Cabaran Pemimpin Berpengaruh Tahunan Kali Kedua mengiktiraf 30 pemacu perubahan dan perintis perniagaan yang mendorong perubahan positif dalam masyarakat tempat mereka berkhidmat
TAMPA, Florida, 20 September 2016 /PRNewswire/ -- Pada masa kini, semakin ramai siswazah daripada sekolah perniagaan memanfaatkan segulung ijazah mereka untuk membuat suatu perubahan, bukan sekadar terhadap dunia korporat, malah untuk seluruh masyarakat. Ketika alumni sekolah perniagaan berusaha untuk mencabar status quo sedia ada, AACSB International (AACSB) telah mengenal pasti lima cara yang mengagumkan siswazah jurusan perniagaan mendorong perubahan sosial yang positif dalam kalangan masyarakat di seluruh dunia.
Sumbangan yang dibuat oleh 30 individu tersebut diiktiraf hari ini sempena Persidangan Akreditasi Tahunan AACSB di Minneapolis, Minnesota, AS, sebagai sebahagian daripada Cabaran Pemimpin Berpengaruh AACSB 2016, yang dilancarkan pada tahun 2015, bagi memberi penghormatan buat ahli alumni luar biasa yang menunjukkan contoh hebat dan impak mereka dalam masyarakat.
"Cabaran Pemimpin Berpengaruh 2016 memperlihatkan sejauh mana kesan yang diberikan oleh sekolah perniagaan adalah tidak terhad kepada lembaga pengarah, malah mampu memberi impak terhadap setiap individu di seluruh pelusuk dunia," kata Thomas R. Robinson, presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif AACSB. "Di seluruh dunia, para pemimpin ini merupakan kuasa teladan yang mendorong memberi impak positif terhadap perniagaan dan masyarakat dengan memanfaatkan kepimpinan, pengetahuan dan kemahiran mereka bagi menangani beberapa cabaran global paling sukar dalam kalangan masyarakat."
Lebih 15 sektor industri, bermula dengan perusahaan sosial kepada rawatan kesihatan dan juga teknologi, di 11 buah negara turut terlibat dalam kelas Pemimpin Berpengaruh yang diadakan tahun ini. Walaupun pemimpin ini terdiri daripada bidang dan laluan kejayaan yang berbeza, cabaran yang dihadapi memperlihatkan persamaan dari segi impak positif yang dibawakan oleh alumni sekolah perniagaan terhadap masyarakat.
Lima trend yang merangkumi sumbangan oleh kumpulan yang hebat ini termasuk:
- Memanfaatkan kebijaksanaan untuk inovasi dan teknologi: Dengan meluaskan sayap mereka menerusi inovasi dan teknologi, siswazah jurusan perniagaan boleh memanfaatkan kuasa kepintaran dengan membawa perubahan sosial yang bermanfaat dan berkekalan. Bermula dengan usaha memajukan syarikat baharu, menerajui jenama terkini seperti Airbnb oleh Jonathan Mildenhall, kepada menyandang jawatan sebagai Menteri Keselamatan dan Sekuriti Internet untuk United Kingdom, mereka adalah pelopor bagi inovasi dan juga pembangunan.
- Memajukan bidang pendidikan dan lapangan pekerjaan melalui keusahawanan: Ahli alumni menggunakan bakat keusahawanan mereka untuk mencipta peluang dalam bidang pendidikan dan lapangan pekerjaan buat masyarakat yang kurang berkemampuan. Contohnya, Zibu Mthyiane dilahirkan pada zaman Aparteid di Afrika Selatan dan sejak itu beliau memulakan dua perniagaan, salah satu daripadanya bertujuan memperkasa wanita luar bandar untuk memulakan perniagaan mereka sendiri. Individu lain pula mewujudkan program pementoran untuk golongan belia dalam bandar, selain mengadakan persidangan keusahawanan global untuk memberi inspirasi kepada orang lain agar dapat mewujudkan dunia yang lebih baik.
- Memupuk kepelbagaian, keterangkuman dan kesaksamaan: Memahami kepentingan yang dimainkan oleh kepelbagaian, keterangkuman dan kesaksamaan terhadap pembangunan sosio-ekonomi, alumni sekolah perniagaan berusaha mewujudkan persekitaran yang positif untuk memerangi masalah ketidaksamaan. Nashwa Taher, seorang ahli perniagaan wanita yang berjaya di Arab Saudi, bersama-sama menubuhkan dua buah organisasi yang bermatlamat untuk mewujudkan peluang pekerjaan buat golongan muda dan wanita yang kurang diwakili, serta Tawani Cranz daripada Netflix yang memainkan peranan penting dalam melaksanakan dasar cuti ibu bapa yang sama rata/tidak terhad yang menggemparkan. Siswazah lain yang serupa juga turut menyokong peluang yang sama rata untuk warga Amerika Afrika, warga tua dan juga mereka yang kurang upaya.
- Mewujudkan masa depan yang lebih mampan: Siswazah jurusan perniagaan mengguna pakai amalan perniagaan yang mampan demi kebaikan dan perlindungan terhadap dunia kita. Rahul Pushp yang turut sama mengasaskan i-Solarlite, berusaha menangani isu bekalan elektrik yang tidak andal dalam kalangan penduduk luar bandar melalui lampu solar yang jimat tenaga. Begitu juga dengan Menteri Pengangkutan Argentina Guillermo Dietrich yang mewujudkan prasarana yang mampan untuk pengangkutan alternatif dan pengangkutan awam di Buenos Aires.
- Menjamin kehidupan yang sihat: Satu lagi elemen paling penting ialah menggunakan kepakaran untuk mencari penyelesaian bagi menangani masalah kesihatan global. Setelah anak lelakinya maut akibat sindrom kematian bayi secara mengejut (SIDS), Pete Petit mencipta monitor fisiologi rumah yang pertama untuk bayi yang berisiko. Analjit Singh pula berusaha mengubah sistem rawatan kesihatan India dengan membangunkan hospital yang memberi khidmat penjagaan yang berpatutan untuk semua, tanpa mengira jumlah pendapatan mereka.
Untuk maklumat lanjut tentang Cabaran Pemimpin Berpengaruh, termasuk senarai lengkap penerima anugerah, sila layari www.aacsb.edu/Influential-Leaders.
Latar Belakang AACSB International
Sebagai rangkaian pendidikan perniagaan terbesar di dunia yang menghubungkan akademi dengan perniagaan, AACSB menyediakan perisikan perniagaan pendidikan, jaminan kualiti dan perkhidmatan pembangunan profesional kepada lebih 1,500 organisasi ahli merentasi 91 buah negara dan wilayah. Ditubuhkan pada tahun 1916, AACSB mengakreditasi 765 sekolah perniagaan di seluruh dunia. Ibu pejabat global AACSB terletak di Tampa, Florida, AS; ibu pejabat Asia Pasifik terletak di Singapura; manakala ibu pejabat EMEA terletak di Amsterdam, Belanda. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.aacsb.edu .