omniture

Pemenang Peraduan Fotografi CGAP Tahunan kali ke-11 Tonjol Pemerkasaan, Ketahanan dan Inovasi

CGAP (The Consultative Group to Assist the Poor)
2016-11-29 21:00 390

WASHINGTON, 29 November 2016 /PRNewswire/ -- Hari ini, CGAP mengumumkan bahawa pemenang Peraduan Fotografi CGAP 2016 ialah Zay Yar Lin dari Myanmar. Gambar yang berjaya itu, "Lend a Helping Hand," telah dipilih daripada lebih 3,000 penyertaan dari 70 negara hasil daripada komposisi yang mengagumkan dan gambaran yang begitu menyentuh mengenai seorang kanak-kanak perempuan membantu bapanya membuat tembikar untuk dijual.

Terokai Hebahan Berita Multimedia yang interaktif di sini: http://www.multivu.com/players/English/7878251-2016-cgap-photo-contest-winners  

Gambar tersebut telah diambil di bandar Twante, berhampiran tempat tinggal jurugambar itu di Yangon. Lin turut berkongsi bahawa, walaupun beliau bekerja sebagai seorang anak kapal, bidang fotografi ialah minat sebenar beliau. Beliau berkata, "Saya percaya fotografi dapat membantu seseorang individu untuk melihat dan merasa. Saya gemar mengambil gambar budaya penduduk, tempat mereka dan juga kehidupan seharian mereka."

Walaupun tembikar Twante terkenal di seluruh Myanmar dan mendapat permintaan tinggi, generasi lebih muda terus mencari peluang pekerjaan di luar bandar itu. Para hakim turut mengulas bagaimana gambar itu dapat menonjolkan warisan kemahiran yang bernilai namun mungkin akan hilang, daripada satu generasi kepada generasi berikutnya.

Lihat Gambar-gambar Pemenang >>

Seramai dua bilion orang di serata dunia menghadapi masalah kekurangan akses terhadap perkhidmatan kewangan asas seperti akaun simpanan dan kredit. Semakin banyak bukti yang menunjukkan rangkuman kewangan ialah pemangkin utama untuk kebanyakan Matlamat Pembangunan Lestari yang diguna pakai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi membimbing agenda pembangunan global, seperti menggalakkan pendidikan berkualiti dan memupuk kesaksamaan jantina. Selama 11 tahun, Peraduan Fotografi CGAP telah mencari gambar-gambar asli dan menarik yang dapat menunjukkan kesan agenda rangkuman kewangan terhadap kehidupan orang ramai di seluruh dunia.

Peraduan Fotografi CGAP 2016 mengalu-alukan penyertaan dalam empat bidang utama yang amat penting untuk memajukan agenda rangkuman kewangan: (1) Wang mudah alih dan inovasi dalam kewangan digital; (2) Pemerkasaan ekonomi wanita; (3) Ketahanan; and (4) Perniagaan kecil-kecilan. Barisan hakim terdiri daripada Nicole Cappello, Pengurus Kanan Fotografi di National Geographic; Emily Epstein, Editor Visual di The Atlantic; dan Indira Williams Babic, Pengarah Fotografi dan Sumber Visual di Newseum.

Ketiga-tiga hakim turut berkongsi pandangan tentang proses pemilihan itu.

Nicole Cappello berkata ia adalah suatu yang "benar-benar menginsafkan apabila melihat kemegahan, ketahanan dan ketabahan orang ramai di seluruh dunia."

Emily Epstein berkongsi bahawa, "bidang kerja ini bukanlah sesuatu yang terdapat dalam perkhidmatan berwayar. Mesej yang disampaikan adalah untuk menghormati orang lain dalam menentukan sendiri masa depan mereka."

Indira Williams Babic berkata, "fotografi ialah salah satu cara yang hebat untuk menceritakan sebuah kisah. Kemampuan menceritakan kisah anda melalui imej, yang boleh dilihat oleh semua orang ialah cara yang bagus untuk meneruskan misi anda."

Pemenang Hadiah Utama 2016 akan menerima baucar hadiah kelengkapan fotografi bernilai $2,000 dan gambar peserta yang berjaya itu akan dipaparkan di Times Square Jumbotron, Bandar Raya New York.

Pemenang Hadiah Utama dan Peserta Akhir

  • Hadiah Utama: Lend a Helping Hand – Zay Yar Lin, Myanmar
  • Tempat Kedua: Life in Water – Sujan Sarkar, India
  • Tempat Ketiga: Farmer's Family – Pyae Phyo Thet Paing, Myanmar

Pemenang Bertema

  • Wang Mudah Alih dan Inovasi dalam Kewangan Digital: Coconut Farm – Eakarin Ekartchariyawong, Thailand
  • Pemerkasaan Ekonomi Wanita: Floating Life - Md. Zakirul Mazed, Bangladesh
  • Ketahanan: Dream Defeated Disability - Faisal Azim, Bangladesh
  • Perniagaan Kecil-kecilan: Decorative Umbrella Maker - Agung Lawerissa Setiawan, Indonesia

Pemenang Serantau

  • Afrika: Imagination - Wim Opmeer, Kenya
  • Eropah Timur dan Asia Tengah: Felting - Bülent Suberk, Turki
  • Asia Timur dan Asia Pasifik: Old TV Re-Used - Ly Hoang Long, Vietnam
  • Amerika Latin dan Caribbean: Warmi Jilaqata 3 - David Martin Huamani Bedoya, Peru
  • Timur Tengah dan Afrika Utara: Sacré Sacrifice - Brahim Faraji, Morocco
  • Asia Selatan: The Responsibility - Sujan Sarkar, India

CGAP (Consultative Group to Assist the Poor) ialah satu perkongsian peringkat global yang terdiri daripada lebih 30 organisasi terkemuka yang berusaha memajukan agenda rangkuman kewangan. CGAP membangunkan penyelesaian inovatif melalui kajian praktikal dan penglibatan aktif bersama penyedia perkhidmatan kewangan, pembuat dasar dan juga pembiaya bagi melaksanakan pendekatan secara meluas. Berpusat di Bank Dunia, CGAP menggabungkan pendekatan pragmatik demi menjayakan pembangunan pasaran yang berhemah melalui platform sokongan berasaskan bukti untuk meningkatkan akses perkhidmatan kewangan kepada golongan miskin yang memerlukan bagi tujuan mengubah hidup mereka. Maklumat lanjut di www.cgap.org.

Logo - http://photos.prnewswire.com/prnh/20151216/296527LOGO

Source: CGAP (The Consultative Group to Assist the Poor)
Keywords: Banking/Financial Service Awards Corporate Social Responsibility