Senarai baharu penyelidik dengan kajian paling banyak dipetik di dunia kini tersedia
PHILADELPHIA, 16 November 2016 /PRNewswire/ -- Clarivate Analytics, sebelum ini merupakan perniagaan Intellectual Property & Science Thomson Reuters, hari ini mengumumkan penerbitan tahunan senarai Penyelidik Paling Banyak Dipetik. Senarai ini merupakan analisis petikan bagi mengenal pasti saintis – seperti yang ditentukan oleh barisan penyelidik lain – yang mana hasil penyelidikan mereka telah memberi kesan global yang penting dalam bidang kajian masing-masing.
Lebih 3,000 penyelidik daripada 21 bidang sains dan sains sosial telah terpilih berdasarkan jumlah kertas penyelidikan paling banyak dipetik yang telah dihasilkan sepanjang tempoh 11 tahun bermula pada Januari 2004 hingga Disember 2014. Metodologi yang menentukan penyelidik paling banyak dipetik ini menggunakan data dan analisis yang dijalankan oleh pakar bibliometrik daripada Clarivate Analytics. Kaedah ini menggunakan InCites™ Essential Science IndicatorsSM, iaitu platform analitik penyelidikan berasaskan web yang utama di dunia dan merupakan kompilasi unik antara metrik prestasi sains dengan trend data mengikut jumlah penerbitan kertas ilmiah dan data petikan daripada Web of Science™, platform berasaskan web terunggul untuk kajian saintifik dan ilmiah yang mengandungi jumlah petikan paling tepat dan dinormalisasi.
Data Penyelidik Paling Banyak Dipetik daripada Clarivate Analytics membentuk komponen penting untuk Penarafan Akademik Universiti-universiti Dunia, iaitu salah satu kaji selidik terhadap universiti-universiti terkemuka yang paling lama diwujudkan dan paling berpengaruh di dunia (http://www.shanghairanking.com/index.html). Pakar bibliometrik dan ahli sosiologi sains Lutz Bornmann, Bahagian Kajian Sains dan Inovasi di Persatuan Max Planck, Munich, Jerman, berkata, "Dalam penilaian penyelidikan kuantitatif, sukar untuk mendapatkan pangkalan data lain yang mudah diakses yang dapat menonjolkan reputasi hebat barisan penyelidik sama seperti senarai Penyelidik Paling Banyak Dipetik ini."
"Pastinya pengiktirafan rakan sejawat seperti inilah, dari segi petikan yang diberi dan didapati menerusi pandangan pakar bidang saintifik secara kolektif dan objektif yang membuatkan pencapaian status sebagai penyelidik paling banyak dipetik ini menjadi suatu yang amat bermakna," kata Jessica Turner, ketua global untuk kerajaan dan akademia di Clarivate Analytics. "Kami berbangga kerana senarai Penyelidik Paling Banyak Dipetik kami ini mendapat pengiktirafan global daripada komuniti akademik dan saintifik, selain berpotensi membawakan peluang baharu bagi tujuan kemajuan dalam kerjaya, perekrutan dan pengambilan oleh institusi."
Senarai Penyelidik Paling Banyak Dipetik 2016 boleh dilihat secara lengkap dengan melayari: http://hcr.stateofinnovation.thomsonreuters.com
Clarivate Analytics
Clarivate™ Analytics mempercepatkan arus inovasi dengan menyediakan maklumat dan analitik dipercayai kepada pelanggan di serata dunia, bagi membolehkan mereka meneroka, melindungi dan mengkomersialkan idea-idea baharu. Sebelum ini merupakan sebahagian daripada perniagaan Intellectual Property and Science Thomson Reuters, kami telah berkhidmat untuk pelanggan kami selama lebih 60 tahun. Kini, sebagai sebuah syarikat bebas yang menggajikan lebih 4,000 kakitangan dan beroperasi di lebih 100 negara seluruh dunia, kami kekal sebagai pakar yang objektif dan tangkas. Untuk maklumat lanjut, sila kunjungi kami di Clarivate.com.