- Pustaka CRISPR Lentiviral Tersusun Sanger memenangi kategori Analisis/Ujian
DARMSTADT, Jerman, 11 November 2016 /PRNewswire/ -- Merck, sebuah syarikat sains dan teknologi terkemuka, berjaya merangkul Anugerah 100 R&D yang berprestij menerusi Pustaka CRISPR Lentiviral Tersusun Sanger, iaitu pustaka CRISPR yang pertama seumpamanya. R&D Magazine mengumumkan penerima anugerah itu dalam sebuah Majlis Makan Malam Anugerah 100 R&D Tahunan kali ke-54 pada 3 November lalu di Washington D.C.
"Kemajuan dalam modifikasi gen menggunakan peralatan seperti CRISPR dapat membantu pelanggan kami menemui dan menghasilkan rawatan baharu bagi merawat penyakit yang paling sukar," kata Udit Batra, ahli Lembaga Eksekutif Merck, dan Ketua Pegawai Eksekutif Life Science. "Kami akan terus berkolaborasi dengan komuniti saintifik global bagi tujuan memberikan inovasi yang mereka janjikan dengan lebih pantas dan berusaha mempercepatkan akses kepada rawatan kesihatan untuk semua pihak di mana-mana jua."
Pengiktirafan produk bertaraf dunia ini memperlihatkan komitmen Merck dalam memperhebat para saintis dan penyelidik dengan penyelesaian yang mereka perlukan untuk membangunkan peralatan baharu yang dapat menambah baik tahap kesihatan manusia. Anugerah tersebut, yang dikenali sebagai "Oscar untuk Penciptaan" mengiktiraf 100 penemuan saintifik dan teknologi paling penting bagi tahun tersebut.
Pustaka CRISPR Lentiviral Tersusun Sanger daripada Merck memenangi kategori Analisis/Ujian. Pustaka ini merupakan pustaka CRISPR lentiviral manusia dan tikus tersusun yang pertama merungkai dan mengkaji fungsi gen. Pustaka tersebut membolehkan penemuan gen dibuat, melibatkan rintangan ubatan, penyakit manusia dan pelbagai proses biologi. Penyelidik boleh menggunakan seluruh pustaka ini untuk mengkaji genom keseluruhan atau mereka boleh memilih gen serta laluan tertentu untuk tujuan kajian menggunakan klon yang berkaitan.
Ini merupakan tahun kelima berturut-turut Merck meraih Anugerah 100 R&D. Pada tahun 2015, sistem pembersihan air AFS dan Teknologi Pemprograman Semula RNA Simplicon, masing-masing tersenarai dalam kategori proses/prototaip dan analisis/ujian, Anugerah 100 R&D merangkumi usaha penyelidikan dalam industri, bidang akademik dan tajaan kerajaan.
Semua siaran berita Merck diedarkan melalui emel dan turut tersedia di laman sesawang Merck. Sila layari www.merckgroup.com/subscribe untuk mendaftar dalam talian, menukar pilihan atau untuk berhenti melanggan perkhidmatan ini.
Latar Belakang Merck
Merck ialah sebuah syarikat sains dan teknologi terkemuka dalam bidang penjagaan kesihatan, sains hayat dan juga bahan prestasi. Kira-kira 50,000 kakitangannya berusaha untuk terus memajukan teknologi yang dapat menambah baik serta mempertingkat kualiti kehidupan – bermula dengan terapi biofarmaseutikal bagi merawat kanser atau sklerosis berbilang, sistem yang canggih untuk tujuan penyelidikan saintifik dan pengeluaran, kepada kristal cecair untuk telefon pintar dan juga televisyen LCD. Pada tahun 2015, hasil jualan Merck mencecah € 12.85 bilion di 66 negara.
Ditubuhkan pada tahun 1668, Merck ialah syarikat farmaseutikal dan bahan kimia yang paling lama bertapak di dunia. Keluarga pengasasnya kekal sebagai pemilik majoriti syarikat korporat senaraian awam itu. Syarikat tersebut memegang hak global nama dan jenama Merck. Ini tidak termasuk Amerika Syarikat dan Kanada, memandangkan syarikat tersebut beroperasi sebagai EMD Serono, MilliporeSigma dan EMD Performance Materials.