- Percepat proses saringan pustaka CRISPR dan shRNA yang tersuai
- Tanpa perlukan pembangunan dan saringan cerakinan dalam makmal yang menggunakan banyak sumber
BILLERICA, Massachusetts, 1 Disember 2016 /PRNewswire/ -- Merck, sebuah syarikat sains dan teknologi utama, hari ini mengumumkan ia telah memeterai satu set perjanjian dengan Evotec AG, yang mana Evotec AG akan menyediakan perkhidmatan saringan untuk rangkaian reagen genetik Merck seperti pustaka CRISPR dan shRNA. Dengan menggabungkan akses kepada pustaka-pustaka ini dengan kepakaran saringan Evotec, ini seterusnya dapat menyediakan laluan yang pantas dalam usaha mengkaji dan mengenal pasti sasaran ubatan baharu.
"Penemuan ubatan bermula dengan mengenal pasti sasaran baharu, satu proses yang memakan masa dan memerlukan banyak tenaga kerja," kata Theresa Creasey, Ketua Bahagian Pemasaran & Inovasi Strategik Penyelesaian Gunaan, Life Science. "Kolaborasi kami dengan Evotec dapat mempercepat aliran kerja penemuan ubatan, seraya membolehkan pelanggan mengkaji laluan penyakit dengan lebih pantas dan berkesan, selain mampu mencari sasaran baharu."
Jalinan kerjasama ini membolehkan pelanggan memilih set tersuai daripada pustaka CRISPR dan shRNA, dan memanfaatkan keupayaan luas Evotec terhadap saringan fenotip dalam sel stem pluripoten primer dan teraruh serta dalam model penyakit in vivo. Aliran kerja pengenalpastian sasaran dapat terus dipercepat menerusi penggunaan titisan sel yang khusus dibangunkan oleh Cell Design Studio, Merck. Titisan sel ini digunakan oleh Evotec untuk menyesuaikan cerakinan saringan dan memberikan keputusan yang lebih berkesan.
"Perjanjian dengan Merck ini akan terus mengukuhkan tawaran kami dalam segmen pengenalpastian dan pengesahan sasaran," kata Dr. Mario Polywka, Ketua Pegawai Operasi Evotec. "Hasil penggunaan reagen Merck yang tersedia untuk cerakinan pada platform saringan sel kami dan juga model in vivo dapat mewujudkan keupayaan penemuan ubatan yang hebat dan memberi lebih nilai kepada pelanggan kami menerusi penyelesaian komprehensif tersebut."
Merck bekerjasama dengan Institut Wellcome Trust Sanger untuk pelbagai pustaka CRISPR yang meliputi seluruh genom manusia. Syarikat ini juga merupakan pengeluar dan pengedar himpunan klon RNAi terbesar dunia, yang dihasilkan menerusi jalinan kerjasama dengan The RNAi Consortium.
Semua siaran berita Merck diedarkan melalui e-mel dan turut tersedia di laman sesawang Merck. Sila layari www.merckgroup.com/subscribe untuk mendaftar dalam talian, menukar pilihan atau untuk berhenti melanggan perkhidmatan ini.
Latar Belakang Merck
Merck ialah sebuah syarikat sains dan teknologi terkemuka dalam bidang penjagaan kesihatan, sains hayat dan juga bahan prestasi. Kira-kira 50,000 kakitangannya berusaha untuk terus memajukan teknologi yang dapat menambah baik serta mempertingkat kualiti kehidupan – bermula dengan terapi biofarmaseutikal bagi merawat kanser atau sklerosis berbilang, sistem yang canggih untuk tujuan penyelidikan saintifik dan pengeluaran, kepada kristal cecair untuk telefon pintar dan juga televisyen LCD. Pada tahun 2015, hasil jualan Merck mencecah € 12.85 bilion di 66 negara.
Ditubuhkan pada tahun 1668, Merck ialah syarikat farmaseutikal dan bahan kimia yang paling lama bertapak di dunia. Keluarga pengasasnya kekal sebagai pemilik majoriti syarikat korporat senaraian awam itu. Syarikat ini memegang hak global nama dan jenama Merck. Ini tidak termasuk Amerika Syarikat dan Kanada, memandangkan syarikat tersebut beroperasi sebagai EMD Serono, Merck dan EMD Performance Materials.