakan kongsi untuk memanfaatkan peluang yang amat luas bagi usaha transformasi berasaskan bio dalam pasaran yang pelbagai seperti A.S. dan India, pelaburan daripada Gates dan Total ini menunjukkan pengiktirafan terhadap pencapaian teknologi kami, serta memperhebat momentum komersial kami. Perakuan ini serta pemeteraian perjanjian pelesenan oleh Total sebanyak satu juta tan adalah petunjuk yang menarik bagi kematangan teknologi Plantrose kami terhadap skala kilang penapisan bio."
Latar Belakang Renmatix
Renmatix ialah pemberi lesen teknologi yang terkemuka untuk menukarkan biojisim menjadi gula selulosa, iaitu stok suapan yang dapat menjadi alternatif untuk petroleum yang digunakan dalam pasaran biokimia dan juga bahan api bio di seluruh dunia. Proses Plantrose proprietari oleh syarikat tersebut mencabar ekonomi gula konvensional dengan menukarkan biojisim selulosa dengan cara yang murah, daripada sisa kayu dan sisa pertanian, menjadi gula Plantro® yang bermanfaat dan berkesan kos serta binaan blok bio tambahan. Teknologi hidrolisis Plantrose yang lampau genting ini dapat menguraikan biojisim bukan makanan pada kadar yang jauh lebih pantas berbanding proses lain, selain meningkatkan kelebihan dari segi kos dengan tidak menggunakan bahan guna habis yang signifikan. Renmatix ialah syarikat milik persendirian yang mempunyai pusat teknikal bertaraf dunia di Pennsylvania, Kemudahan Pemprosesan Stok Suapan (FPF) di New York dan operasi pengeluaran di Kompleks Plantrose Bersepadu (IPC) di Georgia. renmatix.com
Hubungi
Duncan Cross
Naib Presiden, Bahagian Pembangunan Korporat
Renmatix
renmatix@missionc2.com